7hb Disember: Jom Gi Kuliah Bersama Ustaz Azhar Idrus di Singapore Expo
Seseorang yang aku ingati dan ingin temui sebelum ini telah Tuhan izinkan untukku melihatnya dari jauh tanpa kuduga. Juzairy yang pernah suatu masa dahulu begitu comel sekali kerana baru berusia 7 tahun kini menginjak remaja. Alhamdulillah. Aku begitu terharu melihat Juzairy berada dalam majlis ilmu ini. Ingatanku terhadapnya dan keinginanku untuk bertemu dengannya telah Tuhan perkenankan melalui majlis ilmu ini.
Seseorang yang aku kagumi baru-baru ini kerana telah berkecimpung dalam bidang dakwah setelah menerima tarbiah Ustaz Fahrur Razi Kiyai Kassim telah Tuhan izinkan untukku melihatnya dari jauh kerana sememangnya aku ingin melihatnya. Hady Mirza yang pernah suatu masa dahulu dinobatkan sebagai Singapore Idol (kedua) dan kemudian dinobatkan pula dengan anugerah yang jauh lebih hebat iaitu Asian Idol (pertama) kini menjadi mentor bagi para remaja dalam program Islamik. Aku begitu terkesima dek kekacakan Hady Mirza yang pertama kali kulihat secara langsung.
Sesungguhnya, Juzairy dan Hady Mirza mempunyai hubungan kekeluargaan. Juzairy adalah adik saudara Hady Mirza. Perkara itu aku sedia maklum semenjak mengajar Juzairy.
Ibu, Adik Mail dan adik ipar serta anak saudaraku turut bersama dalam majlis ilmu ini. Alhamdulillah.
8hb Disember: Jom Gi Kuliah Bersama Ustaz Azhar Idrus di Masjid Mawaddah
Seseorang yang pada hari sebelumnya telah memaklumkan kepada aku bahawa dia tidak dapat ke majlis ilmu ini telah menukar rancangannya dengan menghadiri majlis ilmu ini. Sudah tentu aku senang hati. Apatah lagi dia dapat bersua muka dan bersalaman dengan Ustaz Azhar Idrus ketika kenderaan itu bergerak keluar dari masjid sedang kami berjalan keluar. Aku bertambah gembira. Alhamdulillah.
Seseorang yang menjadi fenomena sejak kebelakangan ini dek penyampaian ilmu dan hukum-hakam secara dua hala yang disampaikan secara lucu dan bersahaja iaitu Ustaz Azhar Idrus telah membuat aku senang hati. Apakan tidak... balasan lambaian tangannya terhadap lambaian tanganku berlaku tanpa diduga dan secara tiba-tiba bahkan secepat kilat dalam jarak yang amat dekat. Disebabkan kami sedang berjalan keluar dan kenderaan Ustaz Azhar Idrus juga sedang bergerak keluar dari pekarangan masjid, kami berpeluang saling mengiringi dan saling berpandangan. Senyuman dan lambaian tanganku dibalas dengan senyuman dan lambaian tangannya. Aku amat gembira. Alhamdulillah.
Rezeki daripada Allah yang indah dalam bentuk perasaan iaitu senang hati dan gembira.
Ibu dan Aliyah turut bersama dalam majlis ilmu ini. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment