Tuesday, May 8, 2012

Minta daun diberi daun, Dalam daun ada bidara; Minta pantun diberi pantun, Dalam pantun ada bicara.

Minta daun diberi daun,
Dalam daun ada bidara;
Minta pantun diberi pantun,
Dalam pantun ada bicara.

Dalam rintangan pemikiran asas bangsa Melayu/Nusantara, peribahasa dan pantunlah menjadi wadah terpenting. Melalui logika kebijaksanaan kolektif dan asosiasi puisi, baris-barisnya melukis jiwa bangsa itu, memberi suara kepada persoalan yang dihadapinya, secara berrsambungan, untuk beberapa ratus kurun, malah ribuan, dalam hal praktikal dan perasaan, jasmaniah dan rohaniah, yang akhirnya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai pendapat, nilai, undang-undang, kasih sayang serta berbagai-bagai jalur perasaan lainnya. Di sini, kita menemui sasterawan/pendeta menggalas dua fungsi sekali gus - sebagai penyair dan sebagai pemikir/pendeta, dua tugas berlainan, tetapi digabungkan dengan cukup alamiah.

Oleh sebab mereka harus hidup, maka manusia Nusantara itu harus menyelesaikan beberapa masalah, dan kerana mereka juga ingin teman-teman atau ahli keluarga mereka terus mendapat manfaat kebijaksanaan bersama-sama, maka disusun dan dikekalkan oleh mereka dalam bentuk lisan yang mengesan jiwa lisan mereka.

Antara begitu banyak masalah yang harus ditanganinya, yang utama ialah bagaimana dia harus hidup dengan alam, mengenalinya, dan belajar daripadanya. Setelah ini diasaskan, maka dia perlu cepat menanam prinsip undang-undang masyarakatnya supaya hak dan keadilan bersama dapat dipastikan. Sementara itu, urusan hidup bermasyarakat, hidup dalam negara, dan hidup sebagai seorang individu, banyak menuntut perhatiannya. Konflik antara kumpulan pula harus diselesaikan, perasaan cinta dan bencinya pula mesti mendapat tempat dan kata sewajarnya. Tetapi, yang tidak kurang penting ialah mencari tempat dan maknanya sebagai manusia dalam cakerawala yang tidak mudah difahami dan dalam hal ini, dia harus berfikir sebagai seorang yang beragama.

Semua ini akhirnya meletakkan dasar pemikiran bangsa itu - dan dalam bentuk gabungannya inilah  falsafah orang Melayu - Nusantara. Di layar besar, perasaan dan pandangannya terlukis nilai, etika, dan unggulnya; tetapi kita tidak harus lupa bahawa semua ini datang daripada pengalaman praktikal untuk hidup dan untuk mati, yang panjang dan diteliti dengan kesabaran orang terdahulu.

(Artikel bertajuk 'Dalam Daun Ada Bicara: Falsafah Alam Pantun Melayu' telah ditulis oleh Muhammad Haji Salleh pada halaman 1-2 dalam buku Pandangan Semesta Melayu: Pantun)

Monday, May 7, 2012

Pasti pulang atau pasti 'pulang'

Air hujan membasahi bumi UM pada pagi ini.

Seperti biasa aku belum melelapkan mata.

Sambil menjengah tugasan Kesenian Melayu dan Islam, Facebook juga turut disinggah.

Jiwa tiada tenang.

Hati tiada senang.

Masa nan lalu masih merantai qalbu.

Masa kini menggamit pilu.

Masa akan datang membuat aku terganggu.

Apakah aku bersedia untuk pulang dan 'pulang'?

Pulang ke tanah air untuk kembali menetap di sana di samping bertugas.

Bertugas sebagai seorang guru yang dikelilingi anak-anak murid yang rencam keletah dan kerenah mereka sebenarnya menghiburkan tetapi....

Aku masih bertetapi.

Hanya Tuhan yang tahu.

Tuhan telah memberiku sebesar-besar nikmat dengan meng'hijrah'kan aku selama tiga tahun di Malaysia sebagai seorang pelajar di Universiti Malaya.

Tidak layak diriku menggelarkan diriku mahasiswi sedangkan usahaku tidaklah segigih itu.

Andaikata gigih, mungkin boleh kunobatkan bahawa Semester 3 dan Semester 4 merupakan dua semester yang memperlihatkan kegigihanku.

Itu pun tidak ramai yang dapat mengerti bahawa aku mempunyai masalah insomnia yang menjejas fokusku di pagi atau siang hari kerana malam hingga ke subuh merupakan waktu paling aktif bagiku.

Walau apa pun, pengajianku di UM akan bernokhtah beberapa minggu lagi.

Pulang ke tanah air adalah suatu perkara yang pasti.

Sudah aku ketahui bila.

Pulang kepadaNya juga merupakan suatu perkara yang pasti.

Meskipun aku tidak ketahui bila.

Antara pulang dan 'pulang', mana satu yang akan menjemputku terlebih dahulu.

Pastinya, kedua-dua pulang dan 'pulang' adalah perkara yang sudah pasti untukku.

Jiwa tiada tenang.

Hati tiada senang.





Sunday, May 6, 2012

Duhai hati nurani seorang Nuraini, redhalah...

Tersinggung apabila aku dihukum dan dilabel sebegitu.

Tersinggung kerana tidak menyangka bahawa soalan-soalan yang kuajukan kepada seseorang kerana pada waktu itu, aku benar-benar mendambakan jawapan untuk menenangkan jiwa yang sedang bergolak dengan persoalan-persoalan yang bersarang di mindaku.... rupa-rupanya menyebabkan seseorang itu menilaiku.

Menilaiku dengan pandangan negatif.

Aku dihukum dan dilabel sebagai insan yang 'keliru' dan 'seharusnya tidak perlu bingung dengan perkara yang simple.'

Seperti itulah kata-kata seseorang itu kepadaku.

Aku bertanya kerana aku ingin mengetahui kebenaran.

Aku bertanya kerana aku ingin persoalanku dijawab dengan penjelasan.

Aku bertanya kerana aku mendambakan ketetapan hati dengan keyakinan yang hakiki.

Namun, pertanyaan-pertanyaanku rupa-rupanya menjadikan seseorang itu menghukum dan melabelku.

Hampa.

Kecewa.

Pilu.

Tersinggung.

Kesal.

Setelah aku teruji dengan seseorang itu yang telah menghukum dan melabelku, aku teruji pula dengan seseorang yang lain.

Seseorang yang lain ini pula menilaiku dengan luahan dan perkongsianku tanpa memahami duduk perkara dan mengerti situasi hatiku.

Luahan dan perkongsian daripada insan yang rapuh sepertiku dirasakan tidak perlu.

Lantas, aku memilih mendiamkan diri untuk membawa hati.

Hampa lagi.

Kecewa lagi.

Pilu lagi.

Tersinggung lagi.

Kesal lagi.

Tidak semestinya hati perempuan dapat difahami oleh hati perempuan juga kerana soalan-soalan yang kuajukan meskipun telah terjawab, sebaliknya menjadikan aku insan yang dihukum dan dilabel.

Tidak semestinya hati perempuan dapat dimengerti oleh hati perempuan juga kerana luahan dan perkongsianku, sebaliknya menjadikan aku insan yang disalahtafsir.

Pada waktu dan ketika hati terhiris, aku menjadi rindu kepada seseorang yang pernah menghuni di ruang hati tetapi telah pergi untuk selama-lamanya.

Dialah satu-satunya insan yang tidak pernah menghukum dan melabelku meskipun ratusan soalan aku ajukan kepadanya kerana dia memahami dan mengerti bahawa jiwaku sentiasa berkocak dengan persoalan-persoalan yang tidak kutahu pada siapa hendak kutujukan.


Dialah satu-satunya insan yang berusaha untuk memahami diriku melalui luahan dan perkongsianku apatah lagi keluhan dan rintihanku.

Mungkin aku perlu belajar menerima kenyataan bahawa bertanya dan mengadu kepada insan bukanlah jalan terbaik.

Sebaliknya, daripada pengalaman pahit ini, aku perlu menjadi seorang insan yang ikhlas apabila didatangkan kepadaku mereka yang bertanya dan mengadu kepadaku kerana aku tidak mahu insan lain merasai apa yang telah, sedang dan masih aku rasai pada waktu itu dan hingga kini.

Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan soalan yang kuajukan lahir daripada hati yang ingin mengetahui kebenaran?

Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan soalan yang kuajukan lahir daripada hati yang inginkan jawapan yang dikukuhkan dengan penjelasan?

Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan aku mendambakan ketetapan hati agar keyakinanku teguh ketika mula condong?

Mengapakah aku disalahtafsir?

Duhai hati nurani seorang Nuraini, redhalah dengan ujian perasaan ini.

Redhalah....

Redhalah....

Redhalah....

:(

Saturday, May 5, 2012

Electric Blue & Rita Rudaini

ELECTRIC BLUE is one of my favourite colours.


RITA RUDAINI is one of my favourite actresses.





Friday, May 4, 2012

Tugasan Sosio Linguistik: Lirik Lagu Pandang Pandang Jeling Jeling

Tengah hari tadi, aku ke Akademi Pengajian Melayu untuk menyerahkan RM300 kepada Khaidir.

Mesyuarat dijadualkan pada jam 11 pagi tetapi aku lewat kerana bangkit daripada tidur pun lewat.

Penyerahan RM250 daripada hasil keuntungan gerai jualan Unit Tajaan sepanjang tiga minggu pertama telah diserahkan kepada Khaidir beberapa minggu yang lalu.

Sejauh ini, RM476.31 telah terkumpul daripada gerai jualan yang mula beroperasi pada Isnin, 19 Mac 2012.

Secara keseluruhan, RM550 telah diserahkan kepada Khaidir.

Selain daripada gerai jualan, setiap pengurus diminta untuk meminta dana sumbangan daripada pelajar Tahun 1, Tahun 2, rakan-rakan di kolej atau sesiapa sahaja yang sudi kecuali pelajar Tahun 3 memandangkan mereka telah diminta untuk menyumbang RM25 setiap seorang.

Alhamdulillah, RM172 telah diperolehi sejauh ini.

Moga dengan terkumpulnya dana sumbangan daripada setiap pengurusku, semoga angka RM1000 dapat tercapai.

Enam minggu telah berlalu.

Minggu hadapan ialah minggu terakhir Unit Tajaan menjalankan perniagaan.

Pengalaman yang 'simple' tetapi bererti lagi indah.

Jam 4 petang tadi adalah janjitemuku dengan Encik Rahman daripada Restoran Rebung yang telah bermurah hati menghadiahkan 2 baucar makan tengah hari untuk 2 pasangan.

Siapa yang bertuah, akan berpeluang makan percuma di Restoran Rebung. :)

Kepergianku ke Restoran Rebung telah ditemani Ashaari yang memandu kereta memandangkan dia daripada Unit Pengangkutan.

Alhamdulillah, rupa-rupanya ramah juga Ashaari.

Khaidir tidak dapat ikut sama kerana ada urusan lain sedangkan jika kami ke Rebung pada jam 2 petang seperti yang dirancang, insyaAllah Khaidir ada bersama.

Kini, aku sedang dan masih mengusahakan tugasan menganalisis lirik lagu.

Bukan mudah meskipun tidak susah.

Lirik lagu yang sedang dianalisis adalah Pandang Pandang Jeling Jeling yang terdiri daripada lapan stanza.

Enam daripada stanza dalam lagu ini adalah pantun Melayu lama yang indah.

Sila hayati dan nikmati meskipun aku masih belum memperolehi maklumat yang mencukupi untuk menyempurnakan tugasanku yang telah tertunda sedangkan tarikh penghantaran tugasan ini ialah Isnin lalu.


Pandang Pandang Jeling Jeling (Dato SM Salim & Siti Nurhaliza)

Cincin intan bunga selasih
Mari dipakai di waktu petang
Kenapa tuan tak mahu berkasih
Adakah orang akan melarang

Kain sarung kain terendak
Memanglah manis kalau dipakai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai

Menjeling menjeling kubertentang
Mata kita sama memandang
Kucuba kucuba nak bertanya
Siapa diakah namanya

Menjeling menjeling kubertentang
Mata kita sama memandang
Bercakap bertanya dan bermesra
Jangan sampai datang rumah

Tuai padi musim dah tiba
Mari menuai di waktu pagi
Kalau begini malang menimpa
Biar kuturut kata hati

Bunga selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun bertemu juga

Kereta kuda pedati lembu
Singgah mari di tepi kuala
Tuan sutera saya belacu
Mana kan boleh berganding sama

Burung jelatik sarang kedidi
Sarang tempua sarang berjuntai
Sungguh pun cantik sutera diuji
Belacu juga tahan dipakai

Thursday, May 3, 2012

Belahan Jiwa Adikku

Berkemungkinan, belahan jiwa adikku telah bertudung kerana gambar-gambar di FB mereka sejak 16 April memperlihatkan begitu.

Alhamdulillah.

Semoga diriku pula akan menyempurnakan pemakaian tudungku ke tahap menutup aurat yang sebenarnya seperti yang diperintahkan Allah s.w.t dan diajarkan Rasulullah s.a.w. kerana aku sedar masih banyak lagi yang belum aku sempurnakan.

InsyaAllah.






Wednesday, May 2, 2012

Tugasan Sosiolinguistik: Lirik Lagu Mengapa Dirindu

Tarikh penghantaran satu-satunya tugasan bagi modul Sosiolinguistik jatuh pada 30 April 2012 iaitu Isnin yang lalu.

Namun apakan daya, aku telah berhasrat untuk melewatkan penghantaran tugasan ini kerana menunaikan hasrat yang terpendam sekian lama dan telah tertunda sejak minggu yang sudah.

Kini, Alhamdulillah, hasrat ke Kelantan telah tertunai pada 27 April 2012 iaitu Jumaat.

Kami bertolak dari Universiti Malaya sebelum jam 12 malam pada 26 April 2012 iaitu Khamis.

Program yang diberi nama Kembara Kelantan oleh pengurus yang memiliki aura yang tenang serta baik budi apatah lagi bertanggung jawab iaitu Abu Bakar telah terlaksana pada 26 April 2012 hingga 29 April 2012.

Abu Bakar telah mengurus penyewaan tempat tinggal kami iaitu sebuah rumah tamu yang terletak di Bachok.

Pengurusku yang teguh pendirian, tegas peribadi dan tegar semangat iaitu Sarah Najwa pula mengurus penyewaan kereta Alza dan kereta Viva untuk kami.

Barangkali di pos yang lain, kenangan di Kelantan akan dirakamkan.

Buat kali ini, sekadar menyatakan bahawa aku tidak menepati tarikh penghantaran tugasan dan hingga ke detik ini, masih mengusahakan tugasan ini.

Tugasan Sosiolinguistik ini boleh dikatakan menarik kerana aku perlu menganalisis 5 lirik lagu.

Sejauh ini, aku telah mengusahakan 4 lirik lagu iaitu lirik lagu Mengapa Dirindu, Pandang-Pandang Jeling-Jeling, Rumah Kecil Tiang Seribu dan Merindu Kepastian.

Ketiga-tiga lagu yang kupilih iaitu Mengapa Dirindu, Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Rumah Kecil Tiang Seribu mengandungi pantun Melayu lama yang indah.

Manakala Merindu Kepastian pula merupakan lagu mendayu-dayu yang penuh estetika kerana mengandungi metafora.

Inginku berkongsi tulisanku tentang lagu pertama pilihanku iaitu Mengapa Dirindu yang kukenal sejak kecil dan telah kujatuh cinta kepadanya sejak itu.

Pada waktu itu, kudengar lagu ini melalui kaset yang ibuku beli.

Kaset itu dibintangi oleh Abdullah Chik dan Noraniza Idris.

Konsep lagu yang didendangkan adalah lagu Melayu lama.

Satu-satunya lagu yang aku suka ialah Mengapa Dirindu.... dahulu, kini dan selamanya.

Perkongsianku yang sekelumit ini adalah seperti berikut dan insyaAllah, jika selesai sudah tugasanku, akan kukongsi intipati yang terkandung dalam penganalisisanku:


Analisis Lirik Lagu Mengapa Dirindu

Lirik lagu Mengapa Dirindu telah dinyanyikan oleh biduanita Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail. Lagu yang cukup popular ini kemudian dinyanyikan semula oleh beberapa orang penyanyi lain seperti Uji Rashid, Noraniza Idris dan Syura. Lirik lagu ini terdiri daripada tujuh stanza yang tidak terikat atau tidak tetap. Stanza pertama, kedua, keempat dan kelima terbina daripada lima baris kata-kata dalam setiap stanza. Namun, keempat-empat stanza yang tersebut sebenarnya adalah pantun empat kerat.

Lirik lagu Mengapa Dirindu merupakan pujukan seorang insan terhadap insan lain yang sedang berduka kerana gagal dalam percintaan. Pujukan insan ini terlukis melalui setiap stanza, satu demi satu dalam lirik lagu ini. Pujukan yang diberikan memperlihatkan rasa empati terhadap insan yang sedang berduka dan memerlukan sokongan moral. Lantas, lirik lagu ini sebenarnya mengandungi unsur nasihat yang disulam dengan penuh keindahan agar insan yang kecewa akan meneruskan kehidupan.