Air hujan membasahi bumi UM pada pagi ini.
Seperti biasa aku belum melelapkan mata.
Sambil menjengah tugasan Kesenian Melayu dan Islam, Facebook juga turut disinggah.
Jiwa tiada tenang.
Hati tiada senang.
Masa nan lalu masih merantai qalbu.
Masa kini menggamit pilu.
Masa akan datang membuat aku terganggu.
Apakah aku bersedia untuk pulang dan 'pulang'?
Pulang ke tanah air untuk kembali menetap di sana di samping bertugas.
Bertugas sebagai seorang guru yang dikelilingi anak-anak murid yang rencam keletah dan kerenah mereka sebenarnya menghiburkan tetapi....
Aku masih bertetapi.
Hanya Tuhan yang tahu.
Tuhan telah memberiku sebesar-besar nikmat dengan meng'hijrah'kan aku selama tiga tahun di Malaysia sebagai seorang pelajar di Universiti Malaya.
Tidak layak diriku menggelarkan diriku mahasiswi sedangkan usahaku tidaklah segigih itu.
Andaikata gigih, mungkin boleh kunobatkan bahawa Semester 3 dan Semester 4 merupakan dua semester yang memperlihatkan kegigihanku.
Itu pun tidak ramai yang dapat mengerti bahawa aku mempunyai masalah insomnia yang menjejas fokusku di pagi atau siang hari kerana malam hingga ke subuh merupakan waktu paling aktif bagiku.
Walau apa pun, pengajianku di UM akan bernokhtah beberapa minggu lagi.
Pulang ke tanah air adalah suatu perkara yang pasti.
Sudah aku ketahui bila.
Pulang kepadaNya juga merupakan suatu perkara yang pasti.
Meskipun aku tidak ketahui bila.
Antara pulang dan 'pulang', mana satu yang akan menjemputku terlebih dahulu.
Pastinya, kedua-dua pulang dan 'pulang' adalah perkara yang sudah pasti untukku.
Jiwa tiada tenang.
Hati tiada senang.
No comments:
Post a Comment