Tersinggung apabila aku dihukum dan dilabel sebegitu.
Tersinggung kerana tidak menyangka bahawa soalan-soalan yang kuajukan kepada seseorang kerana pada waktu itu, aku benar-benar mendambakan jawapan untuk menenangkan jiwa yang sedang bergolak dengan persoalan-persoalan yang bersarang di mindaku.... rupa-rupanya menyebabkan seseorang itu menilaiku.
Menilaiku dengan pandangan negatif.
Aku dihukum dan dilabel sebagai insan yang 'keliru' dan 'seharusnya tidak perlu bingung dengan perkara yang simple.'
Seperti itulah kata-kata seseorang itu kepadaku.
Aku bertanya kerana aku ingin mengetahui kebenaran.
Aku bertanya kerana aku ingin persoalanku dijawab dengan penjelasan.
Aku bertanya kerana aku mendambakan ketetapan hati dengan keyakinan yang hakiki.
Namun, pertanyaan-pertanyaanku rupa-rupanya menjadikan seseorang itu menghukum dan melabelku.
Hampa.
Kecewa.
Pilu.
Tersinggung.
Kesal.
Setelah aku teruji dengan seseorang itu yang telah menghukum dan melabelku, aku teruji pula dengan seseorang yang lain.
Seseorang yang lain ini pula menilaiku dengan luahan dan perkongsianku tanpa memahami duduk perkara dan mengerti situasi hatiku.
Luahan dan perkongsian daripada insan yang rapuh sepertiku dirasakan tidak perlu.
Lantas, aku memilih mendiamkan diri untuk membawa hati.
Hampa lagi.
Kecewa lagi.
Pilu lagi.
Tersinggung lagi.
Kesal lagi.
Tidak semestinya hati perempuan dapat difahami oleh hati perempuan juga kerana soalan-soalan yang kuajukan meskipun telah terjawab, sebaliknya menjadikan aku insan yang dihukum dan dilabel.
Tidak semestinya hati perempuan dapat dimengerti oleh hati perempuan juga kerana luahan dan perkongsianku, sebaliknya menjadikan aku insan yang disalahtafsir.
Pada waktu dan ketika hati terhiris, aku menjadi rindu kepada seseorang yang pernah menghuni di ruang hati tetapi telah pergi untuk selama-lamanya.
Dialah satu-satunya insan yang tidak pernah menghukum dan melabelku meskipun ratusan soalan aku ajukan kepadanya kerana dia memahami dan mengerti bahawa jiwaku sentiasa berkocak dengan persoalan-persoalan yang tidak kutahu pada siapa hendak kutujukan.
Dialah satu-satunya insan yang berusaha untuk memahami diriku melalui luahan dan perkongsianku apatah lagi keluhan dan rintihanku.
Mungkin aku perlu belajar menerima kenyataan bahawa bertanya dan mengadu kepada insan bukanlah jalan terbaik.
Sebaliknya, daripada pengalaman pahit ini, aku perlu menjadi seorang insan yang ikhlas apabila didatangkan kepadaku mereka yang bertanya dan mengadu kepadaku kerana aku tidak mahu insan lain merasai apa yang telah, sedang dan masih aku rasai pada waktu itu dan hingga kini.
Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan soalan yang kuajukan lahir daripada hati yang ingin mengetahui kebenaran?
Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan soalan yang kuajukan lahir daripada hati yang inginkan jawapan yang dikukuhkan dengan penjelasan?
Mengapakah aku dihukum dan dilabel sedangkan aku mendambakan ketetapan hati agar keyakinanku teguh ketika mula condong?
Mengapakah aku disalahtafsir?
Duhai hati nurani seorang Nuraini, redhalah dengan ujian perasaan ini.
Redhalah....
Redhalah....
Redhalah....
:(
No comments:
Post a Comment