Sunday, April 28, 2013

Jintan putih dan jintan manis


Bak jintan putih dan jintan manis yang dipertemukan dalam masakan Singapura iaitu Kacang Phool.

Aku dari Sekolah Menengah Bedok South.

Dia dari Sekolah Menengah Pasir Ris.

Kami tidak berkenalan sewaktu kami berada di sekolah menengah.

Kali pertama aku memandang dia adalah di Politeknik Singapura pada tahun 1997 tetapi kami tidak pernah berkawan.

Namun ramai kawannya dan kawanku yang saling mengenali.

Nurhana kawanku di sekolah rendah adalah kawannya di sekolah menengah.

Taufik kawan sekolah menengahku adalah kawannya di politeknik.

Amin kawan sekolah menengahnya adalah kawanku di politeknik.

Kalau disenaraikan, boleh dikatakan bahawa begitu ramai sekali 'mutual friends' antara aku dan dia sebelum kami menjalinkan persahabatan.

Aku mengambil langkah pertama untuk berinteraksi dengannya di lelaman sosial Friendster pada tahun .....

2004 atau 2005.

Aku tidak pasti sama ada 2004 atau 2005.

Alhamdulillah, persahabatan itu berterusan sehingga kini.

Oleh sebab status kami sama iaitu belum berumahtangga, maka persahabatan itu menemui keserasian seperti jintan putih dan jintan manis dalam masakan Kacang Phool.

Dia bak jintan putih dan aku bak jintan manis.

Kekhuatiran kehilangan kepunyaan

Mengapakah aku begitu khuatir kehilanganmu sedangkan dirimu tidak pernah menjadi kepunyaanku?

Resipi Balik Kerja: Kentang Rebus Goreng Telur

Tentulah resipi ini aku dapatkan daipada internet.

Daripada tajuk resipi iaitu Kentang Rebus Goreng Telur, dapat dilihat bahawa terdapat dua kata nama dan dua kata kerja.

Kata nama Kentang dan Telur.

Kata kerja Rebus dan Goreng.

Tanpa kentang, tidak mungkin resipi ini diilhamkan memandangkan kentang ialah bahan utama.

Tanpa telur, resipi ini inshaa Allah boleh dimakan setelah dimasak tetapi tentulah kurang umph.

Tentang Rebus.

Kentang perlu direbus terlebih dahulu.

Lebih kurang 30 minit kerana kata ibuku, biarlah kentang itu empuk sepenuhnya.

Tentang Goreng.

Kentang akan digoreng bersama perencah setelah kentang direbus.

Kemudian, barulah telur akan digoreng bersama masakan kentang itu.

Hmm.

Berikut merupakan resipi Kentang Rebus Goreng Telur.

Bahan-bahan:

Kentang 7 biji

Bawang besar 2 biji

Bawang putih 4 biji

Lada sulah atau serbuk lada putih 1 sudu besar

Garam

Telur 3 biji

Bawang goreng 4 sudu besar

Daun sup daun bawang secukupnya


Cara-cara memasak:

(1) Rebus kentang terlebih dahulu. Kemudian kupas kulit kentang. Akhir sekali, kentang dipotong empat.

(2) Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga layu.

(2) Bubuh lada sulah atau serbuk lada putih.

(3) Setelah perencah dimasak, masukkan kentang.

(4) Bubuh garam penyedap rasa. Gaul sehingga rata.

(5) Telur dikocok sedikit terlebih dahulu. Kemudian buat lubang di tengah-tengah masakan kentang untuk masukkan telur. Akhir sekali, masukkan telur di tengah-tengah masakan kentang tanpa digaul supaya telur tidak hancur.

(6) Gaul sehingga rata.

(7) Hiasi masakan dengan bawang goreng dan daun sup daun bawang.

Selesai sudah.

Aktiviti memasak di dapur rumah ibu bapaku berlangsung pada petang 23 April 2013, Selasa setelah aku pulang dari tempat kerja.

Bersemangat memasak sekilo kentang kerana sudah beberapa hari memendam rasa untuk memasak dan makan masakan ini yang pernah suatu masa dahulu dijual di kantin sekolah rendah sehingga begitu ramai penggemarnya termasuk jururawat yang mengunjungi sekolahku.

Aku masih teringat akan situasi si jururawat itu berbicara denganku tentang masakan ini yang terdapat di kantin sekolah kami.

Memang enak!

Aku penggemar masakan ini!

Sebenarnya, masakan tukang masak di kantin sekolah rendahku memang sedap-sedap belaka.

Ibuku juga pernah dan boleh dikatakan selalu masak masakan ini untuk kami.

Kini giliran aku memasak Kentang Rebus Goreng Telur sebagai resipi balik kerja.

Saturday, April 27, 2013

Jubah B dan L yang sudah diBeLi tetapi BeLum dipakai

Jubah E sama warna dengan jubah B yang telah aku pesan.

Oleh sebab aku ingin meminggirkan warna merah jambu dalam pemakaian aku, aku tidak memilih jubah E.

Namun tidak aku nafikan bahawa mataku sering mencuri pandang akan jubah E sedangkan jubah B sudah ada di hadapan mata.

Dalam rasa jemu terhadap warna merah jambu, tidak aku nafikan bahawa aku tertarik kepada gandingan warna merah jambu dan warna hijau.

Manis dipandang mata.


Walaupun jubah H sama warna dengan jubah B dan jubah E, aku tidak berminat.


Akhirnya, aku telah mendapatkan jubah L pula kerana aku terpana dengan warna biru elektrik iaitu warna kegemaranku meskipun aku tidak begitu terpesona dengan corak pada jubah L.

$25 dibayar secara tunai kepada usahawanita itu sewaktu aku berada di rumahnya pada Jumaat lalu.

Aku telah berkunjung ke rumahnya untuk melihat sendiri dengan mata kepalaku akan koleksi dres labuh yang beliau pasarkan di lelaman sosial Facebook.

Maklumlah, melihat gambar pakaian di ruang Facebook tidak sepenuhnya tepat dan tidak semestinya sesuai untuk si pemakai.

Setelah melihat sendiri pakaian yang ada di hadapan mata, barulah rasa puas.

Jubah B dan L kini menjadi milikku.

"BiLa nak pakai?"

"BeLum lagi."

"BeLi sudah. Pakai BeLum!"

"BuLan depan k."

"BoLeh."

Sunday, April 21, 2013

Jujur aku rajuk


Jujur aku rajuk
Rajukku tidak dipujuk

Jujur aku kecil hati
Kecil hatiku tidak diambil peduli

Itulah kekurangan persahabatan aku dan dia
Rajuk dan kecil hati tidak pernah aku kemuka

Itulah kekurangan persahabatan kami berdua
Senyum dan tawa terlalu selalu ketika bersemuka

Kerana kutahu rajukku tak mampu kau kendali
Lantas aku hanya mendiamkan diri

Kerana kutahu kecil hatiku tak mampu kau hadapi
Lantas aku hanya membawa diri

Demi menjaga persahabatan ini
Biar jarak merawat hati

Demi memelihara persahabatan ini
Biar jauh memulih hati

Saturday, April 20, 2013

'Online shopping'ku yang pertama

Urusan jual beli melalui internet ataupun 'online shopping'ku yang pertama boleh dikatakan tidak begitu sukses kerana saiz XS untuk jubah yang kupesan harus dipulangkan kepada usahawanita itu sebelum jubah baharu bersaiz S dihantar kepada pemesan iaitu aku.

Saiz XS!??



Aku telah pun menerima pesananku iaitu jubah B.

Aku dikenakan harga $26 untuk jubah ini termasuk harga setem untuk penghantaran.

Namun oleh sebab aku perlu memulangkan jubah bersaiz XS kepada usahawanita yang berurusan denganku, aku perlu mengeluarkan $1 lagi untuk setem.

Bagi pihak usahawanita itu pula, dia perlu membuat penghantaran kali kedua yang sekali lagi memerlukan setem bernilai $1.

Dalam mendapatkan harga yang lumayan bagi pesanan pakaian yang dilakukan secara 'online', kedua-dua pihak rugi kerana masing-masing perlu mengeluarkan $1 yang tidak dirancang dan dijangka untuk urusan memulangkan bagi pihak aku dan menghantar semula bagi pihak dia.

Itulah kekurangan membuat urusan jual beli menerusi internet apabila saiz pakaian tidak menepati saiz tubuh si pemakai.

Saat melihat bingkisan sudah sampai di rumah merupakan detik yang menggembirakan walhal bingkisan itu belum dibuka.

Hampa menerpa setelah pakaian itu dikenakan di tubuh si pemakai.

Walaupun hampa, tidak kecewa.

Semoga aku akan ber'online shopping' lagi.

Monday, April 8, 2013

Tujuh minggu Unit Tajaan berniaga di foyer untuk Kenduri Rakyat APM 2012


Keuntungan yang diraih sepanjang tujuh minggu berniaga di dataran adalah seperti berikut:

Minggu pertama (19/3 - 21/3): RM 74
Minggu kedua (26/3 - 28/3): RM 182.30
Minggu ketiga (9/4 & 10/4): RM 59.20
Minggu keempat (16/4 - 18/4): RM 82.45
Minggu kelima (23/4 - 25/4): RM 24.00
Minggu keenam (30/4 & 2/5): RM 54.36
Minggu ketujuh dan terakhir (7/5 - 9/5): RM 137

Jumlah keuntungan selama 7 minggu: RM 613.31




Ahmad Nazif iaitu salah seorang pengurus sedang bersembang adik-kakak denganku ketika gerai kami tidak dikunjungi orang ramai. Beliau merupakan artis yang bermain alat muzik dan menggubah lagu untuk grup lagu puisinya.

 

Salah seorang pengurus iaitu Norfatihah yang lazimnya ditemani sahabat rapatnya iaitu Mazirahyu tetapi beliau tidak dapat bertugas pada waktu yang dijadualkan. Gerai kami sedang dikunjungi Hafiz yang sedang melihat salah satu produk jualan kami iaitu lencana jabatan.



Dua orang pengurus yang juga bersahabat rapat iaitu Siti Zamzarina (yang sedang duduk dengan simbol 'peace' di tangan) dan Farha Salwa (yang sedang berdiri dengan simbol 'peace' juga di tangan).



Mereka berdua yang sedang duduk di balik kaunter gerai kami ini bukanlah pengurus bertugas tetapi pengunjung bertandang. Mungkin ramai yang tidak kenal dengan Mazwan yang pendiam tetapi tidak mungkin ramai yang tidak kenal dengan Zakaria yang kaki borak.



Salah seorang pengurus iaitu Mohamad Shafiq Rohaizad sedang bersembang adik-kakak denganku ketika gerai kami tidak dikunjungi orang ramai. Beliau merupakan YB akademi kami pada tahun lalu.