Saturday, May 25, 2013

Berhenti Berharap

Aku tidak dapat menghindari daripada perasaan putus asa.

Aku tidak dapat mengelak daripada perasaan patah hati.

Langkah kakiku yang longlai ini tetap terpaksa aku teruskan kerana aku benar-benar tidak ada pilihan lain.

Berhenti berharap.

Monday, May 6, 2013

Didicazli: Dambaan

Sebuah lagu yang romantis daripada Didicazli.

Dambaan.



Ungkapan kata selindung hasrat nan di hati
Andainya ditafsir terserlah makna yang tersembunyi
Renungan mata bukan pandangan biasa

Bertahun handai terjalin hingga waktu ini
Gurauan mesra menghiasi masa tika bersama
Semakin berputik perasaan ini

Kini baru kusedari
Selama ini kau kusayangi
Andai bukan itu hakikatnya
Mengapa rindu yang kurasa

Mungkin tiada kufahami
Tidak dapat kunafikan lagi
Beban rahsia kian membakar diri

Kalimah cinta selongkar renungan dicipta
Mungkinkah dibiar terdampar
Kasih tak kesampaian
Naluri bisik bukannya dambaan cinta

Kini baru kusedari
Selama ini kau kusayangi
Andai bukan itu hakikatnya
Mengapa rindu yang kurasa

Mungkin tiada kufahami
Tidak dapat kunafikan lagi
Beban rahsia kian membakar diri

Ikhlas kunyatakan
Kau yang kusayangi
Kau yang kucintai
Walau tak mampu kumiliki

Ingin kuluahkan
Mungkin satu hari
Kan terbuka pintu hati
Dapat juga kau terima
Diriku akhirnya

Sunday, May 5, 2013

Sejauh 8 episod Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua

Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua.

Setelah menonton episod ke-8, bukan Norish Karman lagi yang aku tafsir akan menjulang kejuaraan.

Bakat memasak beliau tidak menyerlah.

Walaupun pada awalnya, aku kagum dengan bakat kepimpinannya ketika beliau menjadi ketua kumpulan, akhirnya aku bertukar fikiran.

Aku kecewa apabila beliau mengadu kepada Masterchef bahawa beliau tidak dibantu sedangkan beliau seharusnya terlebih dahulu meluahkan masalah itu kepada ketua kumpulan iaitu Kencana Dewi.

Kecewa dengan sikap Norish Karman yang suatu masa dahulu pernah menyatakan bahawa menjaga hati insan itu perkara yang penting.

Begitu juga aku kecewa dengan Rozita Che Wan yang berhasrat untuk ikut keluar sang kekasihnya dengan alasan 'sehati sejiwa' sedangkan sudah terang lagi bersuluh, sang kekasihnya itu hanya mengikut perasaan sewaktu bertelingkah dengan Masterchef.

Mungkin silap Masterchef kerana mengomel kepada sang kekasihnya itu.

Namun, Masterchef adalah guru yang sedang mengajar dan boleh diibaratkan bapa yang sedang membimbing.

Tidak ada sebab untuk beremosi sebegitu rupa kepada seorang guru yang bertauliah dan seorang bapa yang jauh lebih tua.

Kecewa dengan sikap sang kekasih Rozita Che Wan.

Wednesday, May 1, 2013

Episod keempat Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua: 'STRESSFUL' dan 'sweet'

Aku sedang menonton Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua melalui lelaman Dailymotion.

Pada ketika ini, aku sedang menonton episod keempat apabila 5 daripada 9 anggota kumpulan merah sedang menjalani ujian penyingkiran.

Episod keempat boleh dikatakan 'stressful' dan 'sweet' kerana Selena diminta untuk memilih hanya 5 orang anggota sahaja untuk ujian penyingkiran.

Pak Nil memandang wajah Selena yang pada ketika itu sedang tertekan.

Pak Nil melangkah ke hadapan secara sukarela untuk 'menyerahkan diri'.

Beliau cukup 'gentleman' kerana ikhlas menyanggupi ujian penyingkiran ini.

4 orang anggota lain juga turut menyenaraikan dirinya untuk memakai apron hitam.

Kini, masakan Pak Nil sedang dirasai.

Kini, hanya tinggal Pak Nil dan Keroz yang belum diumumkan sebagai anggota yang terpilih lulus ujian ini.

Kini, pengat Pak Nil diumumkan sebagai antara pengat yang terbaik.

Berdasarkan 4 episod ini, aku dapat tafsirkan Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua mungkin akan dijulang oleh Norish Karman setelah Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama dijulang oleh Dr Fazley.

Namun, bakat memasak setiap anggota MSM musim kedua belum begitu menyerlah sejauh ini.


Monday, April 29, 2013

Watak suami dalam Jujur Aku Dayus dan Salahkah Aku

Selesai menonton Jujur Aku Dayus untuk kali kedua.

Pertama kali menonton Jujur Aku Dayus di dalam bilik C403, Kolej 11, Universiti Malaya.

Watak utama Edree atau Ed dilakonkan oleh pelakon lelaki yang aku minati iaitu Beto Kusyairy.


Kini aku menonton Salahkah Aku untuk kali pertama.

Jalan cerita yang mencabar dan menarik tentang seorang lelaki kaki masjid yang bernikah dengan seorang wanita kaki sosial.

Watak utama iaitu Adam dilakonkan oleh seorang lagi pelakon lelaki yang aku minati juga iaitu Husein.



Resipi Balik Kerja: Puding Roti

Bahan-bahan:
7 keping roti
4 sudu besar mentega
3 biji telur
4 sudu besar gula halus
500 ml susu cair atau susu segar (2 cawan)
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu teh esen vanila
Kismis secukup rasa

Cara-cara:
(1) Pukul telur dan gula sehingga gula larut.
(2) Masukkan susu, serbuk koko dan esen vanila. Gaul campuran sehingga rata.
(3) Loyang hendaklah disapu mentega. Campuran boleh dimasukkan ke dalam loyang.
(4) Sapu roti dengan mentega. Kemudian roti dipotong empat. Akhir sekali, rendam roti ke dalam campuran lapisan demi lapisan selama 5 minit.
(4) Sewaktu merendam roti ke dalam campuran lapisan demi lapisan , kismis boleh dimasukkan.
(5) Mentega yang cair dimasukkan ke dalam campuran.
(6) Bakar sehangat 180 degree celcius dalam ketuhar selama 30 minit.

* Mentega mempunyai 3 kegunaan. Kegunaan pertama, mentega disapu di bahagian dalam loyang iaitu bahagian bawah dan tepi loyang. Kegunaan kedua, mentega disapu ke roti. Bagi percubaan pertamaku, aku tidak menyapu mentega ke roti. Sebenarnya, mentega lebih melazatkan lagi puding ini. Kegunaan ketiga, mentega yang cair dimasukkan ke dalam campuran sebelum dibakar.

Alhamdulillah, percubaan pertamaku ini boleh dikatakan menjadi. Enak. Kehadiran kismis yang disarankan oleh ibu angkatku menyedapkan lagi puding ini. Maklumlah, rasa kismis masam-masam manis. Puding pula manis. Aku juga amat suka dengan rasa mentega yang lemak masin. Hmm. Sedap. Ada rasa manis, masam-masam manis dan lemak masin. Puding yang dimakan sesudah dimasukkan ke dalam peti ais pula lebih sedap, menurut ibu angkatku.

Sunday, April 28, 2013

Minda seorang Nuraini tidak mampu merakam setiap dan segala yang telah dan pernah terjadi


Perasaan masih berkocak apabila melihat gambar-gambar tertentu yang merakamkan detik-detik terakhir di bumi Universiti Malaya.

Gambar-gambar tertentu itu mengendong perasaan berat hati yang tersorok dalam sanubariku untuk meninggalkan bumi Universiti Malaya.

Perkara yang telah dan pernah berlaku.

Perkara yang telah dan pernah dilakukan.

Perkara yang telah dan pernah diperkatakan.

Kenangan terindah.

Sebahagian kenangan itu terakam dalam bentuk gambar.

Sebahagian kenangan itu terakam dalam bentuk video.

Sebahagian kenangan itu terakam dalam minda.

Sebahagian kenangan itu tidak terakam kerana minda manusia tidak mampu untuk merakam setiap dan segala yang telah dan pernah terjadi.

2009.

Ketika aku berkeputusan menetap di kolej dan bukan di kondominium sewaktu mula sampai di Universiti Malaya. Ketika menghadapi cabaran hidup berasrama seramai 3 kemudian 4 orang sebilik.

2010.

Ketika aku berkeputusan keluar daripada kepompong untuk bermasyarakat dengan pelajar-pelajar Malaysia sekuliah demi meruntuhkan tembok pemisah antara kami. Ketika aku aktif berinteraksi dengan pelajar Malaysia dengan lelaman sosial Facebook sebagai perantara.

2011.

Ketika aku merancang dan melaksanakan program bersama adik-adik sekuliah bermula dengan percutian ke Perak. Ketika mengambil modul yang bukan sekadar teori tetapi praktikal untuk modul Pemasaran Produk Seni dan Asas Pembudayaan Kesenian yang pada awalnya dikhuatiri tetapi kemudian dan akhirnya menyeronokkan.

2012.

Ketika aku diberi kepercayaan mengendalikan Unit Tajaan untuk program akademi iaitu Kenduri Rakyat sedangkan aku agak keberatan memikul tanggungjawab dan tugas itu tetapi tidak sampai hati untuk menolak permintaan. Ketika aku harus memaksa diri menerima hakikat bahawa status pelajar telah berakhir dan aku bukan perantau di bumi Malaysia lagi.