Sunday, April 28, 2013

Minda seorang Nuraini tidak mampu merakam setiap dan segala yang telah dan pernah terjadi


Perasaan masih berkocak apabila melihat gambar-gambar tertentu yang merakamkan detik-detik terakhir di bumi Universiti Malaya.

Gambar-gambar tertentu itu mengendong perasaan berat hati yang tersorok dalam sanubariku untuk meninggalkan bumi Universiti Malaya.

Perkara yang telah dan pernah berlaku.

Perkara yang telah dan pernah dilakukan.

Perkara yang telah dan pernah diperkatakan.

Kenangan terindah.

Sebahagian kenangan itu terakam dalam bentuk gambar.

Sebahagian kenangan itu terakam dalam bentuk video.

Sebahagian kenangan itu terakam dalam minda.

Sebahagian kenangan itu tidak terakam kerana minda manusia tidak mampu untuk merakam setiap dan segala yang telah dan pernah terjadi.

2009.

Ketika aku berkeputusan menetap di kolej dan bukan di kondominium sewaktu mula sampai di Universiti Malaya. Ketika menghadapi cabaran hidup berasrama seramai 3 kemudian 4 orang sebilik.

2010.

Ketika aku berkeputusan keluar daripada kepompong untuk bermasyarakat dengan pelajar-pelajar Malaysia sekuliah demi meruntuhkan tembok pemisah antara kami. Ketika aku aktif berinteraksi dengan pelajar Malaysia dengan lelaman sosial Facebook sebagai perantara.

2011.

Ketika aku merancang dan melaksanakan program bersama adik-adik sekuliah bermula dengan percutian ke Perak. Ketika mengambil modul yang bukan sekadar teori tetapi praktikal untuk modul Pemasaran Produk Seni dan Asas Pembudayaan Kesenian yang pada awalnya dikhuatiri tetapi kemudian dan akhirnya menyeronokkan.

2012.

Ketika aku diberi kepercayaan mengendalikan Unit Tajaan untuk program akademi iaitu Kenduri Rakyat sedangkan aku agak keberatan memikul tanggungjawab dan tugas itu tetapi tidak sampai hati untuk menolak permintaan. Ketika aku harus memaksa diri menerima hakikat bahawa status pelajar telah berakhir dan aku bukan perantau di bumi Malaysia lagi.

No comments:

Post a Comment