Sama ada tahun 2000 atau 2001.
Perkenalan dengan Shahrin bermula dengan 'chatting' yang mesra dan rancak.
Pada waktu itu, Shahrin sudah pun ber'matair' dengan seorang gadis madrasah.
Namun, takdir menentukan perjalanan cintanya dengan si gadis madrasah itu berkecai di tengah jalan apabila si gadis berubah hati setelah beberapa tahun ber'matair'.
Sejak itu, perjalanan cinta seorang Shahrin semakin dicabar, tercabar dan mencabar.
Dalam entri kali ini, bukan perjalanan cinta Shahrin yang penuh onak duri itu yang ingin aku coretkan tetapi sekadar meluahkan rindu di hati terhadap sentuhan jiwa seorang abang terhadap adiknya iaitu aku.
Shahrin yang aku kenali sejak awal tahun 2000an merupakan seorang lelaki berwatak 'abang' yang aku sayangi dan hargai.
Meskipun kami tidak mempunyai pertalian darah 'abang-adik', namun dia adalah tempat aku mengadu dan merujuk.
Banyak rahsia hidup yang kami kongsikan bersama.
Shahrin pada pandanganku ialah....
Seorang anak yang bertanggungjawab dan prihatin terutama sekali terhadap arwah ibunya.
Seorang lelaki yang penyabar dan lembut hati.
Seorang abang yang pelindung dan memahami.
Seorang teman yang tenang dan sedia menolong.
Seorang petugas yang pintar dan cekap.
Betapa aku kagum dengan sifatnya yang sentiasa sedia menolong apabila aku dan rakan-rakannya yang lain memerlukan bantuannya terutama sekali apabila aku ada masalah dengan komputer.
Dia ternyata berkebolehan dalam bidang komputer!
Dia amat memahami selok-belok perkakasan dan perisian komputer kerana bidang itulah yang diceburinya dalam mencapai segulung ijazah sehingga aku selalu merujuk kepadanya. (Shahrin's helpline. Hehehe.)
Alhamdulillah, Shahrin berjaya dalam kerjayanya!
Apabila situasi memerlukan dia mendengar akan segala keluh-kesah dan kegusaran di hatiku apabila aku ditimpa masalah, sifatnya yang memahami dan mendengar dengan penuh sabar amat menyentuh hati.
Betapa aku hargai dan rindui.... sebenarnya.
Dia kemudian akan memberi pandangan dan bimbingannya daripada kaca mata seorang abang yang tenang, matang, rasional, memahami dan pelindung.
Dia tidak suka menghukum orang lain melainkan memberi petunjuk kepadaku agar tidak terdorong dek emosi.
Maklumlah, kadang kala sebagai seorang wanita, emosi mengalahkan rasional.
Tutur katanya sentiasa dijaga dan atas dasar itu, dia kurang berterus terang akan kebenaran kerana terlalu ingin menjaga hati orang lain (kecuali apabila situasi sangat mencabar maruah dan emosinya).
Mengenali seorang abang seperti Shahrin menjadikan aku memahami bahawa seorang lelaki itu adakalanya tidak berterus terang kerana tidak mahu menyakiti hati sesiapa meskipun hatinya sendiri sedang sakit.
Alhamdulillah, setelah Shahrin bernikah dengan seorang bidadari yang telah merawat jiwanya yang luka parah setelah perjalanan cintanya begitu bersimpang-siur, Shahrin kini sungguh bahagia.
Aku bahagia dengan kebahagiaannya.
Siapa sangka anak muridnya sendiri yang pernah menaruh perasaan terhadapnya suatu masa dahulu akhirnya menjadi isterinya yang sah setelah Shahrin kecundang beberapa kali dalam percintaan. (Cinta roller coaster. Huhuhu.)
Situasi tidak mengizinkan kami berhubung buat masa ini tetapi aku percaya dan yakin, insyaAllah kami akan terhubung semula.
Coretan ini sekadar meluahkan rindu di hati ini terhadap seorang abang bernama Shahrin yang terserlah sifat pelindungnya dan jiwanya yang penyabar.
Moga hidupnya sekeluarga diberkahi, dilindungi dan dipimpin Allah sentiasa.
Pesannya kepadaku selalu sejak dahulu, "Adikku, sabar sampai mati ya."
Maksudnya, dalam menghadapi hidup ini hinggalah ke penghujungnya, aku perlu sentiasa bersabar.
Shahrin dan sang bidadarinya yang jelita pada April 2009.
Rindu.
No comments:
Post a Comment