Saturday, April 30, 2011

Sistem Sapaan 'Yang Berhormat' dan 'Yang Berbahagia'

Apabila aku membaca Bab 5 (Sistem Sapaan: Aspek Panggilan Hormat) dalam buku 'Santun Berbahasa' tulisan Awang Sariyan, barulah aku sedar perbezaan antara YB dan YBhg. Berikut ialah tulisan beliau.

Panggilan hormat ialah bentuk sapaan atau rujukan kepada orang tertentu mengikut gelar dan jawatannya. Gelar yang dimiliki oleh seseorang berdasar pada anugerah darjah kebesaran yang diterimanya, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri. Jawatan yang disandang oleh seseorang pula adalah atas pelantikan kerajaan. Jadi orang yang bergelar boleh jadi sekali gus memegang jawatan tertentu, tetapi boleh jadi tanpa jawatan apa-apa dalam kerajaan.

Orang yang berjawatan, katakanlah ia menteri, maka sama ada ia bergelar atau tidak, ia dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berhormat. Jika ia bergelar, misalnya gelar Dato', maka gelar itu tidak mempengaruhi panggilan hormat yang didasarkan pada jawatannya. Beliau tetap patut dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berhormat.

Bagi orang yang bergelar tetapi tidak memegang jawatan dalam kerajaan, maka panggilan hormat kepadanya berdasar pada gelar yang dimilikinya, sebagaimana yang ditetapkan oleh Bahagian Istiadat Jabatan Perdana Menteri. Sebagai contoh, orang yang bergelar Dato' tetapi tidak memegang jawatan kerajaan dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berbahagia.

Dalam membuat panggilan hormat kepada seseorang, kita perlu mengetahui gelar atau jawatan yang dimiliki oleh orang itu supaya panggilan itu bertepatan dengan gelar dan jawatan yang dimilikinya. Aspek ini termasukmdalam kesantunan berbahasa dan bahkan amat perlu dititikberatkan untuk memastikan bahawa sesuatu urusan dan majlis berlangsung dengan teratur dan rapi. Kesilapan menyatakan panggilan hormat akan mencacatkan majlis; dan kita, sama ada sebagai pengacara, pengerusi atau pemidato dianggap tidak santun dan tidak menghormati orang. Secara langsung, kita telah merosakkan satu sistem kemasyarakatan.

Pengetahuan ini berguna meskipun peperiksaan Bahasa Melayu Lisan sudah pun berlalu. :)

2 comments:

  1. habis kalau Prof Dato' Dr nak Address apa? sorry lari tajuk ... tapi mana tau kamu tau.. thank you so much

    ReplyDelete
  2. Alish: Maaf, baru sekarangg saya perasan ada pertanyaan. Terima kasih kerana sudi membaca dan bertanya. Bagi seseorang yang tidak berjawatan tetapi mempunyai gelaran, maka sapaannya adalah Yang Berbahagia. Yang Berbahagia Prof Dato' Dr. :) Barangkali saya betul. Barangkali saya salah.

    ReplyDelete