Kesantunan Bahasa
Kesantunan bahasa secara umum merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun.
Bahasa Melayu sebagai bahasa yang telah beratus-ratus tahun menjadi bahasa tamadun di rantau ini dan sejak kemerdekaan pada tahun 1957 menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan juga bahasa ilmu di negara ini mempunyai tradisi yang mantap dalam pengungkapan dan penggunaan bahasa yang santun.
Dalam usaha kerajaan membentuk warganegara yang berjati diri, memelihara adab dan kesopanan serta bertamadun tinggi, kesantunan bahasa atau santun berbahasa sewajarnya menjadi amalan seluruh rakyat, daripada kalangan pemimpin hingga rakyat biasa. Dengan demikian, rakyat dan negara kita bukan sahaja maju dalam pembangunan ekonomi, sains dan teknologi, tetapi akan dihormati sebagai bangsa yang mempunyai maruah dan keperibadian yang tinggi.
Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dilancarkan oleh kerajaan pada awal tahun 2005 merupakan usaha yang penting untuk memupuk kesedaran dan penghayatan seluruh warganegara terhadap pentingnya budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bahkan dalam hubungan manusia sejagat. Santun berbahasa merupakan salah satu aspek penting kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni itu.
Peraturan Bahasa
Kesantunan bahasa diukur berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai peraturan bahasa masing-masing.
Sebahagian peraturan itu bersifat sejagat, seperti penggunaan panggilan hormat, kata sapaan kekeluargaan dan ungkapan bertatasusila. Ada sebahagiannya pula yang bersifat khusus bagi sesuatu masyarakat atau bangsa, seperti bentuk-bentuk panggilan kehormat menurut sistem susun lapis masyarakat, protokol dalam pentadbiran atau adat istiadat dan sistem kekeluargaan dalam masyarakat berkenaan.
Prof. Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar dalam bukunya Setia Dan Santun Bahasa (2002), merumuskan bahawa ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa iaitu
(i) peraturan linguistik
(ii) peraturan sosiolinguistik
(iii) peraturan pragmatik.
Kepatuhan kepada ketiga-tiga peraturan itu secara bersepadu menjadi asas kesantunan bahasa. Dengan perkataan lain, orang yang santun bahasanya ialah orang yang sedapat mungkin berbahasa dengan menitikberatkan ketiga-tiga peraturan bahasa itu.
Peraturan linguistik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi.
Peraturan sosiolinguistik pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat, yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat. Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara dengan khalayak, faktor suasana (misalnya antara suasana rasmi dengan suasana tidak rasmi), faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media (lisan atau tulisan).
Peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan
No comments:
Post a Comment