Remuk dan kecamuk.
Remuklah harapanku dan berkecamuk fikiranku.
Apabila sesuatu yang hanya terdiri daripada dua perkataan mampu menggoncang minda dan menggelombangkan hati ini, ternyata pengalaman lalu yang meninggalkan memori pilu kembali mengusik nurani.
Dua perkataan itu terlalu tinggi nilainya namun bagi aku yang belum menggapai dan mencapai penghayatan terhadap kedua-dua perkataan itu, tentunya aku rasa terpukul.
Beliau menyatakan dua perkataan itu, persis seseorang yang pernah menyatakan dua perkataan itu kepadaku suatu waktu dahulu.
Remuk dan kecamuk.
Lantas, tidur itu aku cari agar aku dapat menemui kelupaan atau kelenyapan memori pilu dek pengalaman lalu.
Betapa aku terasa diri tidak bermaya dan tidak berdaya.
Aku tidur diiringi lagu Jeritan Batinku nyanyian Jamal Abdillah dan Saleem.... di katilku sendiri (setelah kembali menghuni bilik C403).
Kemudian setelah aku bangkit daripada tidurku untuk menunaikan solat Maghrib, aku tidak dapat menyambung semula tidur yang kuperlukan.
Lantas, aku menyusun langkah ke bilik C309.
Di situ, aku dapat melelapkan mata buat kali kedua dengan harapan pengalaman lalu dapat dilupakan dan memori pilu dapat dilenyapkan.
Betapa aku memerlukan tidur itu untuk merehatkan minda dan menenangkan hati.
Remuk dan kecamuk.
Alhamdulillah, ketika aku menaip di blogku sekarang ini, aku fikir aku tenang.
Aku rasa aku tenang.
Namun, aku tidak pasti jika tenangku ini tidak akan hilang....
Betapa aku tidak berupaya sama sekali untuk menghalang dan menghadang ketentuanNya meskipun hanya melalui dua perkataan yang diungkapkan.
Aku mempunyai pilihan sama ada untuk melawan atau melayan perasaan.
Melawan perasaan bererti aku menghadapinya dengan keteguhan hati.
Melayan perasaan bererti aku menanggapi remuk dan kecamuk itu ke dalam hati.
Sejujurnya, aku tidak tahu..... kerana pada waktu ini, aku rasa aku sedang tidak mampu.
18 September 2011. Ahad.
No comments:
Post a Comment