Friday, April 13, 2012

12 April di Akademi Pengajian Melayu dan Perpustakaan Utama Universiti Malaya

Terpaut hatiku apabila menjejakkan kaki di aras dua Perpustakaan Utama Universiti Malaya seolah-olah cinta sedang bersemi semula.

Entah mengapa...

Mungkin disebabkan dengan detik perpisahan yang semakin hampir.

Mungkin juga disebabkan dengan sikapku yang boleh dikatakan sambil lewa pada semester ini hinggakan 7 minggu pertama di Universiti Malaya terasa bagai berlalu begitu sahaja.

Sepanjang 7 minggu pertama bermula daripada 13 Februari 2012 hingga 30 Mac 2012 dalam semester terakhirku sebagai seorang mahasisiwi tidak seperti semester-semester yang lalu.

Jika direnung-renung dan dikenang-kenang, semester ketiga dan semester keempatlah merupakan dua semester yang aku benar-benar berusaha dengan gigih.

Membaca, menyalin fakta, mencetak nota, melaksanakan tugasan... dengan sungguh-sungguh.

Sepenuh hati dan separuh mati kuusahakan.

Namun, apabila menjejakkan kaki ke semester kelima, kesungguhan itu kian kendur.

Apatah lagi apabila berada di ambang semester keenam, kesungguhan itu ternyata sudah hilang daya tariknya.

Entah mengapa...

Aku tidak fikir aku tidak tahu sebabnya.

Atau barangkali aku tidak mahu memikirkan sebabnya.

Barangkali juga aku cuba menafikan sebabnya.

Apa pun, petang ini, aku bersyukur dapat menikmati suasana di Aras 3, Perpustakaan Utama Universiti Malaya.

Membaca tidak banyak tetapi aku telah mula memberi fokus sedangkan aku mengantuk kerana hanya tidur sejam lebih demi melengkapkan Rancangan Pengajaran yang perlu kupersembahkan kepada Dr Abdul Hamid.

Rancangan Pengajaranku sudah 90% disiapkan.

Alhamdulillah.

Gambar-gambar digital yang memperlihatkan proses pengajaranku sahaja yang belum sempat aku lampirkan.

Ulasan beliau tentang Rancangan Pengajaranku tertumpu kepada Set Induksi yang perlu diperbaiki agar dua kemahiran yang akan aku ajar dapat dikaitkan dengan Set Induksi yang menjadi daya tarikan utama sesebuah pengajaran.

Bahkan, ketiga-tiga teknik itu agak banyak dan Dr Hamid memintaku fokus kepada hanya satu teknik sahaja memandangkan teknik pertama beliau sifatkan sebagai konvensional manakala teknik ketiga tidak begitu menarik perhatian beliau.

Lantas, kami sependapat untuk memilih hanya teknik kedua sebagai fokus untuk kemahiran pertama yang akan aku ajarkan di dalam kelas.

Aku belum dapat memaparkan gambar-gambar digitalku tentang pengajaranku kerana bimbang, pisang akan berbuah dua kali apabila idea yang kukongsi diambil orang.

InsyaAllah, jika selesai sudah pengajaranku di dalam kelas, akan aku paparkan gambar yang aku ambil untuk pembinaan Rancangan Pengajaran bagi modul Pendidikan dan Pengajaran Seni.

Jam 11.30 pagi.

Janji temuku dengan Dr Hamid.

Setelah selesai berbincang dengan Dr Hamid, aku membuat janji temu dengan Abu Bakar dan Sarah Najwa untuk program Cuti-Cuti Malaysia ke Kelantan dengan tema yang dinamai Abu Bakar iaitu Kembara Kelantan.

InsyaAllah, Kembara Kelantan itu akan berlangsung pada 19hb hingga 22hb April meskipun aku perlu melaksanakan pembentanganku pada 23hb April dan sekaligus menyerahkan Rancangan Pengajaranku di samping menyerahkan tugasan individu yang lain. (Bayangkan tiga tugasan individu kesemuanya.)

Tugasan individu yang telah tertaip sebanyak tiga ayat... baru tadi di sini (Aras 3, Perpustakaan Utama Universiti Malaya) setelah membaca buku Budaya dan Pembelajaran yang ditulis oleh Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Maskon.

Mengantuk kerana tidur yang kurang tetapi sejauh ini, mampu bertahan.

Secara fizikal, tampak seperti mampu bertahan sedangkan minda tumpul.

Secara spiritual, hanya Tuhan yang tahu betapa longlainya aku manakala emosiku agak terhibur atas beberapa sebab.

Antara sebab yang boleh dikongsi ialah.... tersuanya aku dengan dua orang kenalan dari Pusat Kebudayaan iaitu Farish dan Ella.

Antara sebab yang lebih baik dipendam ialah.... lagipun aku hanyalah seorang hamba yang perlu akur kepada kehendak Tuhan yang menentukan dan menetapkan jalan ceritaku yang sejujurnya, boleh dikatakan aku telah berlepas tangan.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya Dr Hamid menerima juga produk kreatif yang dihasilkan meskipun aku perlu membuat perubahan untuk Set Induksiku.

Namun, jauh di sudut hati, aku tetap bimbang kerana perspektif Dr Hamid boleh bila-bila sahaja berubah kerana suatu ketetapan itu bukan dalam keupayaanku untuk menentukan.

Belajarlah untuk menjadi insan yang tenang apabila menginsafi bahawa ketenangan belum aku miliki.

Belajarlah untuk menjadi insan yang matang apabila menginsafi bahawa kematangan juga belum aku miliki.

4 comments:

  1. sy pun sem last ni, rsa cm terlalu byk bersenang2 gk..sdr x sdr dh byk masa berlalu.pe2 pn trskn berusaha akak dan slmt dtg k klate nanti.nanti blh tgk kdpn kg d umh sy.

    ReplyDelete
  2. Selalu menantikan detik waktu sampai di Kelate. Alhamdulillah, dapat tunda memandangkan tugasan yang perlu diserahkan dan dibentang pada Isnin dan Selasa ini. Adik, kdpn tu apa?

    ReplyDelete
  3. typing error..kehidupan kampung..hehe

    ReplyDelete
  4. InsyaAllah... semoga program Kembara Kelantan ini dipermudahkan dan menjadi kenangan indah buat kita semua. :)

    ReplyDelete