Kelas telah berakhir untuk hari ini tetapi sekolah hanya berakhir pada jam 2:25 petang.
Semenjak 29 Jun 2012, Jumaat iaitu tarikh dan hari aku melaporkan diri ke sekolah ini, bererti sudah lebih daripada 2 bulan aku berada di sini.
Ternyata, aku suka dan bersyukur berada dalam sekolah ini jika dibandingkan dengan sekolah yang pernah menjadi tempatku bertugas selama lima tahun.
Aku mula mengajar pada 2 Julai, Isnin dan itu bererti sudah lebih daripada dua bulan aku berhadapan dengan anak didik daripada golongan remaja.
5 tahun menjadi guru bagi pelajar di sekolah rendah terutama sekali pelajar darjah satu hingga darjah empat tidak sama dengan menjadi guru bagi pelajar di sekolah menengah.
Dalam perbezaan, ada persamaan.
Dalam perbezaan, ada persamaan.
Pokoknya, aku perlu hadapi cabaran ini.
Sebenarnya, cabaran ini akan memanfaatkan aku kerana aku beroleh ruang dan peluang untuk berinteraksi dengan golongan remaja yang ternyata memerlukan kemahiranku sebagai guru untuk menghadapi mereka.
Aku perlu belajar.
Aku perlu belajar lagi.
Kursus dua hari yang telah aku hadiri pada 10 dan 11 September 2012 telah mencelikkan mata akal dan mata hatiku sebagai seorang guru.
Bukan sekadar sebagai seorang guru tetapi sebagai seorang insan di muka bumi ini yang perlu mengendalikan perhubungan yang baik dengan insan lain.
Kursus bertajuk 'Building Teacher-Student Relationship' itu telah menyentuh perasaan dan menjentik fikiranku hingga mengalir air mata.
Aku telah mengenali diriku.
Aku telah mengenali kelemahan dan kekuatan diriku.
Aku berharap ilmu yang seperti itu akan aku peroleh lagi agar aku dapat memperbaiki diriku sebagai seorang guru bahkan sebagai seorang insan di muka bumi ini.
Terima kasih Tuhan kerana memahamkan aku tentang perkara-perkara yang perlu aku fahami agar aku dapat jalani kehidupan ini dengan memahami situasi yang merupakan cabaran untukku.
No comments:
Post a Comment