Dalam alam persekolahan yang formal sifatnya, tiga perkara yang perlu wujud
dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah guru, pelajar dan bilik darjah. Peranan
dan tanggungjawab setiap guru tentulah berkisar kepada pelaksanaan menyampaikan
ilmu dan pengajaran kepada pelajar yang menjadi khalayaknya. Peranan dan
tanggungjawab setiap pelajar pula tentulah untuk menerima ilmu dan pengajaran
yang disampaikan. Proses pengajaran dan pembelajaran ini lazimnya berlaku di
dalam sebuah ruang khusus iaitu bilik darjah. Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan
Ahmad Subki Bin Maskon (2010: 99) dalam buku mereka yang berjudul ‘Budaya dan
Pembelajaran’ mentakrif bilik darjah seperti berikut
‘Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan
pembelajaran, merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan
perjuangan utama kerjaya seorang guru.’
(Syed Ismail Bin Syed Mustapa
& Ahmad Subki Bin Maskon, 2010: 99)
Sudah terang lagi bersuluh bahawa medan utama perjuangan
seorang guru adalah bilik darjahnya. Bilik darjah yang dimaksudkan bukan
sekadar merujuk kepada fizikal sesebuah bilik darjah tetapi paling utama ialah pelajar-pelajar
yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah itu. Syed
Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Maskon (2010: 99) menyatakan bahawa
pengurusan fizikal bilik darjah yang dinamik mampu membangunkan keempat-empat
aspek dalam diri pelajar iaitu jasmani, intelek, emosi dan rohani pelajar. Chua
Tee Teo dalam artikel beliau yang berjudul ‘Helping Bored Children: The Dawn of
Spiritual Intelligence’ turut memperkatakan bahawa pembangunan menyeluruh
seseorang individu melibatkan keempat-empat aspek iaitu jasmani, intelek, emosi
dan rohani.
‘Holistic development may be classified into the four main
areas of intellect (mind), emotions (heart), physical heart (body), and
morality or spirituality (soul/spirit) (Teo, 2000).’
(Chua Tee
Teo, 2002: 27)
Dalam pengurusan
bilik darjah, salah satu perkara asas yang perlu diterapkan dalam diri setiap
pelajar ialah disiplin. Namun
untuk mencapai nilai ini, para pelajar hendaklah dibentuk dan dicorak ke arah
itu. Atas dasar itu, seorang guru haruslah mampu mengurus pelajar-pelajar
semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam bilik darjah. Tidak
kira sama ada guru itu mengajar Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik, Sains,
Pendidikan Seni Visual atau mata pelajaran yang lain. Namun, boleh dikatakan
bahawa guru Pendidikan Seni Visual mempunyai dinamik untuk membentuk dan mencorak
jati diri pelajar agar menjadi individu yang berdisiplin kerana mata pelajaran
Pendidikan Seni Visual itu sendiri mengandungi falsafah dan nilai yang sangat
dekat di hati. Pendapat penulis dapat disokong dengan pernyataan Mohd Johari
Ab. Hamid (2004: 33) dalam bukunya yang berjudul ‘Falsafah dan Kritikan Seni’
iaitu
‘Sama ada disedari atau tidak,
Pendidikan Seni Visual sudah disemai kepada semua generasi sejak dari awal
kanak-kanak lagi sehingga ke peringkat dewasa. Seni bukan sahaja mengajar
manusia menghayati keindahan, kecantikan atau sebagainya tetapi memupuk
nilai-nilai estetika dan nilai-nilai kemuliaan dalam diri manusia. Seni
harus dilihat sebagai subjek yang mampu ‘mengubati’ permasalahan yang berlaku
dalam jiwa manusia’.
Kamus Dewan Edisi Keempat
(2005: 1452-1453), mendefinisikan seni dengan cakupan yang luas iaitu karya
(sajak, lukisan, muzik, dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat (kecekapan)
atau hasil daripada sesuatu ciptaan. Selain itu, seni juga ditakrif sebagai
kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran dan lain-lain) yang indah-indah. Oleh
sebab seni adalah bidang yang luas, salah satu kategori seni yang akan disentuh
oleh penulis ialah seni visual. Istilah seni visual digunakan untuk merujuk
kepada karya-karya indah yang dapat dinikmati atau dihayati oleh deria
penglihatan. Chang Hon Woon (2008: xv) iaitu seorang guru siswazah yang
mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ada menerangkan secara ringkas
tentang pengertian seni visual atau dikenali juga sebagai seni tampak dalam
buku beliau yang berjudul ‘Teori Seni Visual Edisi Kedua’ iaitu
‘Seni visual atau seni tampak
merupakan salah satu daripada cabang seni. Seni visual terdiri daripada karya
dua dimensi (lukisan, catan, cetakan, seni grafik) dan karya tiga dimensi
(arca, anyaman, tembikar), yang lazimnya dihayati serta dinikmati oleh deria
penglihatan.’
(Chang Hon Woon, 2008: xv)
Dalam hal ini, peranan dan tanggungjawab guru Seni
Pendidikan Visual (PSV) boleh dikatakan lebih menyerlah dibandingkan dengan
guru-guru yang mengajar mata pelajaran lain. Dalam usaha menggerakkan pelajar
menghasilkan karya-karya seni visual, guru PSV sebenarnya perlu terlebih dahulu
mengenal pasti minat pelajar kerana kecintaan mereka kepada sesuatu adalah
motivasi utama untuk pelajar. Sekalipun pelajar tidak berminat dengan mata pelajaran
PSV, mereka tidak harus terus dimarahi apatah lagi dihukum. Sebaliknya, guru
PSV perlu bijak dan kreatif dalam menarik minat pelajar untuk menghasilkan
karya seni yang berkait rapat dengan minat atau kecintaan mereka. Pelajar tidak perlu dipaksa atau digesa
agar mereka tidak berasa tertekan atau terkongkong. Memadailah andai guru dapat
mengenal pasti minat mereka sebagai permulaan.
Berdasarkan pengetahuan guru PSV tentang minat
pelajar, guru PSV perlu bijak dan kreatif dalam mengolah set induksi sesebuah
pelajaran. Set induksi seperti yang difahamkan oleh Syed Ismail Bin Syed
Mustapa dan Ahmad Subki Bin Maskon (2010: 112) dalam buku mereka yang berjudul
‘Budaya dan Pembelajaran’ merujuk kepada beberapa minit pertama suatu perkara
itu diperkenalkan kepada para pelajar dengan tujuan menarik perhatian dan
menimbulkan minat mereka terhadap isi pengajaran. Lantas, kejayaan pertama yang
penting bagi guru PSV terletak pada set induksi yang pelbagai dan berkesan. Guru
PSV boleh menayangkan klip video, memperdengarkan lagu, memperlihatkan gambar,
menyediakan kuiz atau permainan, membuat persembahan dan sebagainya. Tentulah bahan
yang digunakan sebagai set induksi perlu berhubungan rapat dengan minat pelajar
dan berkaitan dengan isi pelajaran.
Pengetahuan guru PSV tentang Teori Kecerdasan Pelbagai[1]
yang dipelopori oleh Howard Gardner pasti akan membantu guru yang mempunyai
khalayak yang ramai dan berbeza-beza minat dan kecerdasan. Set induksi yang
menarik tentulah perlu menggabungkan beberapa perkara yang diminati pelajar dan
beberapa kecerdasan yang dimiliki pelajar. Lachlan E.D. Crawford (2002: 2) dalam
artikel beliau yang berjudul ‘Towards an Ability Driven Education System in
Singapore: Problems and Opportunities’
memaparkan lapan dimensi kecerdasan iaitu kecerdasan verbal linguistik, kecerdasan
logik matematik, kecerdasan visual ruang, kecerdasan kinestetik, kecerdasan
muzik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal dan kecerdasan
naturalis.
Isi pelajaran yang disampaikan oleh guru PSV
hendaklah memperkayakan lagi minda dan emosi pelajar dengan ilmu, pengetahuan
dan pengalaman bermula daripada yang mudah kepada yang lebih kompleks
bersesuaian dengan keupayaan pelajar. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran
ini, hubungan dua hala antara guru PSV dan pelajar haruslah berlaku agar minat
murid yang telah berjaya ditarik melalui set induksi dapat dikekalkan. Dalam
proses menyampaikan isi pelajaran, kemahiran guru dalam berinteraksi amat perlu
dan sebaik-baiknya, proses ini seharusnya berpusatkan pelajar dan bukan guru
semata-mata. Guru harus membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk
melaksanakan sesuatu kerja seni berdasarkan minat dan kreativiti mereka. Guru
PSV tidak harus menjadikan kerja seni sebagai alat untuk menghukum atau
mendenda. Di samping melibatkan pelajar dalam interaksi dan aktiviti yang
dijalankan, galakan dan pujian hendaklah diberikan kepada pelajar agar mereka
rasa dihargai. Perkara ini
adalah peneguhan positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Andai
kata, pelajar menimbulkan masalah dan menggugat disiplin dalam kelas, guru PSV tidak
harus menghukum pelajar serta-merta apatah lagi mendenda mereka dengan menyuruh
mereka menghasilkan karya-karya seni.
Guru PSV hendaklah berkelakuan matang, tenang dan
profesional dalam menghadapi cabaran ini. Peneguhan positif hendaklah diberi
melalui teguran dan dendaan yang tidak bertujuan membalas dendam atau memalukan
pelajar kerana tentunya perkara ini akan semakin memburukkan keadaan dan menjejas
emosi pelajar. Bak kata pepatah Melayu, ‘Marah itu parah’. Lantas, guru PSV
perlu bijak mengurus emosi terlebih dahulu agar tidak membina jurang dengan
pelajar. Bahan-bahan pengajaran dan pelajaran seperti klip video yang lucu,
lagu yang menghiburkan, lukisan yang mengagumkan dan lain-lain dapat
dimanfaatkan untuk merehatkan minda dan menenangkan emosi pelajar serta guru selagi
bahan-bahan itu mempunyai nilai dan unsur pengajaran.
Seorang guru
PSV, Encik Firdaus yang telah lima tahun menjalankan bengkel-bengkel
seni dan motivasi di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Singapura
menyatakan bahawa mata pelajaran PSV mempunyai faktor didikan terhadap jasmani,
emosi, intelek dan rohani individu. Setiap tugasan seni melibatkan kerja tangan
dan tumpuan mata sekaligus mengasah kekreatifan minda. Emosi dan rohani
terdidik agar bersabar, tekun dan tidak putus asa terhadap percubaan-percubaan
yang kurang memuaskan hati hinggalah terhasil kerja seni yang indah. Pada pandangan Encik Firdaus,
proses inilah yang mendidik para pelajar untuk mendisiplinkan diri. Apabila
terdapat pelajar yang menimbulkan masalah disiplin, Encik Firdaus tidak
serta-merta menghukum apatah lagi mendenda mereka dengan menyuruh mereka
menghasilkan karya-karya seni. Sebaliknya, Encik Firdaus mendekati
dan mengambil berat tentang mereka agar komunikasi dua hala antara guru PSV
dengan pelajar dapat dipelihara. Encik Firdaus berpendapat bahawa guru
PSV hendaklah mengenal pasti punca permasalahan yang dihadapi pelajar. Pelajar
yang bermasalah tidak harus diketepikan kerana mereka perlu perhatian dan
bimbingan dalam hidup.
Selain itu, Encik Firdaus menyemai semangat
setiakawan dan sikap bekerjasama iaitu esprit de corp dalam kalangan
pelajar-pelajarnya kerana berpendapat bahawa setiap pelajar mempunyai bakat dan
keistimewaan yang berbeza. Melalui kerja berkumpulan, bakat dan keistimewaan
individu yang berbeza-beza digabungkan dan perkara ini menghasilkan sinergi. Kerja
kumpulan yang dikendalikan oleh Encik Firdaus biasanya diwakili empat
orang individu yang mempunyai peranan penting untuk melengkapkan kerja seni
mereka berdasarkan bakat dan keistimewaan masing-masing. Keempat-empat individu
ini akan melalui proses perbincangan awal yang dipantau oleh Encik Firdaus sendiri. Perbincangan awal ini akan melibatkan proses mengenal pasti kemampuan,
kesanggupan dan tugas setiap individu. Sebagai contoh adalah projek lukisan
dinding di salah sebuah sekolah menengah yang perlu dipikul tanggungjawab itu
oleh pelajar secara berkumpulan. Lantas, dalam pembahagian peranan dan tanggungjawab,
individu A telah ditugaskan untuk merangka draf lukisan kerana individu A
dikenal pasti mempunyai bakat melukis yang menyerlah. Individu B pula
ditugaskan untuk mengurus bahan-bahan yang diperlukan agar projek mereka dapat
dilaksanakan dengan lancar. Individu
C pula ditugaskan untuk mengambil gambar dan merakam video untuk menyiapkan
pembentangan dalam bentuk Powerpoint agar proses gerak kerja mereka
dapat didokumentasikan dan dikongsi bersama rakan-rakan sekelas. Individu D
yang cekap berbahasa pula ditugaskan untuk membantu menyiapkan persembahan Powerpoint
di samping tampil di hadapan kelas sebagai penyampai sewaktu pembentangan
kumpulan mereka dijalankan. Namun, tugasan paling utama iaitu melukis dan
mengecat dinding itu dilaksanakan bersama-sama.
Begitulah Encik Firdaus menerapkan disiplin
bekerjasama dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar diberi kepercayaan untuk
memikul peranan tertentu agar sikap tanggungjawab dapat dipupuk. Perkara paling
penting, setiap pelajar sekalipun yang mempunyai masalah disiplin tidak
diketepikan agar mereka masih dapat merasakan bahawa diri mereka diperlukan dan
dapat menyumbang kepada kejayaan sesebuah projek seni. Secara langsung, Encik Firdaus telah membuktikan bahawa Teori Kecerdasan Pelbagai yang dipelopori oleh
Howard Gardner terlaksana melalui kerja berkumpulan yang dipantau sebegini.
Sebagai kesimpulan, mata pelajaran PSV sebenarnya
mampu membentuk individu-individu yang terbina emosi, jasmani, rohani dan
intelek mereka kerana pelbagai kemahiran dapat diasah melalui mata pelajaran
ini. Peranan dan tanggungjawab guru PSV untuk melahirkan
individu-individu yang berdisiplin dan berbakat dapat dilaksanakan dengan baik
dan berkesan andai guru PSV terlebih dahulu peka terhadap minat dan bakat
pelajar agar potensi mereka dapat digilap. Antara perkara paling penting, guru
PSV perlu bijak mengendalikan emosi diri sendiri dan emosi pelajar agar mereka
sentiasa diberi galakan dan teguran positif kerana perkara itu lebih berkesan
sedangkan hukuman dan dendaan tanpa hikmah mampu mematahkan semangat pelajar dalam
melaksanakan kerja-kerja seni. Bak kata pepatah Inggeris[2] iaitu
‘Making and appraising are both… of equal and fundamental importance in art
education: each is important in itself.’
BIBLIOGRAFI
Chang Hon Woon. (2008). Teori Seni Visual Edisi
Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Chua Tee Teo. (2002). Helping Bored
Children: The Dawn of Spiritual Intelligence. Review of Educational Research
and Advances for Classroom Teachers, 21 (1), 25-33.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Johari Ab. Hamid. (2004). Falsafah dan Kritikan Seni.
Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Maskon.
(2010). Budaya dan Pembelajaran.
Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
[1] Dipetik daripada http://www.moe.gov.my/bpk/modul_pnp/modul_psv/04kecerdasan_pelbagai.pdf
pada 19 April 2012.
[2] Dipetik daripada Falsafah dan Kritikan Seni,
2004, Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, hlm. 220.
No comments:
Post a Comment