ketika kalbuku dan fikrahku berpadu dalam fitrah kuniaanNya, izinkanlah aku menzahirkannya melalui Nurani Nurain... meskipun perutusan ini hanyalah sekelumit daripada segala yang terpendam dan terbenam di dasar jiwa yang dalam, moga-moga perutusan ini dapat memanfaatkan setiap tetamunya... ayuh, kita mulakan pelayaran ini dengan lafaz cinta yang paling agung: BismillahirRahmanirRahim
Saturday, September 8, 2012
Laksamana Sunan dan Ratu Sulaman
'Cintailah aku ketika aku tidak layak langsung untuk dicintai kerana pada waktu itulah aku benar-benar memerlukannya.'
Seketika ini, aku teringat akan watak protagonis dalam himpunan novel ternama yang dikaryakan oleh penulis ternama.
Novel Cinta Sang Ratu yang memaparkan watak Laksamana Sunan yang menikahi watak antagonis iaitu Ratu Sulaman.
Indah dan unik percintaan mereka yang sebenarnya pertemuan pertama mereka bermula dengan pertarungan antara kedua-dua insan yang mewakili dua perkara yang saling bercanggah.
Laksamana Sunan seorang pejuang kebenaran yang baik hati manakala Ratu Sulaman seorang pejuang kebatilan yang zalim.
Namun setelah beroleh petunjuk daripada Allah dan pimpinan daripada Laksamana Sunan, Ratu Sulaman kembali kepada fitrah yang baik dan lembut.
Tidak lagi zalim dan marah-marah.
Maka benarlah bahawa.... 'Cintailah aku ketika aku tidak layak langsung untuk dicintai kerana pada waktu itulah aku benar-benar memerlukannya.'
Berikut merupakan bingkisan daripada novel Bagaikan Puteri (halaman 537 - 540) yang memaparkan permulaan kisah antara watak Laksamana Sunan dan watak Ratu Sulaman.
"Kamu... Laksamana Sunan?" tanya seorang lelaki dari kalangan pahlawan Ratu Sulaman itu. Suaranya meninggi lagi membengis.
"Ya... benar." Saifudin bersuara rendah, mempamerkan akhlak terpuji.
"Mengapa memanggil kami ke sini? Bukankah Ratu kami telah bertegas agar rakyat negeri ini tunduk kepada pemerintahan Pulau Utara!" Suara lelaki itu seakan berteriak menggertak.
"Kami tidak mahu berperang dengan Ratu Sulaman yang baik hati itu," kata Saifudin. Bibirnya dihiasi senyuman.
"Kalau begitu, kamu mesti tunduk kepada Ratu Sulaman!" balas lelaki itu lagi.
"Apa syarat-syaratnya?" tanya Saifudin pula.
"Negeri ini akan menjadi jajahan takluk Ratu Sulaman. Rakyat negeri ini juga mesti menyembah apa yang kami sembah!" tegas lelaki itu biadap.
"Kami tidak boleh menerima syarat-syarat itu!" Saifudin pula bertegas. Namun nada suaranya tetap merendah sambil mmengekalkan senyuman.
"Kalau begitu, kita akan berperang!" Kasar lelaki itu menjawab. Dia dan kumpulannya mempamerkan raut wajah yang garang tanpa senyuman.
"Kami tidak mahu berperang. Kami mahu bersahabat," ujar Saifudin.
Pahlawan-pahlawan Ratu Sulaman itu tergelak.
.....
"Baiklah... rundingan ini dianggap selesai. Cuma tolong sampaikan hadiah ini kepada Ratu Sulaman yang baik hati itu," ucap Saifudin sambil menyerahkan sebuah mushaf yang dibungkus dalam kain berwarna kuning.
"Apa ini? Muslihat?" lelaki itu berprasangka.
"Tidak. Kami orang Islam tidak mengkhianati sesama manusia. Malah berperang pun kami enggan. Kami tidak mahu bermusuh cuma mahu bersahabat dan kami tidak sekali-kali akan berlaku kejam. Kami tidak bersikap ganas seperti yang kalian sangkakan," tegas Saifudin.
"Baiklah!" Lelaki tadi merampas hadiah itu dengan kasar. Lalu mereka bergegas menuju ke perahu dengan berkayuh semula ke bahtera mereka.
.....
"Cuba kamu jelaskan apa makna tulisan ini!"
Tatkala membaca tulisan jawi yang lekat berdakwat hitam di atas mushaf itu, lelaki tua itu mengeluh berat. Kata-kata dalam tulisan itu membuatkan dia gusar, bimbang dimurkai sang ratu yang terkenal kejam dan bengis.
"Makna tulisan ini sekadar undangan, ratu," kata lelaki tua itu.
"Katakan segera! Cepat!"
"Mohon ampun ratu. Ia satu undangan yang barangkali akan membuatkan ratu murka." Lelaki tua itu cuba berdalih.
"Katakan segera!" Suara Ratu Sulaman bergema kuat.
"Baiklah," ujar lelaki tua itu dan mula membaca. "Sang Ratu Sulaman yang baik hati..."
Kala mendengar kata-kata itu, Ratu Sulaman tersenyum sedikit.
"....Kita bernama Laksamana Sunan... hamba kepada Allah, Tuhan yang satu dan tiada duanya. Kita mengajak Ratu Sulaman yang baik hati agar kembali ke jalan Allah. Bertaubatlah kerana setinggi mana pun kuasa kita, nescaya kita pasti akan kembali kepada Tuhan yang satu. Bersahabat itu lebih baik dari menumpahkan darah manusia yang tidak berdosa..."
"Cukup!!!"
Jeritan Ratu Sulaman umpama halilintar membelah bumi. Anak matanya galak tajam menerkam. Dia benar-benar murka. Akibat tujahan mata saktinya itu, mushaf pemberian Saifudin hangus terbakar. Ia panahan sihir dari sinar mata keiblisan jiwanya.
"Berani sungguh Laksamana Sunan mempersendakan beta!" marah Ratu Sulaman.
Mereka yang berada di situ terdiam. Bersuara bererti maut. Kepala mereka tertunduk longlai.
"Siapa dia Laksamana Sunan itu? Berani sungguh dia! Tidakkah dia tahu siapa Ratu Sulaman dari Pulau Utara?"
.....
Suaranya menderam umpama seekor harimau yang ketagihan darah mangsa.
"Siapkan bala tentera! Esok kita akan rempuh negeri itu! Jangan biarkan seorang pun bernyawa. Bunuh semua manusia di negeri itu!!!"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment