Sibuk.
Sebab perlu mencetak sendiri kertas peperiksaan meskipun dibimbing dan dibantu oleh mentorku.
Tertekan.
Sebab sukar menerima kenyataan bahawa guru-guru di sekolah ini perlu berada dalam bilik cetakan sewaktu proses pencetakan kertas peperiksaan berlangsung.
Lebih tertekan lagi apabila guru-guru perlu mencetak sendiri kertas peperiksaan apabila satu-satunya petugas yang bertanggung jawab mencetak kertas peperiksaan sedang membantu guru-guru yang telah terlebih dahulu mendapatkan bantuan beliau.
Bingung.
Sebab mencetak kertas peperiksaan adalah tugas yang memerlukan tumpuan, ketelitian, kesabaran, daya upaya dan masa.
Bahkan tugas mencetak tidak berhenti di situ.
Setelah kertas peperiksaan selesai dicetak, kertas itu perlu dimasukkan ke dalam mesin untuk disusun dan dikokotkan.
Akhir sekali, kertas peperiksaan yang sudah disiapkan perlu dimasukkan ke dalam bungkusan berdasarkan kelas berserta dengan penyataan yang ditulis dengan teliti.
Apatah lagi bilik cetakan yang boleh dikatakan kecil itu dikerumuni ramai guru.
Cemas.
Sebab proses menyiapkan cetakan kertas peperiksaan adakala tersangkak apabila mesin mengalami sedikit kegenjotan teknikal sewaktu mencetak atau sewaktu menyusun dan mengokot.
Letih.
Sebab 2 jam aku mengurus perihal mencetak, menyusun dan mengokot, kemudian membungkus kertas peperiksaan berdasarkan kelas.
Kemudian harus terus ke kelas untuk mengajar.
Sudah tentu aku kurang bersedia kerana keletihan dan tidak berkesempatan langsung untuk memikirkan tentang pembelajaran hari ini.
Risau.
Sebab Jumaat ini, aku perlu bertolak ke Kuala Lumpur sedangkan urusan menyiapkan kertas peperiksaan bagi Kefahaman Mendengar dan Lisan belum terlaksana.
Bahkan, masih ada lagi cetakan yang telah dilsusun dan dikokot pagi belum sempat dibungkus berdasarkan kelas.
Terkejut.
Sebab perkara ini adalah amalan yang terlalu menjenuhkan tetapi tetap perlu dilaksanakan kerana itulah cara yang dilaksanakan di sekolah ini sedangkan pengalamanku sebelum ini tidak menuntut guru untuk terlibat dalam proses mencetak kemudian menyusun dan mengokot kertas peperiksaan yang sebegitu banyak jumlahnya.
Subhanallah.
Aku menahan diriku daripada menangis kerana terkejut, risau, letih, cemas, bingung, tertekan dan sibuk pada pagi ini.
Tugasku masih belum selesai dan aku sengaja tidak menyambung tugas itu setelah dua waktu bersama pelajar 1 Ekspres dan 2 Normal Teknikal sedangkan waktu lapang itu boleh aku gunakan untuk melaksanakan tugas yang belum terselesai.
Sejujurnya, tidak termampu aku menanggung beban emosi dalam menjalankan tanggung jawab itu.
Aku perlu merehatkan diri dan menenangkan perasaan terlebih dahulu.
Masalah.
MasyaAllah.
No comments:
Post a Comment