ketika kalbuku dan fikrahku berpadu dalam fitrah kuniaanNya, izinkanlah aku menzahirkannya melalui Nurani Nurain... meskipun perutusan ini hanyalah sekelumit daripada segala yang terpendam dan terbenam di dasar jiwa yang dalam, moga-moga perutusan ini dapat memanfaatkan setiap tetamunya... ayuh, kita mulakan pelayaran ini dengan lafaz cinta yang paling agung: BismillahirRahmanirRahim
Friday, July 22, 2011
Kamal Adli sebagai Nizam dan Haris
Kamal Adli merupakan pelakon lelaki yang aku minati. Beliau pertama kali kukenali melalui drama bersiri Seribu Kali Cinta iaitu sebuah drama romantik komedi. Pada waktu itu, Kamal Adli memainkan watak Nizam. Nizam seorang pemuda yang mempunyai ramai kawan perempuan tetapi tidak menganggap mereka lebih daripada seorang kawan. Apabila tertekan dengan keadaan kerana diburu oleh perempuan-perempuan 'perigi cari timba' dan tertekan dengan desakan ibu bapanya yang mahu dia berumahtangga, Nizam pun melarikan diri ke Pulau Aman. Di situ, dia telah jatuh hati pada seorang gadis yang cantik lagi sederhana iaitu Mia Sara. Cinta pandangan pertama itu telah mendesak Nizam mencari tahu tentang Mia Sara.
Drama romantik komedi ini cukup menghiburkan dan lucu terutama sekali pada babak-babak Kamal Adli di Pulau Aman dan cuba menarik perhatian Mia Sara. Hinggalah kepada bibit-bibit perkenalan dua insan ini, kemudian bercinta dan berumahtangga. Cerita cinta ini tidak semudah dan seindah kerana Mia Sara menghidapi penyakit amnesia. Setiap kali Mia Sara tidur, ingatannya tentang segala apa yang berlaku sepanjang hari akan lenyap begitu sahaja. Di situlah ketabahan dan ketulusan seorang lelaki bernama Nizam teruji. Keletah dan 'mood' Mia Sara yang tidak terjangka dan tidak terduga sungguh melucukan.
Drama kedua yang menampilkan Kamal Adli ialah drama bersiri Ana Lu'lu. Kali ini, Kamal Adli memainkan watak sebagai Haris Azhan iaitu seorang duda yang kematian isteri dan mempunyai seorang anak perempuan. Ibu Haris mendesak dan mencuba pelbagai cara untuk menyatukan Kamal Adli dengan gadis pilihan ibunya yang bernama Sofi. Namun Haris langsung tidak mahu menerima Sofi dalam hidupnya kerana mendapati Sofi tidak ikhlas dan tidak jujur.
Apabila tertekan dek perangai 'perigi cari timba' si Sofi, Haris berseloroh kepada ayahnya dengan mengatakan bahawa dia lebih rela memilih si gadis penjual bunga yang baru dia temui. Si gadis penjual bunga yang dimaksudkan ialah Ana Lulu. Namun antara Haris dengan Ana bukanlah cinta pandangan pertama kerana pertama kali mereka bertemu, Haris memandang pelik terhadap cara Ana berpakaian. Hati kecil Haris berdetik bahawa Ana ialah mangsa fesyen.
Namun pertemuan seterusnya dengan Ana telah mengetuk pintu hati Haris hari demi hari. Hati budi seorang Ana dan penerimaan anak perempuan Haris terhadap Ana yang menggelarkan Ana sebagai 'Mama' membungakan perasaan lebih daripada seorang kenalan. Namun situasi tidak mengizinkan kerana Ana sedang bercinta dengan Fadzil.
Drama bersiri yang berjudul Ana Lulu ini sedang ditayangkan di siaran TV3 dan aku sedang mengikuti drama ini. Sejauh ini, Ana Lulu sudah bersiaran sebanyak tujuh episod. Pertama kali Haris dan Ana bertemu di kedai bunga adalah dalam episod ketiga. Aku tersentuh hati dalam episod ketujuh apabila Haris bertanya kepada Ana tentang Fadzil dan mendapat tahu bahawa Fadzil itu teman istimewa Ana. Kemudian, Haris memberikan sejambak bunga kepada Ana dengan ucapan ikhlas meskipun dalam hatinya, dia sebenarnya telah mula menaruh perasaan terhadap Ana dalam diam-diam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment