Aku terbangun daripada tidur sebelum waktu subuh pada hari ini.
Betapa nikmatnya apabila aku dapat tidur dengan senangnya dan dengan lenanya pada waktu malam sedangkan penyakit insomnia yang aku hidapi sejak bertahun-tahun lamanya telah meragut tidurku pada waktu malam.
Lazimnya, aku celik pada setiap malam kecuali pada malam-malam tubuhku terlalu letih atau terlalu rileks.
Lantas, apabila aku dapat tidur pada waktu malam... ternyata tidurku merupakan satu nikmat untukku.
Nikmat seterusnya yang aku sendiri tidak menduga adalah aku bangun awal, bahkan sebelum subuh sedangkan akulah insan yang paling sukar bangun pagi termasuklah paling sukar bangun pada waktu subuh untuk menunaikan solat subuh.
Kalau di asrama, sudah tentu aku insan terakhir dalam bilik yang bangun untuk menunaikan solat subuh, insan terakhir untuk mandi, insan terakhir yang bersiap ke akademi dan insan terakhir yang keluar daripada bilik ke akademi (sekiranya aku dan teman-teman sebilik ada kelas pada jam 9 pagi).
Nur Khairiyyah dan Masyitah memang cukup disiplin dalam menjaga masa iaitu masa menunaikan solat subuh, masa mandi pagi, masa bersiap ke akademi dan masa ke akademi sedangkan aku selalu dalam mod 'rehat dan rileks'.
Namun, jika aku sudah lewat dan sedang cemas, kepanikanku akan terzahir di dalam bilik melalui tindak-tandukku.
Walau apa pun, aku tetap gembira dan berterima kasih kepadaNya di atas nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan kepada aku.
Terima kasih wahai Tuhan kerana menganugerahkan nikmat tidur pada malam hari sedangkan itu bukan rutinku.
Terima kasih wahai Tuhan kerana mengizinkan aku mengalami suasana sebelum subuh hingga akhirnya kedengaran sayup-sayup suara muazzin melaungkan azan apabila masuk sudah waktu subuh.
Terima kasih wahai Tuhan kerana memberi peluang kepadaku menikmati perubahan warna alam daripada gelap kepada terang apabila Sang Suria memancarkan cahayanya ke bumi ini.
Terima kasih wahai Tuhan kerana kicauan beburung di luar sana cukup menghiburkan hati.
Terima kasih wahai Tuhan kerana menunaikan hasrat hatiku untuk melanjutkan pelajaran di bumi bertuah iaitu Malaysia hinggakan pengalaman hidup di negara orang selama dua tahun sejauh ini terlalu bermakna dan berharga bagiku bahkan aku anggap sebagai fasa terindah dalam kehidupanku.
No comments:
Post a Comment