Pada 26 Oktober 2011 (Rabu) yang lalu, aku dan Keluarga Bahagia Tahun 3 telah bercuti-cuti Malaysia ke Negeri Sembilan. Alhamdulillah, meskipun hanya sehari program Cuti-Cuti Malaysia kali ini, aku gembira kerana dapat menziarahi keluarga anggota Keluarga Bahagia iaitu keluarga Shafiq Rohaizad dan keluarga Abdul Rahman. Nikmat terasa apabila dapat beramah mesra dengan keluarga mereka yang menerima kami dengan tangan terbuka.
Berdasarkan perancangan, kami seharusnya pergi ke empat buah tempat iaitu Istana Seri Menanti, Muzium Negeri Sembilan, Teratak Za'ba dan Ulu Bendul. Namun, oleh sebab kami tiba di kawasan Muzium Negeri Sembilan lebih awal daripada jam 10 pagi iatu waktu pembukaan muzium, kami fikir muzium itu ditutup pada hari itu. Maklumlah, hari itu adalah cuti Hari Deepavali. Namun begitu, sebenarnya, aku tidak perasan pun mana letaknya Muzium Negeri Sembilan sewaktu kami lalu di situ.
Abdul Rahman memberhentikan keretanya di Kedai Minyak Esso untuk memaklumkan kami bahawa Muzium Negeri Sembilan ditutup dan sebagai ganti, beliau mengusulkan agar kami melawati Taman Burung Unta. Walaupun aku kurang berminat sebenarnya, aku bersetuju dengan usulan Abdul Rahman kerana majoriti rakan-rakan berminat. Lagipun, tuan rumah iaitu Abdul Rahman tentu lebih tahu tempat menarik di negerinya.
Gambar: Dua orang tuan rumah bersama kami dalam program Cuti-Cuti Malaysia kali ini. Di sebelah kananku ialah Abdul Rahman manakala di hadapanku ialah Shafiq Rohaizad.
Setibanya di Taman Burung Unta, kami diminta membayar RM8 untuk masuk. Sewaktu aku masuk ke dalam taman burung itu, juru pandu kami tiba-tiba menyapa aku dengan panggilan 'Lebanon!'. Entah mengapa. Aku tidak tahu untuk memberi reaksi apa. Hanya terdiam dan senyum sahaja.
Namun begitu, aku kagum dengan penerangan yang diberi oleh Uncle Syed iaitu juru pandu kami itu. Beliau mampu bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang baik dan lancar. Beliau spontan dan lucu juga orangnya. Mengenali burung unta melalui Uncle Syed boleh dikatakan menarik. Walau bagaimana pun, aku tidak pernah menyangka bahawa lawatan ke Taman Burung Unta ini mampu menggembirakanku apabila kami diberi peluang untuk menunggang burung unta. Subhanallah, seronok!
Gambar: Pengalaman yang tidak pernah disangka kerana tidak ada dalam perancangan tetapi ternyata, mampu menggembirakan.
Selain daripada itu, aku gembira dengan kemesraan dan kemanjaan sang kambing yang comel. Oh ya, kambing-kambing juga dipelihara di situ selain burung kasuari. Namun, kami berada agak jauh daripada burung kasuari. Perlumbaan lari antara burung unta juga dapat kami lihat. Menarik!
Alhamdulillah! Aku seronok melihat anggota Keluarga Bahagia dan rakan-rakan yang lain seronok. Pengalaman yang akan kuingati sampai bila-bila, InsyaAllah kerana tidak pernah dirancang atau difikir-fikirkan dan kemudian apabila terlaksana, mampu menggembirakan hati.
Gambar: Lelaki yang bertopi dan berkaca mata hitam itulah juru pandu kami iaitu Uncle Syed.
No comments:
Post a Comment