ketika kalbuku dan fikrahku berpadu dalam fitrah kuniaanNya, izinkanlah aku menzahirkannya melalui Nurani Nurain... meskipun perutusan ini hanyalah sekelumit daripada segala yang terpendam dan terbenam di dasar jiwa yang dalam, moga-moga perutusan ini dapat memanfaatkan setiap tetamunya... ayuh, kita mulakan pelayaran ini dengan lafaz cinta yang paling agung: BismillahirRahmanirRahim
Saturday, February 18, 2012
Kekecewaan seorang anak perempuan dan kekesalan seorang ayah
'Untuk tahun-tahun yang sudah terlanjur hilang.'
Itulah ayat yang tertulis rapi dengan dakwat hitam di atas kertas nota kecil yang berwarna putih.
Kertas nota empat persegi mengiringi hadiah dalam kotak yang dihadiahkan khas daripada seorang ayah untuk anak perempuannya, Lara.
Ayat seringkas itu menyentuh hatiku.
Memahami kekecewaan seorang anak perempuan yang cukup dimanjakan dengan perhatian dan kasih sayang kemudian ditinggalkan oleh si ayah kerana ayahnya telah menghamilkan wanita lain yang bukan isterinya...
Memahami kekesalan seorang ayah yang menghidapi barah paru-paru dan menginsafi keterlanjuran diri bahkan ingin memohon maaf kepada mantan isterinya, anak lelakinya dan anak perempuannya...
Lantas menyentuh hatiku dengan kehadiran kertas nota yang ditulis dengan ayat 'Untuk tahun-tahun yang sudah terlanjur hilang.'
Kekecewaan seorang anak perempuan dan kekesalan seorang ayah dapat ditontoni dan dihayati menerusi filem 'Kata Maaf Terakhir'.
Babak yang menyebabkan air mataku berlinang dapat dilhat dalam klip ketiga apabila si ayah menunggu anak perempuannya, Lara bersama sebakul buah mangga kerana jus mangga merupakan minuman kegemaran Lara.
Mereka mempunyai kenangan manis bersama iaitu si ayah dan Lara memotong buah mangga yang kemudiannya dibuat jus mangga.
Apabila Lara melihat ayahnya, Lara meninggalkan ayahnya dengan raut wajah dan bahasa tubuh yang marah dan benci.
Kekecewaan itu masih teguh mendinding dalam hatinya.
Babak itu sahaja sangat merobek perasaanku.
Seorang ayah yang kekesalan.
Seorang ayah yang tidak lagi sihat.
Seorang ayah yang sedang hampir dengan kematian.
Seorang anak perempuan yang kekecewaan.
Seorang anak perempuan yang masih memerlukan ayahnya.
Seorang anak perempuan yang sebenarnya sedang merindui ayahnya.
Babak merobek perasaan ini dapat ditontoni dan dihayati dalam klip ketiga menerusi filem 'Kata Maaf Terakhir' yang dimuatnaikkan di lelaman perkongsian klip video Youtube.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment