Friday, January 13, 2012

Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa

Alhamdulillah.

Semalam merupakan hari peperiksaan yang keempat bagiku.

Kesantunan Bahasa Melayu.

Keenam-enam soalan telah kujawab meskipun masa tidak mengizinkan aku memberi jawapan yang baik untuk soalan ketiga yang bertanyakan tentang model Islam.

Model Sanat dan model Noriati tidak berpeluang aku menyentuhnya sebagai jawapan dalam soalan ketiga.

Hanya satu dalil sahaja yang sempat aku kemukakan iaitu dalil dari surah Taha, ayat 44.

Boleh dikatakan bahawa ramalanku tidak tepat kali ini memandangkan Dr Ibrahim bertanyakan tentang peraturan linguistik dan peraturan pragmatik untuk soalan pertama sedangkan aku meramalkan bahawa keenam-enam frasa yang berkaitan dengan kesantunan iaitu budi bahasa, budi pekerti, sopan santun, adab tertib, etika dan etiket akan disoal.

Manakala, model Asmah yang aku pelajari dan telaah hingga aku faham dan suka tidak pula disoal.

Buku penulis Asmah Haji Omar yang bertajuk Wacana Perbincangan, Perbahasan dan Perundingan sangat bermanfaat.

Nikmat kurasa apabila dapat memahami model Asmah tentang kesantunan asas dan kesantunan berkendala yang dijelaskan dengan terperinci pada halaman 90 hingga halaman 109, di samping penerangan lain seperti strategi komunikasi dan penonjolan kesopanan.

Alhamdulillah.

Aku berterima kasih kepada Adik Unaizah yang meminjamkan buku ini untuk aku kerana pada waktu itu, aku berada di kolej dan dia berada di perpustakaan.

Oleh sebab aku malas ke perpustakaan, aku hanya memesan buku ini daripadanya.

Terima kasih Adik Unaizah.

Berbalik kepada kertas peperiksaan, soalan ketiga berfokuskan model Islam yang tidak begitu menjadi perhatianku sedangkan model Asmah yang menjadi perhatian dan kesukaanku.

Aku hanya mampu memberi jawapan yang termampu dalam waktu yang terbatas.

Jika tidak silap, 15 minit terakhirku.

Selepas peperiksaan berakhir, aku menemani Adik Unaizah ke ISC dan menerusi Adik Unaizah, aku berkenalan dengan Nur Fathi iaitu seorang pelajar Singapura daripada API.

Setelah urusan mereka terlaksana, kami ke Mid Valley untuk makan tengah hari.

Secret Recipe menjadi kunjungan kami bertiga.

Kemudian, kami ke MPH.

Aku telah membeli dua buah buku yang bertajuk 'Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa'.

Aku tertarik dengan buku itu apabila membaca beberapa ayat-ayat yang tertulis dalam buku tersebut.

Ayat-ayat yang menikam sukma dan memanah sanubari.

Muka kulit belakang buku itu terdiri daripada warna yang aku sukai iaitu ungu.

Ayat-ayat yang terpapar di muka kulit belakang pula sungguh indah.

'Ya Allah, jadikanlah mata hatiku dapat memandang cinta dan kurniaanMu setiap masa. Jadikanlah diriku dapat membalas cintaMu setiap saat. Jadikanlah diriku sentiasa faqir kepadaMu dalam setiap langkahku. Jadikanlah diriku tiada berpaling ke belakang dalam mencapai cinta sejati. Pada ar-RahmanMu, aku hilangkan bayang segala yang terdinding.'

Indah bahasa yang diolah, bukan sekadar pada muka kulit belakang tetapi dalam buku itu juga.

Meskipun aku tidak begitu tertarik dengan muka kulit hadapan yang tidak menarik, kandungan buku ini telah pun menarik hatiku.

Kekurangan pada buku ini adalah ketiadaan halaman kandungan.

Buku ini ditulis oleh Ibrahim Asy-Syathari atau nama sebenarnya Ibrahim Mohamad.

Bukan Dr Ibrahim pensyarah kesayanganku yang mengajar Kesantunan Bahasa Melayu.

Buku ini kecil dan tipis.

Perkara ini yang menjadi faktor ketertarikanku.

Sebesar tapak tangan dengan kelima-lima jari agak direnggangkan.

103 halaman denagn 63 bab yang dihuraikan secara ringkas sahaja.

Faktor keringkasan itu lebih berkesan menurut pandanganku selagi intipati murni dapat disampaikan secara tuntas dengan bahasa yang jelas.

Sebenarnya, bahasa yang diolah penulis sungguh indah.

Buku bertajuk 'Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa' ini cukup menarik dan aku cukup tertarik.

Alhamdulillah.

RM 12 sahaja.

Wednesday, January 11, 2012

Di bibir tidak terukir senyuman

Bismillahirrahmanirrahim.

Meskipun di bibirnya tidak terukir senyuman kerana aku pun cukup kenal akan dirinya yang zuhud, baju kurung cekak musang berwarna ungu itu adalah tanda kegembiraan di dalam jiwanya yang tidak terzahir melalui senyuman.

Meskipun di bibirku tidak terukir senyuman kerana aku pun serba tidak tahu apa dan bagaimana lagi yang perlu dan harus kufikirkan dan kurasakan pada ketika ini apabila terlihat gambar profilnya di ruang FB.

Aku gembira kerana dia gembira.

Aku bahagia kerana dia bahagia.

Aku sejahtera kerana dia sejahtera.

Pada waktu ini, aku berada di Aras 2.

Satu-satunya bilik yang menjadi tempat utama bagiku menelaah dan mengulang kaji pelajaran sempena peperiksaan semenjak Semester 3 yang lalu.

Aku pasti merindui bilik di Aras 2, Blok C, Kolej 11, Universiti Malaya ini suatu hari nanti.

Esok iaitu Rabu, 11 Januari 2012, aku akan menempuh hari peperiksaanku yang keempat, InsyaAllah.

Kesantunan Bahasa Melayu.

Kesemua yang perlu kubaca telah kubaca.

Sebentar lagi, perlu menelaah lagi agar segala yang telah dipelajari benar-benar dihadam sehingga faham.

InsyaAllah.

Pada minggu lalu iaitu Selasa, 3 Januari 2012, aku telah menduduki peperiksaan Asas Pembudayaan Keusahawanan.

Alhamdulillah.

Meskipun aku sudah kenal pasti beberapa soalan yang telah aku jawab salah, aku gembira dan puas hati kerana majoriti soalan yang telah aku jawab betul.

Harapanku agar beroleh A- untuk Asas Pembudayaan Keusahawanan yang merupakan peperiksaan pertama bagiku untuk semester ini.

Peperiksaaan kedua jatuh pada minggu yang sama sengan peperiksaan pertama iaitu pada Jumaat, 6 Januari 2012.

Bentuk Lakon Melayu Tradisi.

Alhamdulillah.

Bukan jawapan yang terbaik.

Bukan jawapan yang cemerlang.

Namun, itu sahaja yang mampu aku ingat dan aku tulis.

Minda kurang istirahat.

Atas sebab itu, minda tidak berfungsi dengan lancar.

Apa pun, telah aku laksanakan dengan kudratku yang maha lemah.

Alhamdulillah.

Pada minggu ini, peperiksaan ketigaku jatuh pada hari Isnin, 9 Januari 2012.

Kesenian Suku Kaum Di Sabah Dan Sarawak.

Soalan wajib tentang motif dan corak tidak mampu kujawab dengan baik.

MasyaAllah.

Soalan pilihan tentang tembikar mampu kujawab sekurang-kurangnya dengan fakta yang kuketahui dan yakini daripada sumber yang sahih.

Alhamdulillah.

Pasrah kerana modul ini telah kulalui sepanjang 14 minggu dengan kesukaran.

Pilihan modul ini adalah kerana aku perlu mencukupkan kredit sedangkan aku tidak berminat dan aku tidak berniat untuk mendalami modul ini.

Salah dan silap aku juga kerana tetap mengambil modul ini meskipun tanpa minat dan niat.

Sepanjang 14 minggu aku tempuh dan rempuh dengan tidak sepenuh hati.

Apabila hari peperiksaan untuk modul ini berlangsung, aku mengalami kesukaran.

Salah dan silapku sendiri.

Seharian semalam aku cuba menghadam realiti dan memahamkan diri agar menerima takdir ini dengan jiwa ikhlas dan hati terbuka.

Hingga aku tidur sepanjang hari hingga ke malam.

Aku sedar aku kecewa.

Aku sedar aku hampa.

Aku sedar mindaku amat penat.

Aku sedar mindaku perlu istirahat.

Memandangkan sepanjang minggu ulangkaji dan minggu peperiksaan ini, malam dan pagi aku bersengkang mata (meskipun pada minggu peperiksaan, tumpuan kuberi kepada klip videoku).

Di bibirku tidak terukir senyuman.


Tuesday, January 3, 2012

Penelope Brown dan Stephen Levinson

Langsung tidak masuk akal.

Itulah tanggapanku.

Model Brown dan Levinson dalam memperjelaskan prinsip kesantunan yang aku baca ternyata mengaburkan minda.

Lantas, aku lungsuri internet untuk mendapatkan maklumat yang diharap-harapkan dapat menjelaskan minda yang kekaburan.

Sesuatu yang menarik aku perolehi ialah nama penuh Brown dan Levinson iaitu Penelope Brown dan Stephen Levinson.

Brown dan Levinson telah membahagikan air muka kepada dua iaitu air muka positif (positive face) dan air muka negatif (negative face).

Secara ringkas, air muka positif merujuk kepada keinginan untuk dipandang mulia manakala air muka negatif merujuk kepada kemahuan untuk tidak dihalang tindakan.

Contoh menarik yang mudah difahami boleh diikuti dalam blog berikut

http://dhiah.com/jangan-drop-my-water-face-laa/

InsyaAllah, aku akan mencari maklumat lagi tentang Model Brown dan Levinson ini.

Mungkin malam nanti memandangkan aku harus bersiap sedia sekarang untuk menempuh dan merempuh peperiksaan APK yang akan berlangsung pada jam 8.30 pagi.

Sampai di sini sahaja.

Salam perkenalan kepada Penelope Brown dan Stephen Levinson. :)

Sunday, January 1, 2012

Rapuh

Ya Rasulullah.

Andai dikau ada bersama kami di kurun ini....

Aku pasti tidak akan punya kekuatan untuk berhadapan denganmu sedangkan jiwaku terlalu ingin bersua muka denganmu.

Betapa aku malu untuk berhadapan denganmu kerana masih belum melaksanakan perintah dan suruhanMu dengan sungguh-sungguh.

Namun aku sangat mendambakan kehadiranmu di sisi untuk mendengarkan keluhan dan luahan jiwa seorang hamba Allah yang telah hilang arah.

Al Quran iaitu ayat-ayat cinta daripada Pemilik Cinta kubaca namun aku sedar ya Rasulullah, aku belum berakhlak dan bersikap seperti yang diwahyukan.

As Sunnah iaitu cara hidupmu seperti yang telah kau contohkan untuk kami sebelum ini pun belum aku benar-benar menghayati apatah lagi melaksanakan.

Rapuhnya aku sebagai salah seorang umatmu.

Rapuhnya aku sebagai selah seorang hamba Allah.

Rapuh.

Ya Rasulullah, gentar hati ini andai engkau tidak menerimaku sebagai umat kerana aku masih berlalai-lalai dan mencuaikan bahkan mengabaikan banyak perkara yang dituntut.

Ya Allah, gerun hati ini andai Engkau membinasakan seluruh hidupku di alam fana ini apatah lagi di alam baqa nanti.

Ya Rasulullah yang pengasih dan penyayang, aku masih mengharapkan pimpinanmu terhadap hatiku yang telah sekian lama leka dan alpa.

Ya Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan Maha Mengasihani, kasihanilah hambaMu yang ingin menjadi baik dan lebih baik tetapi selalu sahaja keliru dan celaru.

Betapa aku seorang umat dan hamba yang rapuh.

Lantas hanya kepadaMu Pencipta diriku dan Penentu hidupku, aku bermohon dan meminta.

Lantas kepadamu wahai pendidik dan penuntun umat seluruh alam dan sepanjang zaman, aku berharap dan mengharap.

Izinkan aku untuk menjadi baik dan lebih baik seperti yang diwahyukan dan seperti yang diseru.

Rapuh....

Saturday, December 31, 2011

Alangkah...

Alangkah lunak dan merdu suara muazzin yang sedang melantunkan seruan mengajak manusia menyembah Pencipta.

Alunan azan Isyak yang indah.

Siapakah gerangan insan yang mempunyai suara itu...?

Pastinya insan itu berserta suara yang dianugerahkan kepadanya milik Pencipta.

:)

Azan Isyak baru sahaja selesai.

Friday, December 30, 2011

Hanya ingat Kamu kala dukaku

'Tuhan, aku tahu banyak dosaku. Hanya ingat Kamu kala dukaku.'

Ketika ini, aku sedang didendangkan lagu kesukaan ramai dan ternyata lagu ini telah mencuri hatiku dek lirik dan lagu yang benar-benar membelai emosi.

Sejak pulang daripada Bukit Broga bersama adik-adik, aku telah merangka dalam minda untuk mengulang kaji pelajaran memandangkan peperiksaan akan menjelang tidak lama lagi.

Pendakian ke Bukit Broga yang aku jadikan sebagai penanda masa antara minggu pengajian dan minggu ulang kaji sekaligus pendamai jiwa telah terlaksana tetapi aku tidak menunaikan amanah untuk mengulang kaji.

Aku ketagihan.

Ketagihan menonton klip video yang aku rakam menerusi perakam video FS306ku.

Klip video di Bukit Broga.

Klip video sempena Ilham Seni.

Klip video sepanjang semester kelima ini.

Klip video yang lalu iaitu semester keempat.

Jika tidak silap, perakam video FS306 aku beli pada tarikh 31 Disember 2010.

Bererti, ulang tahun pertama bersama perakam video FS306 akan menjelang beberapa jam lagi.

Meskipun perakam video ini bukan pilihan hatiku dek rasa cinta atau rasa tertarik, bahkan aku akui kerana terpaksa dek tekanan masa pada waktu itu, ternyata perakam video ini telah banyak berjasa kepadaku.

Segala kenangan di Universiti Malaya meskipun tidak banyak telah mampu dirakam sebagai kenangan.

Banyak yang dirakam.

Sebenarnya, lebih banyak yang tidak dirakam.

Namun, aku tidak dapat menyangkal apatah lagi menafikan bahawa jasa perakam video FS306 selama hampir setahun ini menjadikan aku cinta kepadanya.

Terima kasih FS306.

Hanya satu perkara yang agak 'merosakkan'ku ialah ketagihanku menonton rakaman klip video ini dan menghasilkan klip video pada masa yang tidak seharusnya.

Seharusnya aku fokus kepada pengulangkajian tetapi sebaliknya, rakaman klip video itu kucantum menjadi klip video.

Pada waktu ini, ada empat buah klip video yang sedang aku usahakan setiap hari berdasarkan empat buah lagu yang aku sukai.

Pagi semalam, siap sudah salah satu klip video yang dimulai dengan gurau senda Zulkifli Mukhtar dan diakhiri dengan wajah Anis Azmi, berlatarkan lagu Doa Perpisahan.

Ketagihan ini telah mengalihkan fokusku kepada tanggungjawabku yang sebenar iaitu mengulang kaji pelajaran.

Astaghfirullah.

Aku berharap aku kembali mendisiplinkan diri agar fokus kepada tanggungjawabku.

Harap sahaja pun tidak boleh.

Perlu ada usaha yang sungguh-sungguh.

Ya Allah, bantulah hambaMu ini yang kadang kala hilang arah.

Barangkali bukan kadang kala tetapi selalu.

Berbalik kepada lirik lagu yang tersurat begitu indah dan menyentuh nurani iaitu 'Tuhan, aku tahu banyak dosaku. Hanya ingat Kamu kalau dukaku.' pula, benarlah seperti yang dinyatakan.

Betapa aku memerlukan keampunanMu wahai Tuhan.

Betapa aku memerlukan pimpinanMu wahai Tuhan.

Apatah lagi November dan Disember 2011 merupakan dua bulan yang telah menggentarkan dan menggetarkan jiwaku dengan taqdirMu.

Taqdir yang sebenarnya menjawab pertanyaan hatiku pada bulan Ramadhan yang lalu.

Secara langsung, pertanyaanku sebenarnya telah terjawab olehMu wahai yang Maha Mendengar dan yang Maha Mengasihani.

Aku hanya perlu memahami dan menghadam erti redha.

Aku hanya perlu menghayati dan menghargai taqdirMu ini.

Aku hilang arah tetapi yakinkanlah aku bahawa aku masih belum kehilanganMu meskipun terlalu banyak dosaku.

Aku bukan anak yang baik.

Aku bukan anak yang baik.

Aku bukan anak yang baik.

Namun, terperosok dalam gaung yang curam dan dalam itu..... sesuatu yang aku harap Engkau terima sebagai kasih sayangku terhadap kedua-dua ibu bapaku meskipun aku tidak menzahirkannya langsung.

Aku sedar aku bukan anak yang baik.

Aku sedar aku bukan anak yang baik.

Aku sedar aku bukan anak yang baik.

Aku hanya hilang kudrat untuk membuktikannya kepada kedua-dua mereka.

Aku masih berkeinginan untuk menjadi baik.

Aku masih berkeinginan untuk menjadi baik.

Aku masih berkeinginan untuk menjadi baik.

Ampunilah hambaMu ini.

Wednesday, December 28, 2011

Lega rasa hati

Alhamdulillah, lega rasa hati.

Yuran pengajian semester ini yang berjumlah RM 4560 telah kulunaskan di Bank Islam pada jam 4 petang tadi bersama Unaizah.

Meskipun aku telah menghubungi Unaizah lebih awal, dia tidak menjawab panggilanku.

Beberapa minit sebelum aku melangkah keluar dari bilik, dia menelefonku.

Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku akan melunaskan yuran pengajiannya.

Rupa-rupanya dia juga belum melunaskan yuran pengajiannya dan membuat keputusan serta-merta untuk bersamaku ke Bank Islam.

Kami ke sana dengan menaiki bas memandangkan kenderaan itu yang tiba dahulu sedangkan aku berhasrat untuk menaiki teksi kerana ingin mengejar masa.

Kami ke KPS terlebih dahulu memandangkan aku perlu mengeluarkan wang lagi daripada ATM.

Alhamdulillah, lega rasa hati.

Selega hatiku apabila segala tugasan telah terlaksana dan diserahkan kepada pensyarah.

:)