Friday, January 13, 2012

Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa

Alhamdulillah.

Semalam merupakan hari peperiksaan yang keempat bagiku.

Kesantunan Bahasa Melayu.

Keenam-enam soalan telah kujawab meskipun masa tidak mengizinkan aku memberi jawapan yang baik untuk soalan ketiga yang bertanyakan tentang model Islam.

Model Sanat dan model Noriati tidak berpeluang aku menyentuhnya sebagai jawapan dalam soalan ketiga.

Hanya satu dalil sahaja yang sempat aku kemukakan iaitu dalil dari surah Taha, ayat 44.

Boleh dikatakan bahawa ramalanku tidak tepat kali ini memandangkan Dr Ibrahim bertanyakan tentang peraturan linguistik dan peraturan pragmatik untuk soalan pertama sedangkan aku meramalkan bahawa keenam-enam frasa yang berkaitan dengan kesantunan iaitu budi bahasa, budi pekerti, sopan santun, adab tertib, etika dan etiket akan disoal.

Manakala, model Asmah yang aku pelajari dan telaah hingga aku faham dan suka tidak pula disoal.

Buku penulis Asmah Haji Omar yang bertajuk Wacana Perbincangan, Perbahasan dan Perundingan sangat bermanfaat.

Nikmat kurasa apabila dapat memahami model Asmah tentang kesantunan asas dan kesantunan berkendala yang dijelaskan dengan terperinci pada halaman 90 hingga halaman 109, di samping penerangan lain seperti strategi komunikasi dan penonjolan kesopanan.

Alhamdulillah.

Aku berterima kasih kepada Adik Unaizah yang meminjamkan buku ini untuk aku kerana pada waktu itu, aku berada di kolej dan dia berada di perpustakaan.

Oleh sebab aku malas ke perpustakaan, aku hanya memesan buku ini daripadanya.

Terima kasih Adik Unaizah.

Berbalik kepada kertas peperiksaan, soalan ketiga berfokuskan model Islam yang tidak begitu menjadi perhatianku sedangkan model Asmah yang menjadi perhatian dan kesukaanku.

Aku hanya mampu memberi jawapan yang termampu dalam waktu yang terbatas.

Jika tidak silap, 15 minit terakhirku.

Selepas peperiksaan berakhir, aku menemani Adik Unaizah ke ISC dan menerusi Adik Unaizah, aku berkenalan dengan Nur Fathi iaitu seorang pelajar Singapura daripada API.

Setelah urusan mereka terlaksana, kami ke Mid Valley untuk makan tengah hari.

Secret Recipe menjadi kunjungan kami bertiga.

Kemudian, kami ke MPH.

Aku telah membeli dua buah buku yang bertajuk 'Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa'.

Aku tertarik dengan buku itu apabila membaca beberapa ayat-ayat yang tertulis dalam buku tersebut.

Ayat-ayat yang menikam sukma dan memanah sanubari.

Muka kulit belakang buku itu terdiri daripada warna yang aku sukai iaitu ungu.

Ayat-ayat yang terpapar di muka kulit belakang pula sungguh indah.

'Ya Allah, jadikanlah mata hatiku dapat memandang cinta dan kurniaanMu setiap masa. Jadikanlah diriku dapat membalas cintaMu setiap saat. Jadikanlah diriku sentiasa faqir kepadaMu dalam setiap langkahku. Jadikanlah diriku tiada berpaling ke belakang dalam mencapai cinta sejati. Pada ar-RahmanMu, aku hilangkan bayang segala yang terdinding.'

Indah bahasa yang diolah, bukan sekadar pada muka kulit belakang tetapi dalam buku itu juga.

Meskipun aku tidak begitu tertarik dengan muka kulit hadapan yang tidak menarik, kandungan buku ini telah pun menarik hatiku.

Kekurangan pada buku ini adalah ketiadaan halaman kandungan.

Buku ini ditulis oleh Ibrahim Asy-Syathari atau nama sebenarnya Ibrahim Mohamad.

Bukan Dr Ibrahim pensyarah kesayanganku yang mengajar Kesantunan Bahasa Melayu.

Buku ini kecil dan tipis.

Perkara ini yang menjadi faktor ketertarikanku.

Sebesar tapak tangan dengan kelima-lima jari agak direnggangkan.

103 halaman denagn 63 bab yang dihuraikan secara ringkas sahaja.

Faktor keringkasan itu lebih berkesan menurut pandanganku selagi intipati murni dapat disampaikan secara tuntas dengan bahasa yang jelas.

Sebenarnya, bahasa yang diolah penulis sungguh indah.

Buku bertajuk 'Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa' ini cukup menarik dan aku cukup tertarik.

Alhamdulillah.

RM 12 sahaja.

No comments:

Post a Comment