Selasa 13 Mac 2012
Menghadiri kedua-dua kelas tutorial Leksikografi.
Seperti semalam (Isnin 12 Mac 2012) di dalam kuliah Leksikografi, Sarah Najwa duduk di sebelahku dan mengusikku.
Sarah Najwa dan Syamimi Farhan telah bersekongkol memuat naik gambarku di grup Keluarga Bahagia.
Perasaanku?
Tentulah tidak suka meskipun aku mengukirkan senyuman sedangkan sebenarnya, aku tidak ada 'mood' sejak kebelakangan ini.
Namun begitu, akhirnya aku berpeluang merampas Tablet Sarah Najwa.
Aku dapat memadam gambarku yang dikirim di grup Keluarga Bahagia dan setelah beberapa percubaan, akhirnya menemui gambar itu dalam Tablet Sarah Najwa dan memadam gambar tersebut.
Sungguh lega perasaanku.
Tablet itu menemani aku ke Perpustakaan APM, Kompleks Perdana Siswa, Perpustakaan Utama dan kembali ke APM.
Bahagia menggodam akaun FB Sarah Najwa dengan mengepos status-status yang menghiburkan hatiku.
Bahagia membaca respon rakan-rakan FB Sarah Najwa terhadap status-status yang terpapar hinggakan aku terketawa dalam perjalanan.
Tutorial Pengajaran dan Pendidikan Seni pada jam 1 petang agak menarik kerana Cik Syafa meminta kami berbincang dalam kumpulan dan kemudian berbahas tentang kerelevanan sekolah seni di Malaysia pada masa kini.
Bahagia apabila Cik Syafa menyatakan bahawa dia suka dengan bidasanku yang menyatakan bahawa seni Melayu dikenali oleh masyarakat Barat yang datang ke Malaysia bukan menerusi sekolah-sekolah seni tetapi melalui peluang menginap di rumah inap desa (homestay).
Maklumlah rumah inap desa kini semakin diperbanyakkan, diperkayakan dan dinaik taraf bahkan mendapat naungan kerajaan dalam usaha memperkenalkan dan mempertahankan seni dan budaya Melayu.
Bahagia apabila Encik Nazzri mengajar pula tentang pembinaan masjid di Malaysia dalam kelas Kesenian Islam pada jam 2 petang.
Antara perkara yang diperkatakan ialah fungsi masjid, isu memperindahkan masjid, masjid-masjid yang terdapat di Malaysia (antaranya Masjid Kampung Laut iaitu masjid tertua di Malaysia) serta penyatuan yang bersifat luaran dan dalaman.
Kelas berakhir pada jam 4 petang.
Kak K menghantarku dengan teksi ke Perpustakaan Utama kerana aku perlu mendapatkan beberapa buah buku untuk tugasan Kesenian Islam.
Berbalik kepada Tablet Sarah Najwa yang masih dalam genggamanku, akhirnya pada jam 6 petang, Sarah Najwa datang ke bilikku di Kolej 11 untuk mendapatkan Tablet itu.
Sejak jam 11 pagi hingga jam 6 petang iaitu 7 jam... Tablet Sarah Najwa bersamaku.
Bahagia dapat menggodam dan mengusik Sarah Najwa.
Sungguh terhibur dengan keletah Sarah Najwa yang ingin menuntut keadilan di mahkamah atas kesalahanku menggodam akaun FBnya.
Perkara yang dituntut di ruang FB mendapat respon Abu Bakar, Awg Azhar, Nur Khairiyyah dan Nur Hakimah.
Sungguh menghiburkan hati sedangkan pagi tadi, aku sebenarnya tertekan apabila Sarah Najwa dan Syamimi Farhan memulakan agenda mengusikku.
No comments:
Post a Comment