Friday, March 9, 2012

Falsafah

'Umat Islam tidak dapat mengelakkan diri daripada pergeseran dan pertembungan dengan dunia luar. Bahkan umat Islam tidak dapat bersikap memencil diri atau mengunci diri, bagaikan katak di bawah tempurung, tanpa terlibat dalam pergolakan pemikiran daripada pelbagai aliran pendapat.

Firman Allah s.w.t maksudnya:
Maka sampaikanlah khabar gembira kepada hamba-hambaKu; yang mendengar kata-kata (atau pendapat-pendapat), lalu mengikuti (pendapat) yang lebih baik. Mereka itulah orang yang diberikan hidayat oleh Allah.
(Surah Az-Zumar, 39: 17-18)

Ayat ini membayangkan bahawa salah satu daripada sifat seorang hamba Allah yang dikasihi ialah yang mendengar segala pendapat, lalu mengambil yang lebih baik daripadanya. Itulah tanda hidayat Allah kepadanya. Untuk mencapai pendapat atau kata-kata yang terbaik itu sudah pasti memerlukan kepada tiga usaha:

Pertama: Memahami dan menguasai pendapat-pendapat daripada pelbagai aliran tersebut bukan sahaja setakat taraf yang setanding, tetapi biarlah lebih daripada mereka yang ahli dalam bidang tersebut.
Kedua: Menganalisis, membanding dan menilai secara kritik dan ilmiah.
Ketiga: Mempunyai tali ukuran atau neraca timbangan yang benar dan hak.

Dengan ketiga-tiga ciri itu maka dapatlah kita mengambil pendapat yang terbaik dan segala pendapat yang wujud sebagai satu keputusan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan kita.

Islam tetap terdedah kepada pelbagai pendapat dan fikiran daripada pelbagai aliran dan ideologi. Umat Islam tidak akan dapat memencilkan diri atau mengasingkan diri, tanpa mengambil hirau tentang pergolakan pemikiran dan ideologi. Arus pergolakan pemikiran dan ideologi tetap akan melanda umat Islam, yang terpaksa dihadapi, dialami dan diterimanya. Landaan arus pemikiran dan ideologi ini menyebabkan pertembungan dan pergeseran. Dalam keadaan ini umat Islam pastilah sedar dengan penuh keinsafan dalam dua sumber ilmu:

Pertama: Ilmu al-Quran
Kedua: Ilmu al-Bayan

Dengan memahami secara mendalam akan ilmu Al Quran sebagai tali ukuran atau neraca penimbang yang hak dan mutlak, juga memahami secara mendalam ilmu al-Bayan, terutama dalam bidang pemikiran dan ideologi daripada pelbagai aliran dan trennya yang dikemukakan oleh manusia daripada pelbagai bangsa, agama dan kebudayaannya, maka umat Islam dapat menganalisis, menilai dan membuat perbandingan, sebelum mengeluarkan satu pendekatan tersendiri yang lebih sesuai dengan roh keIslaman, atau lebih tepat dengan acuan Allah dalam al-Quran.'

(Dipetik daripada buku Falsafah Pendidikan Islam, halaman 164-165.)

No comments:

Post a Comment