Setelah setahun setengah aku naik turun bukit APM, tiga semester sudah aku tempuh dengan rencaman rasa.
Sejauh ini, aku harus katakan yang aku cukup seronok, gembira dan bersyukur dapat menjadi pelajar semula setelah lima tahun bertugas.
Keseronokanku, kegembiraanku dan kesyukuranku bersemi hanya setelah aku berada di Universiti Malaya dan sekaligus berada di Malaysia.
Ibarat hidup mati semula, ternyata Universiti Malaya dan Malaysia telah memberi harapan baru dalam hidupku yang sudah menjangkau lebih daripada suku kurun.
Seingat aku sebelum Jun 2008, aku tidak pernah menyemai langsung sebarang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran kerana pada waktu itu, aku beranggapan bahawa diplomaku sudah mencukupi.
Alhamdulillah, Tuhan yang Maha Kaya dan memiliki segenap ilmu telah membuka pintu hatiku untuk mengorak langkah ke Malaysia, khususnya Universiti Malaya semata-mata untuk mencari ilmu dalam bidang yang aku minati.
Inilah nikmat dan anugerah terindah daripadaNya kepadaku.
Istikharah penunjuk jalan dan peneguh hati.
Ustaz Fitras Bakaram, Dawn, Anwar dan Adik Mail adalah di antara mereka yang memberi galakan kepadaku agar meneruskan impianku ke negara jiran untuk melanjutkan pelajaran.
Tidak juga aku lupakan jasa Firdaus yang sudi menemani dan menghantarku ke sini agar urusan pendaftaranku sebagai pelajar dapat dilaksanakan memandangkan pada waktu itu, aku berseorangan dan belum mengenali sesiapa meskipun aku berpeluang berbicara dengan Hayatunnur di telefon dan berhubung dengan Kak K melalui emel.
Bak seorang spy, aku telah menjejak mereka berdua setelah terpapar nama mereka di senarai pelajar antarabangsa yang diterima masuk dalam bidang pengajian yang sama.
Pejam celik pejam celik, masa kian berlalu dan setahun setengah sudah aku di sini.
Seronok, gembira dan bersyukur dengan kesempatan ini.
Tenang dan bahagia di Universiti Malaya dan Malaysia.
Alhamdulillah, terima kasih Tuhan.
InsyaAllah, seandainya hayat masih ada, aku akan menempuh semester keempat pada tahun 2011 yang akan menjelang beberapa hari lagi.
Seandainya hayat masih ada juga, ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu akan kugenggam seperti yang terlihat dalam gambar di atas.
Setahun setengah lagi.....
No comments:
Post a Comment