Berkocak. Bergelora. Bergelombang. Begitulah suasana yang sedang melanda jiwa sejak pagi semalam....
Mungkin, buku yang kucapai dan kubaca ini semata-mata untuk mengalihkan perhatianku yang sejak semalam terganggu dan tertumpu kepada perkara yang berlaku.
Pada hari ini, bukan sekadar 'perkara' tetapi 'perkara-perkara' telah menimpa.
Ketika aku tidak mampu bersabar dengan 'perkara' dan kemudiannya 'perkara-perkara' yang berlaku, aku hanya mampu duduk seorang diri melayani perasaan.
Ketika aku gagal meredhai dengan 'perkara' dan kemudiannya 'perkara-perkara' yang menimpa, aku hanya mampu memandang ke langit dan awan-gemawan tanpa mengerti makna tersirat di sebalik ketentuan ini.
Buku yang kucapai dan kubaca seketika ini telah mengalihkan perhatianku. Ingin kukongsi bersama maklumat yang terkandung dalam buku ini iaitu buku 'Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara' tulisan Abdul Rahman Abdullah melalui 'post' pertama dalam segmen 'Susuri Sejarah' . Berikut merupakan maklumat yang terkandung dalam buku ini iaitu Bab 2: Kebudayaan Asli dari halaman 11 sahaja.
'Sebelum dintinjau kebudayaaan jati masyarakat peribumi, perlu diketahui sekadarnya tentang kedudukan geologi Asia Tenggara pada Zaman Prasejarah.
Pada Zaman Pleistosen (kira-kira 35 000 hingga 11 000 tahun dahulu), di mana cuacanya yang sejuk menyaksikan paras air laut turun, Asia Tenggara merupakan sekeping tanah Pelantar Sunda dan Pelantar Sahul yang timbul. Pelantar Sunda menghubungkan tanah besar Asia Tenggara dengan Kepulauan Melayu, sedangkan Pelantar Sahul menghubungkan New Guinea dengan Australia. Kerana itu manusia boleh bergerak di Asia Tenggara tanpa memerlukan perahu atau kapal. Tetapi pada Zaman Holosen (sejak 11 000 tahun yang lalu), di mana cuacanya mulai panas dan paras laut naik, Pelantar Sunda dan Pelantar Sahul lalu tenggelam, hingga jadilah Asia Tenggara seperti yang ada sekarang.
Dalam tinjauan tentang kebudayaan jati selanjutnya, terdapat dua premis yang utama. Pertama, kebudayaan bercorak sepadu dan holistik, iaitu saling bergantung dan berkait rapat antara satu sama lain. Tidak ada pemisahan antara agama dengan aspek-aspek kebudayaan lainnya. Kedua, pendekatan para sarjana terhadap perkembangan dan perubahan budaya prasejarah di mana-mana pun juga adalah berteraskan teori evolusi. Dengan itu perbahasan selanjutnya bertolak daripada pendekatan ini, yang bermula dengan Zaman Batu (Paleolitik, Mesolitik, Neolitik), dan berakhir dengan Zaman Logam (Tembaga, Gangsa, Besi).'
Inilah pertama kalinya aku memperhatikan istilah 'Zaman Pleistosen' dan 'Zaman Holosen'. Maklumat yang menarik dan tentunya aku tertarik. Sekadar ini yang dapat kukongsi daripada hasil tulisan Abdul Rahman Abdullah melalui buku 'Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara' yang telah diterbitkan pada tahun 2000 oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Kumohon ketenangan jiwa. Kumohon kelapangan fikiran. Kumohon kesejahteraan perasaan. :(
No comments:
Post a Comment