Seindah namanya iaitu 'Istana Kenangan', ternyata istana ini memang indah. Istana bercirikan seni bina istana Melayu lama ini akan meninggalkan kenangan indah jika aku dapat 'bertentang mata' dan 'bersua muka' dengannya.
Istana Kenangan atau dikenali juga sebagai Istana Tepas, Istana Lembah atau Istana Kuning dibina pada tahun 1926. Istana Kenangan terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan.
Aku teruja dengan keindahannya sejak pertama kali aku memandang dan membandingkannya dengan istana-istana lain yang terdapat di Tanah Melayu. Ternyata, keindahan istana ini amat menyerlah. Lihat sahajalah pada reka bentuk dan warna istana ini.
Istana Kenangan jika diamati pada bahagian bumbungnya menyerupai bentuk sarung pedang. Kreatif bukan? Seni bina bumbung istana ini menggabungkan reka bentuk perabung lima dan perabung pisang sesikat.
Sesuatu yang menarik tentang istana ini adalah pembinaannya yang menggunakan kayu semata-mata tanpa penggunaan sebarang paku.
Aku menyimpan hasrat untuk melihat sendiri istana ini dengan mata kepalaku sendiri sejak aku jatuh cinta dengan keindahan istana ini. Aku akan berpuas hati jika aku dapat mengkagumi istana ini secara dekat dan bukan lagi menerusi gambar-gambar di buku atau di lelaman sesawang.
Moga rancanganku dapat dilaksanakan dan harapanku kesampaian jua pada tahun 2011, InsyaAllah.
Gambar yang dipaparkan di blog ini bersumber dari sebuah laman sesawang iaitu http://www.asiaexplorers.com/malaysia/istana_kenangan.htm . Sebenarnya, aku lebih suka memaparkan gambar koleksi sendiri. Atas sebab itu, aku harus ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan! Namamu kuseru bertalu-talu.
Cakap tentang gambar koleksi sendiri, aku tidak mempunyai kamera kecuali kamera pada telefon bimbit. Jadi, aku haruslah bersedia dengan kamera digital yang mantap untuk merakam pertemuan istimewa ini.
Sementara itu, aku akan cuba mendapatkan maklumat yang sahih dan lebih menarik tentang istana ini agar dapat dikongsi bersama dengan tetamu blog Nurani Nurain.
Sampai di sini sahaja buat kali ini dalam 'post' pertama untuk segmen Legasi.
No comments:
Post a Comment