At this point of time, I misses UM a lot. I must be crazy right to miss UM?? Truthfully, UM has brought me back to life. A life full of hopes and dreams.
Pada waktu ini, aku sangat merindui suasana petang di UM. Pesan chocolate waffle di kaunter Daily Fresh tu. Kemudian, duduk di bangku sambil menghirup teh o limau ais sementara menunggu chocolate waffle kegemaranku disiapkan. Setiap kali selepas atau sebelum mengunjungi Perpustakaan UM, Daily Fresh akan aku singgahi. Kalau bukan chocolate waffle, aku akan memesan peanut n chocolate waffle. Begitulah rutinku apabila mengunjungi Perpustakaan UM.
Pada awal semester 3, aku sudah bertekad dan berhasrat untuk menjinak-jinakkan diri ke Perpustakaan UM setiap minggu. Lantas, itulah yang aku lakukan kerana sepanjang semester 1 dan 2 di UM, jarang sekali aku mengunjungi Perpustakaan UM untuk membaca dan meminjam buku sedangkan membaca, memahami dan menghayati sesuatu ilmu itu merupakan proses pengajian yang paling penting. Alhamdulillah, tekad dan hasrat yang kutetapkan pada awal Semester 3 terdaya dan termampu aku laksanakan secara istiqamah. Aku berpuas hati kerana dapat melatih diri membaca setiap minggu. Bagiku, ini adalah pencapaianku pada Semester 3 iaitu mendisiplinkan diri ke Perpustakaan UM setiap minggu.
Biasanya, aku berjalan kaki dari APM ke Perpustakaan UM. Seronok berseorangan berjalan kaki. Sambil menghirup udara segar, macam-macam perkara yang menyinggahi nurani rasa dan fikirku. Perjalanan dari APM ke Perpustakaan UM memberi ruang masa untuk merefleksi, mengenang dan berfikir.
Namun, ada beberapa perkara yang harus aku perbaiki dan perhalusi. Memanglah aku berkunjung ke Perpustakaan UM setiap minggu tetapi pembacaanku tidak bertali arus. Itu bererti aku masih belum menggiatkan pembacaanku dan ternyata, pembacaanku tidak aku amalkan setiap hari. Apabila pembacaan terputus, arus kefahaman dan ingatan pun terputus sama. Sedangkan aku yakin bahawa pembacaan yang dilakukan secara istiqamah setiap hari akan lebih berkesan kepada kefahaman dan ingatan.
Lebih berkesan juga jika isi kandungan buku yang dibaca dicatat dan diperbincangkan. Aku memang adakalanya mencatat tetapi bergantung kepada mood. Kalau ada mood, aku mencatat. Kalau tak ada mood, aku sekadar membaca. Bagusnya mencatat, aku seolah-olah mengulangkaji. Tak bagusnya mencatat, proses pembacaan menjadi lambat kerana setiap kali membaca, aku perlu mencatat. Namun, dari segi keseronokan, membaca dan mencatat memberi nikmat yang lebih bermanfaat. Maklumlah, kalau aku sekadar membaca sekali cuma begitu sahaja, biasanya isi kandungan itu belum meninggalkan kesan kepada ingatan.
Harus aku akui bahawa pembacaanku pada semester 3 sangat tertumpu kepada modul Seni Bina dan modul Seni Busana hinggakan modul Drama & Media sangat terabai. Tugasan yang bertimbun-timbun banyaknya untuk modul Seni Busana dan modul Seni Bina merupakan faktor aku mengabaikan pembacaan untuk modul Drama & Media. Barangkali, aku punyai preset mindset yang modul Drama & Media tidaklah sukar sangat. Bahkan, aku akui aku terlalu fokus kepada modul Penterjemahan yang bagiku sukar difahami dan mengelirukan.
Ketidakadilanku dalam menunaikan tanggungjawabku membaca bahan-bahan bacaan untuk modul Drama & Media aku insafi. Bahkan, hanya pada minggu ulangkaji, aku mula mencari buku-buku penting yang berkaitan dengan modul ini. Aku juga terlalu meremehtemehkan modul Tatabahasa kerana menganggap modul itu dekat di hati. Pada awal semester, memang aku ada mengulangkaji pada waktu malam sebelum masuk tidur tetapi tidak lama kemudian, Tatabahasa ke mana, aku ke mana.... Leka.
Jadi, aku tidak mahu bersikap tidak adil lagi pada Semester 4 yang akan datang. Memanglah modul yang kurang difahami atau sukar difahami seperti Penterjemahan perlu diberi perhatian yang lebih tetapi janganlah pula pembacaan untuk modul yang lain diabaikan. Pencarian bahan dan pembacaan isi kandungan buku kuhimpunkan pada saat-saat terakhir menghadapi peperiksaan. Otakku pun terkejut!
Akibatnya, aku menghabiskan minggu ulangkaji sepanjang 3 minggu untuk menelaah sehabis tenaga dan tumpuan untuk Tatabahasa. Pada minggu ulangkaji itulah, aku mula membaca ketiga-tiga teks pilihan. Pada minggu ulangkaji itulah, aku mula memesrai Tatabahasa Dewan. Pada minggu ulangkaji itulah, aku mula mendekati buku 'Pembentukan Kata Dalam Bahasa Indonesia' tulisan Harimurti Kridalaksana.
Akibat tidak membahagikan masa pembacaan dengan bijak untuk setiap modul, aku jadi haru-baru apabila berhadapan dengan Drama & Media. Apatah lagi sewaktu menghadapi Pengajian Melayu Bersumberkan Islam, aku jadi mati akal.
Aku harus belajar daripada kesilapan. Kunjungan setiap minggu ke perpustakaan harus diteruskan. (Rindunya..... dengan suasana petang di UM khususnya Perpustakaan UM. Meskipun Perpustakaan UM tidak menyediakan kelengkapan dan kemudahan yang memuaskan hati, Perpustakaan UM telah berjasa kepadaku. Perpustakaan UM memberi ruang kepadaku bersendiri dan berseorangan memerah otak dalam melaksanakan tugasan.)
Pembacaan hendaklah digiatkan setiap hari dan setiap modul yang aku ambil berhak menerima layananku secara adil. Hehehehehe. Adil bukan bererti sama rata. Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya pada waktu dan keadaan yang sesuai. Sebagai contoh, modul Penterjemahan memanglah sukar difahami. Sejak bulan puasa, aku bertungkus-lumus untuk memahami modul ini. Bagaimana pula dengan nasib Tatabahasa yang disangka dekat di hati padahal banyak perkara baharu yang perlu difahami? Never underestimate the contents of Tatabahasa because it is much more than what I thought. Bagaimana pua dengan nasib PMBI yang akhirnya membuat aku mati akal? Bagaimana pula dengan nasib Drama & Media yang pembacaannya banyak bergantung kepada bahan-bahan di internet dek kesuntukan masa?
Akhir kalam, pembahagian masa pembacaan untuk setiap modul harus ADIL. OK! Macam ibu ayah yang ada ramai anak. 6 orang anak lah katakan. Setiap anak itu kan berbeza tingkah, pemikiran, perasaan, sikap dan sifat. Jadi pendekatan ibu ayah pun hendaklah berbeza mengikut keperluan dan kesesuaian tetapi perhatian untuk setiap anak itu perlu ada dan diadakan secara ADIL walau bagaimana sibuk pun kedua-dua ibu ayah. Ini analogi je.
Walau apa pun, aku merindui suasana petang di UM yang telah menghamparkan kenangan yang indah-indah belaka. 'Post' pertama bagi segmen Bicara Kalbu & Fikrah dalam Nurani Nurain ni pun tercetus semata-mata kerana terbit rasa rindu terhadap suasana petang di UM....
No comments:
Post a Comment