Friday, December 17, 2010

Cuti-Cuti Malaysia 1: Langkawi & Pangkor

Dalam 'post' pertama bagi segmen Cuti-Cuti Malaysia, aku ingin berkongsi dua buah gambar percutianku bersama rombongan pelajar antarabangsa yang diketuai dan dianjurkan oleh Tareq Hassan, Khairul Mahmud dan Omar. Percutian ke Langkawi berlangsung pada cuti semester 2 sejurus selesai peperiksaan. Percutian ke Pangkor pula berlangsung pada cuti semester 3 sewaktu minggu ulangkaji. Hmmm...kena cuba dapatkan tarikh yang tepat. Sebab, memang dah tak ingat pun tarikh kedua-dua percutian.



Ke mana hilangnya kepala si burung helang?

Percutian di Langkawi terlalu singkat. 3 hari 2 malam tidak mencukupi. Itu bermakna aku harus ke Langkawi lagi. Pulau Langkawi memang indah dan sungguh menakjubkan. Rombongan ni pun happening!

Perkenalan dengan Farhad dari Bangladesh, Akram dari Yemen dan Mohamud Hussein dari Somalia memberi pengalaman unik dalam persahabatan. Percutian ke Langkawi ini sekaligus membuka ruang yang lebih luas untuk berinteraksi dengan adik-adik dari Akademi Pengajian Islam iaitu Ridwan, Syahid dan Salam yang sebelum ini dikenali sebagai pelajar senegara dan sekolej dengan aku.

Peluang tidur sekamar dengan Ma Lan dan Min Yao dari Cina pula menyeronokkan kerana aku dapat mengenali dengan lebih rapat lagi rakan seIslam tetapi bukan sebangsa, bukan sebudaya dan bukan senegara. Parisa dari Bangladesh, Sandee dari Myanmar dan Siti Rahmayanti dari Indonesia pula dari kamar yang lain. Meskipun sudah mengenali mereka sejak minggu Haluansiswa, Langkawi menghubungkan kami semula.

It's all about bonding!



Ke mana pula hilangnya kepala sotong?

Percutian di Pangkor selama 3 hari 2 malam dirasakan mencukupi. Aku tidak berhasrat ke Pangkor untuk kali kedua. Pulau Langkawi lengang dan tenang.

Teman-teman sekamar iaitu Ummi dari Brunei, Maram dari Mesir dan Rihhana dari Iran menghiburkan. Tidak lupa Zeinab dari Iran yang turut menghiburkan tetapi dia dari kamar sebelah. Makan kepah dan jalan-jalan bersama mereka pada waktu malam adalah pengalaman manis yang kami kongsi bersama.

Berbasikal pada waktu siang mahupun malam memang seronok meskipun nikmat yang dirasa berbeza. Berbasikal pada waktu siang bererti aku memperolehi nikmat cahaya mentari yang tidak terik bersama hembusan angin pagi yang menyegarkan. Rintik-rintik hujan renyai membasahi kami pada pagi itu. Ummi yang tidak berbasikal pada pagi itu menjadi teman yang cukup sabar dan setia menungguku. Pengalaman mencari kios basikal dan berbasikal beramai-ramai ternyata mewujudkan rasa bersama.

Berbasikal pada waktu malam pula bererti aku memperolehi nikmat belaian angin malam. Namun, peluang berbasikal sambil berbual tentang kehidupan dengan Khairul Mahmud dan Mohamud Hussein melapangkan fikiran dan mententeramkan perasaan. Itulah yang menjadikan pengalaman berbasikal tidak dapat dilupakan pada malam itu. Khairul Mahmud dan Mohamud Hussein adalah dua orang kawan yang kukenali melalui percutian di Langkawi. Percutian di Pangkor kali ini telah merapatkan kami semula setelah masing-masing kian sibuk dengan tugas dan tanggungjawab sebagai pelajar sepanjang semester.

Setelah sekian lama tidak berbasikal, rasa ghairah berbasikal sudah pasti terasa.

It's all about friendship!

No comments:

Post a Comment