20 Jun 2011 (Isnin):
Konsultan di pusat rawatan rambut dan kulit kepala di Century Square membuat aku geram. Kulit kepalaku yang koyak harus segera dirawati tetapi dia mengutamakan kepentingannya daripada keperluan dan kehendakku. GERAM!
Dalam keadaan tertekan, aku telah membeli serum Rudy Hadisuwarno dan losyen Citra di gerai ubat-ubatan tradisional yang terletak berhampiran dengan Perpustakaan Tampines. Itulah sikapku. Kalau dalam tertekan, aku akan mudah membeli sesuatu yang kemudiannya aku kesali. Beberapa hari kemudian setelah menggunakan serum dan losyen itu, aku sedari dua perkara yang merugikan tentang serum dan losyen itu.
Serum itu terdiri daripada sembilan botol tetapi salah satu botol itu telah digunakan. GERAM! Bahkan, harga serum itu di kedai ubat-ubatan tradisional yang lain $6 lebih murah. Manakala, losyen yang telah aku sapu ke seluruh tubuh telah berakhir tarikh penggunaanya. Tarikh produksi losyen itu ialah 10 Jun 2008. Losyen itu hanya boleh digunakan dalam masa dua tahun dari tarikh itu. GERAM!
Aku harus mengutip pengajaran daripada pengalaman ini.
Pertama, aku tidak harus bertindak terburu-buru meskipun terdesak dan tertekan dek kerisauan yang tidak tertahan tentang kulit kepalaku yang koyak.
Kedua, aku tidak harus bertindak dek emosi semata-mata untuk melepaskan geram terhadap sikap konsultan dari pusat rawatan rambut dan kulit kepala itu.
Ketiga, aku seharusnya mengkaji terlebih dahulu tentang serum dan harga serum itu dari kedai ubat-ubatan tradisional yang lain dan tidak terpengaruh dan lembut hati dengan kata-kata penjual di gerai itu.
Keempat, aku seharusnya meneliti cara serum itu dipakejkan dan memeriksa kandungan (kesembilan-sembilan botol) dalam pakej itu.
Kelima, aku seharusnya meneliti tarikh produksi dan tarikh luput losyen itu (termasuklah barangan-barangan lain pada masa akan datang).
Keenam, aku harus kembali ke kedai ubat-ubatan tradisional itu untuk mendaptkan ganti kepada produk yang telah aku bayar tetapi tidak memenuhi jangkaan.
21 Jun 2011 (Selasa):
Alhamdulillah, aku gembira kerana telah membeli pengecaj (charger / adaptor) yang baharu di Funan IT Mall dengan harga $79. Sebenarnya, pengecaj yang lebih murah boleh didapatkan di KL. Namun, aku memerlukan pengecaj bagi komputer ribaku sesegera mungkin memandangkan banyak perkara yang perlu aku uruskan sebelum kembali ke KL. LEGA!
Seorang rakan telah mencetuskan api kegeramanku pada hari ini. Bahkan, aku masih geram dengannya hingga pada waktu aku menaip 'post' ini meskipun sudah seminggu berlalu. Kegeramanku semakin berapi-api apabila aku mengunjungi sebuah salon muslimah kerana terlalu terdesak ingin merawati kulit kepalaku yang koyak.
Aku ke Kembangan Plaza sebagai alternatif untuk mengatasi kulit kepalaku yang koyak. Di salon muslimah ini, aku sememangnya tahu bahawa rawatan yang akan diberikan hanyalah rawatan inai untuk kulit kepala. Sekali lagi aku geram kerana pemilik salon ini harus aku katakan tidak profesional. Tidak bijak mengurus masa. Tamak kerana mengejar keuntungan semata-mata. Tidak jujur.
Janji tidak dapat ditunaikan kerana tidak menyusun jadual perkhidmatan untuk pelanggan. Seboleh-boleh beliau mengendalikan tiga orang pelanggan pada satu masa yang sama sedangkan beliau hanya mempunyai dua kerusi untuk pelanggan dan sepasang tangan. Apabila aku menghubunginya untuk bertanya sama ada beliau mempunyai pelanggan, dia meminta aku datang. Apabila aku sudah datang, suasana dalam salonnya tidak terurus kerana sudah ada tiga pelanggan. Apabila aku menyatakan bahawa barang kali masa tidak mengizinkan, dia kata dia sudah hampir selesai. Hampir selesai? Setengah jam berlalu.... dan dia masih belum selesai sedangkan sejam lagi, salonnya harus ditutup. Rawatan untuk kulit kepalaku ternyata memerlukan satu jam dan dia belum selesai lagi dengan ketiga-tiga orang pelanggan. Akhirnya, aku meminta diri.
Khidmat pemilik salon muslimah ini memang sudah aku ketahui sebegini rupa kerana bukan sekali dua aku berkunjung ke salonnya. Demi memberi sokongan kepada salon muslimah yang bergerak atas nama Islam dan bangsa Melayu, aku selalu mengunjungi salon ini. Namun, khidmat pemilik salon ini ternyata semakin teruk. GERAM!
InsyaAllah, 21 Jun 2011 (Selasa) merupakan tarikh, hari dan kali terakhir aku berkunjung ke salon muslimah itu.
22 Jun 2011 (Rabu):
Rehat. Rehat. Rehat. Setelah dua hari bergelut dengan kegeraman, aku perlu merehatkan diri dan menenangkan perasaan.
InsyaAllah, memohonlah wahai Noraini kepadaNya agar masalah kulit kepalamu yang koyak dapat dirawati. Bertindak terburu-buru dan bertindak dengan emosi tidak mendatangkan kebaikan tetapi sebaliknya, kerugian. Cungkillah hikmah Tuhan di sebalik pengalaman dan kejadian yang ditempuh pada hari Isnin dan Selasa hingga dirimu benar-benar menjadi geram.
Ingati, perhati dan hayati kisah Nabi Musa yang sakit gigi hingga Nabi Musa meletakkan pengharapannya terhadap rumput yang pernah suatu masa dahulu digunakan untuk merawati sakit giginya. Kepada siapa tempat rujuk kita dalam menghadapi sehari-hari meskipun sekadar kulit kepala yang koyak?
Konsultan mengecewakan. Pemilik salon mengecewakan. Serum? Tidak juga. Dirimu harus terlebih dahulu berbalik kepadaNya agar ditunjuki jalan keluar kepada permasalahan ini. Dirimu harus terbih dahulu mengadu kepadaNya kerana Dialah sebaik-baik konsultan yang memahami. Dirimu harus terlebih dahulu mengakui kesilapanku kepada Dia pemilik tubuhmu kerana kulit kepalamu yang koyak bukankah disebabkan kekasaran jari jemari dan kukumu sendiri. Segala ubatan termasuk serum merupakan ciptaan manusia yang diilhamkan olehNya bahkan bahan-bahan yang digunakan pun hakikatnya berasal daripada bahan-bahan yang Dia cipta dan sediakan.
Rehatkanlah dirimu dan tenangkanlah perasaanmu wahai Noraini yang sedang terdesak, tertekan, geram dan beremosi....
No comments:
Post a Comment