Khamis (9 Jun 2011)
Aku perlu mendaftar semula kad pengenalanku. Mudah sahaja pelaksanaan proses untuk mendaftar semula. Pertama, semak borang yang diberi. Jika perlu, perbetulkanlah maklumat yang sedia ada. Lantas, aku perlu perbetulkan tahap pendidikan tertinggi yang tertera dalam borang itu. Bukan lagi 'GCE O Levels' tetapi 'Diploma in ML Education'. Kedua, isi tempat kosong dengan maklumat yang perlu. Aku pun mengisi tempat kosong bagi nama penuh dalam tulisan Jawi. Ketiga, tampal gambar berukuran pasport di ruang yang disediakan. Keempat, cetak salinan bagi kad pengenalan yang sedia ada. Keempat, sediakan sampul untuk masukkan borang yang telah diisi dan salinan kad pengenalan berserta alamat yang tepat pada muka depan sampul dan alamat rumah pada muka belakang sampul. Lekatkan lidah sampul pada sampulnya. Kelima, pos ke dalam kotak pos terdekat dengan rumah.
Kemudian, aku berjalan kaki ke Perpustakaan Bedok. Terubat rinduku apabila aku dapat menjejakkan kaki ke dalam perpustakaan ini. Ternyata, perpustakaan ini merupakan satu-satunya perpustakaan yang dekat di hati sejak aku kecil, hinggalah aku menginjak ke alam remaja dan kemudiannya menjadi pengunjung perpustakaan yang dewasa. Aku dan Perpustakaan Bedok mempunyai kenangan kami bersama yang amat berharga. Bukan TV9 yang dekat di hati tetapi Perpustakaan Bedok yang dekat di hati. Hatiku.
Semasa di sana, aku membaca beberapa buah artikel yang terkandung dalam tiga buah buku yang berlainan. Oleh sebab buku-buku ini tidak boleh dipinjam kerana telah ditetapkan sebagai bahan rujukan dalam perpustakaan sahaja, aku hanya mampu membaca dan membuat salinan sahaja. Namun, sejak aku sedari tentang potensi lensa kamera digital pada telefon bimbitku, aku pun memanfaatkan telefon bimbitku. Aku tidak melepaskan peluang mengambil gambar ketiga-tiga buah buku yang boleh dikatakan bagus dan menarik.
Berikut merupakan gambar-gambar digital yang telah dipetik semasa berada dalam Perpustakaan Bedok, Aras 2.
Ketika berada dalam perpustakaan, aku dan Nur Khairiyyah pula asyik berbalas-balas SMS. Tersenyum dan tertawa aku seorangan kerana tercuit hati dengan keletah kami berdua yang berbalas-balas SMS dengan menggunakan bahasa utara. Istilah 'hang', 'ceq', 'pekena', 'pi', 'dak', 'habaq', 'pasai', 'baguih', 'sat', 'la ni' telah kami gunakan. Hihihihihi. Nampaknya, interaksi dengan teman-teman bukan Singapura di Universiti Malaya telah memperluaskan penggunaan bahasa kami yang dahulunya hanya terbatas kepada bahasa Melayu lisan yang kami gunakan sesama sendiri di Singapura. Tentulah bahasa sedia ada itu mempunyai pengaruh bahasa Melayu Johor Riau tetapi kini bahasa utara telah kami 'kuasai' walaupun sekadar untuk beberapa istilah tertentu. Penyerapan bahasa utara telah berlaku....
Persoalanku ialah ejaan 'bahasa utara' atau 'bahasa Utara'kah yang tepat? Rasanya.... bahasa Utara yang tepat kepada 'bahasa Utara' ialah kata nama khas bagi sebuah dialek tempatan di Malaysia yang dipertuturkan di bahagian utara Malaysia. Barangkali juga 'bahasa utara' yang tepat kerana terdiri daripada kata nama yang berupa inti ('bahasa') dan diikuti dengan penerang ('utara'). Hmmm. Tatabahasa Dewan iaitu rakan karibku tidak kubawa pulang. Nampaknya, 'dia' sedang lena dibuai mimpi dalam sebuah bilik nan comel yang nun jauh di KL.
Lantas, 'bahasa Utara' atau 'bahasa utara'? Semoga persoalanku terjawab....
No comments:
Post a Comment