'Di matamu kulihat sinaran bercahaya permata hati.'
Begitulah untaian ayat pemula yang dinyanyikan oleh Hail Amir dalam lagu 'Antara Matamu Dan Mataku'.
Lagu itu merupakan sebuah lagu duet yang didendangkan bersama.... siapa lagi kalau bukan Uji Rashid.
Judul entri kali ini ialah 'Cahaya Mataku' yang bermaksud 'Nur Aini' jika diterjemahkan kepada bahasa Arab.
Itulah nama sebenarku.
Namun nama sebenarku dieja seperti ini: Noraini
Meskipun aku lebih senang jika ejaan namaku seperti ini: Nuraini
Walau apa pun, aku menyenangi nama yang telah diberi oleh bapaku untukku.
Lagu nyanyian Hail Amir dan Uji Rashid iaitu 'Antara Matamu Dan Mataku' merupakan lagu yang indah kerana mengungkapkan perasaan hati sepasang insan yang saling mengasihi melalui bahasa non verbal.
Mata merupakan panca indera yang menjadi perantara untuk menyampaikan perasaan hati berdasarkan lirik dalam lagu ini.
Lantas, melalui entri kali ini, aku ingin sekali berkongsi sesuatu tentang panca indera yang Allah anugerakan untuk kita iaitu mata, khususnya tips penjagaan mata.
Artikel ini telah aku perolehi melalui majalah 'TIP CANTIK & SIHAT', muka surat 16.
Jom baca....
'Salah satu yang merisaukan wanita apabila kedutan mula muncul di bahagian sekitar mata seiring dengan pertambahan usia. Tentu saja ia mula merisaukan kerana kedutan itu juga menunjukkan tanda penuaan yang mulai menyerang wajah.
Namun ada juga sesetengah wanita yang mula didatangi kedutan ini sebelum sampai waktunya, bergantung kepada cara hidup dan faktor di sekelilingnya, contohnya seperti tekanan hidup dan pelbagai gangguan mental dan psikologi.
Apabila kedutan di sekitar mata mula muncul, jangan cepat risau. Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan bagi merawat dan melambatkan kesan kedutan itu.
Jangan sembarangan menyapukan krim mata. Pastikan pelembap yang khas untuk mata saja. Elakkan menggunakan pelembap kulit atau wajah untuk bahagian mata.
Pelembap yang berat akan membuat kulit mata iritasi ataupun mengering. Walaupun anda merasakan sudah memilih krim mata yang sesuai, namun kesan sebegitu membuat mata anda sukar untuk menerimanya.
Tukar kepada krim mata jenis lain hingga anda dapat menemui krim yang tidak memberi sebarang kesan yang tidak menyelesakan pada mata setelah memakainya.
Jangan semata-mata mengikut rakan. Jika anda lihat rakan sesuai memakai jenis krim A, anda juga ingin mencubanya semata-mata ia sesuai dengan mata rakan anda tersebut. Perlu anda ingat, kulit mata setiap wanita adalah berbeza. Jadi, anda perlu mendapatkan krim yang sesuai dengan kulit anda dan bukan hanya berdasarkan pandangan anda terhadap mata orang lain.
Ketika memakai krim mata, jangan menggosok terlalu kuat ataupun memicit bahagian sekitar mata. Cukup sekadar menepuk ringan sahaja. Hindari daripada kebiasaan menggosok mata.'
No comments:
Post a Comment