Monday, January 28, 2013

Drama berepisod: 3 Dara Metropolitan

Aku sedang menonton drama berepisod terbitan Singapura.

Boleh dikatakan menarik.

Aku tertarik.


Ketiga-tiga watak yang diwujudkan menarik bahkan dekat di hatiku kerana seperti watak-watak ini, aku dan mereka punyai persamaan iaitu wanita 30-an tahun yang belum berumahtangga.

Sunday, January 27, 2013

3 seniwati dari zaman filem Melayu klasik

3 seniwati dari zaman filem Melayu klasik yang paling aku minati ialah Roseyatimah, Latifah Omar dan Sarimah.

Pada waktu dan ketika ini, aku sedang menonton filem Melayu klasik yang bertajuk Bidasari.

Filem ini dibintangi Sarimah.

Demi menghormati penghijrahan Seniwati Sarimah yang telah berhijab pada ketika ini, tidak dapat aku paparkan gambar beliau ketika muda.

Begitu juga dengan Seniwati Roseyatimah yang telah kembali ke rahmatullah.

Filem ini begitu menarik kerana bahasa berima dan bahasa berirama telah diskripkan sepanjang filem.

Indah.

Selain itu, watak Bidasari yang berkembar nyawa dengan ikan.

Watak Permaisuri yang taksub dengan kejelitaan diri sendiri hingga tidak dapat menerima hakikat bahawa ada wanita lain yang sejelita atau lebih jelita menyebabkan Permaisuri tidak senang duduk.

Perkara menarik yang menghibur hatiku ialah cermin hikmat yang dimiliki Permaisuri.

Menerusi cermin hikmat itu, Permaisuri akan bertanya sama ada dia wanita paling cantik atau tidak di dalam negerinya.

Apabila cermin hikmat itu memaparkan citra Bidasari, tergugat perasaan Permaisuri yang begitu taksub dengan kejelitaan diri sendiri.

Ihikz.

Permaisuri seperti tidak dapat menerima hakikat setelah meng'google' internet dan memperoleh maklumat bahawa wanita lain lebih cantik.

Permaisuri seperti tidak dapat menerima hakikat setelah menyaksikan sendiri dengan mata kepalanya bahawa gambar wanita lain menerima 'likes' yang terhitung banyaknya, melebihi 'likes' untuk gambarnya.

Menarik sungguh teknologi cermin hikmat milik Permaisuri itu.

Wednesday, January 23, 2013

90an Gerek: 4U2C

Tirai rancangan hiburan 90an Gerek telah dibuka tadi dengan persembahan 4U2C.

Ibu yang telah menghubungiku untuk menonton rancangan ini kerana aku terlalu ingin menonton rancangan ini sejak terpandang 'trailer' rancangan ini di Suria beberapa minggu yang lalu dengan paparan artis yang aku suka iaitu Zamani.

Memori indah yang lalu bermain-main di minda menonton 4U2C di kaca televisyen meskipun hanya tiga orang iaitu AC Mizal, Joe dan Azam daripada tujuh orang yang dapat dijejak untuk rancangan ini.

20 tahun sudah berlalu.

Subhanallah.

Betapa waktu benar-benar telah berlalu dan meninggalkan pergi jauh-jauh akan 'semalam' yang suatu masa dahulu ialah 'hari ini'.

Banyak perkara yang kian tercicir daripada ingatan.

Namun, masih ada lagi sisa-sisa kenangan yang tersimpan kemas di dalam kotak ingatan.

Aku bukan lagi remaja tetapi seorang dewasa yang sudah semakin berusia.

Namun perasaan pada zaman remaja itu terusik dengan rancangan ini yang memaparkan artis-artis dan lagu-lagu pada zaman itu.

Perasaan yang indah.


Monday, January 21, 2013

Antara impian, cita-cita dengan angan-angan

Salon rambut daripada Muslimah untuk Muslimah.
 
Salon rambut ini diberi nama Sutera Touch.
 
Sekurang-kurangnya, ada juga Muslimah yang menyahut seruan fardhu kifayah dengan menyediakan khidmat salon rambut untuk Muslimah di kawasan rumahku.
 
Syabas dan Tahniah!!!
 
Perjuangan yang amat aku alu-alukan.
 
Alhamdulillah, aku telah berkunjung ke sana untuk mendapatkan khidmat secara langsung daripada pemilik salon rambut ini.
 
Impianku suatu hari nanti adalah memiliki salon rambut Muslimah bertaraf meskipun cita-cita ini belum lagi berpasakkan tiang perancangan dan persediaan yang teguh.
 
Sekadar berangan-angan.
 
Ilmu, pengetahuan, kemahiran, kepakaran apatah lagi pengalaman dalam menceburi bidang ini langsung tidak ada.
 
Sejauh ini, sekadar pernah berlanggan beberapa kali ke beberapa buah salon rambut Muslimah di Singapura.
 
Antara impian, cita-cita dengan angan-angan....
 
Apakah impian ini akan menjadi kenyataan?
 
Apakah cita-cita ini akan tercapai?
 
Apakah angan-angan ini akan menjadi realiti?
 
 

Sunday, January 20, 2013

Cenderawasih

Bagi mata pelajaran Bahasa Istana bersama kelas 2 Ekspres, aku telah memainkan lagu Cenderawasih nyanyian 2D untuk mengetengahkan beberapa kosa kata dan menerangkan maksud tersirat bagi beberapa stanza tersurat.



Cenderawasih (2D)

Cenderawasih burung kayangan
Tuanku putih kilau keemasan
Pandanglah hamba si gagak hutan
Sebelah mata pun hamba tak terkilan

Cenderawasih burung kayangan
Tuanku putih kilau keemasan
Adumu bercadarkan pintalan gemawan
Tidur hamba beralas reranting hutan

Tak hamba terkelindan sayap dipatahkan
Tak hamba terkilan telur hamba dipecahkan
Hamba akur dengan suratan
Hamba akur dengan kehendak Tuhan
Hamba akur berketurunan bermandi hinaan

Cenderawasih burung kayangan
Tuanku putih kilau keemasan
Kau pinta didodoikan rintikan hujan
Ku mampu rintih senandung kedukaan

Penat hamba menanam ubi
Ramai berladang nenas di seberang
Penat hamba menabur budi
Emas jua dipandang orang

Orang cina menghisap madat
Duduk di bangku berkain chukin
Hina besi kerana berkarat
Hina manusia kerana miskin

Cenderawasih burung kayangan
Tuanku putih kilau keemasan
Kau pinta didodoikan rintikan hujan
Ku mampu rintih senandung kedukaan

Aduhai cenderawasih pintamu keterlaluan
Kau inginkan hamba kalungkan bulan
Kau kepinginkan kerabu dari bintang berkerdipan
Kau dambakan rantai untaian buih lautan
 

Kenangan zaman pengajian: Pengalaman pertama mendaki bukit di Malaysia

Pengalaman pertama mendaki bukit di Malaysia telah terlaksana pada Disember 2011 iaitu pada cuti ulang kaji sebelum berlangsung peperiksaan Semester 5.

Sudah setahun lebih berlalu.

Bukit yang kami maksudkan ialah Bukit Broga.

Pencetus program yang telah mencadangkan pendakian ke Bukit Broga sekaligus menguruskan perjalanan kami ialah Abu Bakar.

Abdul Rahman dan Idris pula memainkan peranan sebagai pendaki berpengalaman yang mengetuai kami memandangkan Bukit Broga pernah mereka tawan sebelum ini.



Analisis pepatah Melayu: Ke laut dia tidak hanyut, ke darat dia tidak sesat, ke hulu dia tidak malu, ke hilir dia tida mungkir

Analisis ketiga yang ingin aku kongsi di blogku ini adalah analisis ke-14 dalam tugasan PMBI.

Semoga memberi manfaat kepada diri sendiri dan pembaca sekalian.



            Kes 14: ‘Ke laut dia tidak hanyut  

                Ke darat dia tidak sesat

                Ke hulu dia tidak malu

                Ke hilir dia tidak mungkir’

 

Ungkapan yang indah ini memperlihatkan rima di antara kata nama dengan kata adjektif dalam setiap baris. Kata nama ‘laut’ berima dengan kata adjektif ‘hanyut’, kata nama ‘darat’ berima dengan kata adjektif ‘sesat’, kata nama ‘hulu’ berima dengan kata adjektif ‘malu’ dan kata nama ‘hilir’ berima dengan perkataan ‘mungkir’.

 

Keindahan ungkapan ini bukan sekadar terletak pada bentuknya sahaja. Mesej yang terkandung dalam ungkapan ini mampu mengangkat maruah anak bangsa Melayu agar menjadi anggota masyarakat dunia yang berdaya saing dan serba boleh. Ungkapan ini menitipkan semangat motivasi agar anggota masyarakat dapat dibentuk menjadi insan versatil iaitu manusia berkeupayaan atau mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan sekalipun.

 

Frasa ‘Ke laut’, ‘Ke darat’, ‘Ke hulu’ dan ‘Ke hilir’ memperlihatkan kemampuan orang Melayu merantau. Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005: 1286) mendefinisikan ‘merantau’ sebagai berjalan, belayar atau mengembara mencari penghidupan.

 

Selain daripada itu, merantau ditakrif juga sebagai pergi ke negeri lain kerana mencari penghidupan. Dalam perjalanan mencari penghidupan, orang Melayu perlu mengharungi laut dan menjelajah di darat.

 

Lantas, ilmu, kemahiran dan kecekapan diperlukan untuk mengharungi laut dan menjelajah di darat agar tidak mengalami nasib buruk seperti hanyut di laut atau sesat di darat. Kata nafi ‘tidak’ yang ditegaskan dalam setiap baris menyuntikkan semangat dan keyakinan bahawa masyarakat Melayu tidak akan hanyut atau sesat selagi mana mereka berilmu, berkemahiran dan mempunyai kecekapan. Namun, tidak harus dilupa bahawa keimanan dan kecekalan juga perlu dalam menghadapi situasi getir dan suasana baru di dalam perjalanan dan perantauan.    

 

Baris ketiga dan keempat pula iaitu ‘Ke hulu dia tidak malu, Ke hilir dia tidak mungkir’ memperlihatkan kemampuan orang Melayu mempunyai kemahiran komunikasi dan berpribadi baik. Kedua-dua ciri ini juga sama penting ketika berada di perantauan agar disenangi ramai dan mudah diterima oleh orang lain.

 

‘Malu’ dalam baris ketiga ungkapan ini merujuk kepada rasa segan, rasa rendah diri, rasa hina atau rasa agak takut yang memberi kesan negatif. Rasa-rasa sebegini boleh menghambat seseorang dalam proses interaksi dan komunikasi dengan masyarakat lain. Lantas, baris ketiga ini menyuntikkan semangat dan keyakinan agar orang Melayu mampu memenangi hati orang lain dan disenangi masyarakat lain.

 

’Mungkir’ pula berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005: 1055) mempunyai beberapa definisi. Definisi pertama adalah ingkar. Definisi kedua adalah tidak setia, tidak patuh atau tidak taat. Selain daripada itu, ‘mungkir’ juga ditakrif sebagai tidak menepati janji atau menolak perjanjian. Akhir sekali, ‘mungkir’ juga ditakrif sebagai salah atau keliru. Kesimpulan daripada keempat-empat takrifan, ‘mungkir’ mempunyai makna rujukan yang negatif.

 

Lantas, baris keempat dalam ungkapan ini menegaskan bahawa orang Melayu tidak mungkir. Itu bererti orang Melayu tidak mempunyai sifat-sifat yang dikatakan mungkir. Secara langsung, orang Melayu tidak ingkar, patuh kepada undang-undang, taat kepada ajaran Islam, menepati janji, tidak keliru dan setia. Inilah nilai-nilai yang dimiliki orang Melayu yang menggambarkan bahawa mereka berpribadi baik.

 

Ternyata ungkapan ini secara keseluruhan telah mengangkat martabat orang Melayu sebagai bangsa yang terpuji di mana jua mereka berada. Ungkapan ini harus dijadikan pegangan setiap anak bangsa Melayu agar berpribadi seperti yang digambarkan dalam ungkapan ini.

Ekspreswe yang memisahkan....

 
 
 
Ekspreswe yang memisahkan Bedok North dan Bedok Reservoir.

Ekspreswe ini dikenali sebagai PIE iaitu singkatan bagi kata nama khas Pan Island Expressway.

Saturday, January 19, 2013

Bukan Januari tetapi mungkin Februari

Seandainya aku bertolak ke KL dengan tiket yang aku tempah semalam, pada ketika ini... barangkali, aku baru sahaja menjejakkan kaki di KL.

Jika koc sampai tepat masa seperti selalu di Bangsar, pada ketika ini... barangkali, aku sedang dalam perjalanan ke Kolej 11 dengan teksi.

Perancangan itu tidak menjadi kenyataan.

Bukan Januari tetapi mungkin Februari.

In shaa Allah.

Cubit pipi!

Cubit 'pipi' kanan, 'pipi' kiri terasa juga.

Dia begitu yakin mempertahankan bahawa bahagian tubuh yang dicubit ialah pipi dan bukan paha.

Begitulah respon yang aku terima daripadanya ketika memperkatakan tentang peribahasa 'cubit paha kanan, paha kiri terasa juga'.

Sebenarnya, respon yang ditunjukkan menghiburkan hatiku meskipun dia tetap bertegas untuk menegakkan benang yang basah.

Meskipun aku dan rakan-rakannya telah membetulkan peribahasa yang dia ujarkan, dia tetap berpegang teguh dengan peribahasa yang berkatanamakan 'pipi'nya itu.

Mata pelajaran tentang Kata Majmuk ini telah aku bahagikan kepada 3 aktiviti.

3 sampul berbeza telah diwujudkan dengan setiap sampul diisi dengan keperluan yang berbeza.

3 aktiviti berbeza dijalankan serentak pada setiap masa sebelum setiap kumpulan bertukar sampul.

3 aktiviti yang dimaksudkan adalah
(i) mencantumkan dua kata dasar untuk membentuk kata majmuk
(ii) memadankan simpulan bahasa dengan makna simpulan bahasa bagi kata majmuk (maksud kiasan) dan
(iii) melukiskan gambar berdasarkan kata majmuk.

Melalui aktiviti memadankan simpulan bahasa inilah, tercetus peribahasa 'cubit pipi kanan, pipi kiri terasa juga' daripadanya.

Comel sungguh dia apabila kata nama dalam peribahasa itu iaitu 'paha' digantikan dengan kata nama 'pipi' bahkan tetap mempertahankan keyakinannya meskipun kami telah menerangkan peribahasa yang sebenar.

Meskipun semalam dia tidak begitu berminat dan kurang fokus dengan aktiviti kumpulan asas, Alhamdulillah, apabila aktiviti berpasangan yang kunamai 'Guru & Pelajar' telah dijalankan pada hari ini, nampaknya dia berminat dan lebih fokus serta bertanggungjawab dalam memainkan peranannya sebagai guru yang perlu mengajar muridnya.

Setiap guru telah aku minta ajarkan 5 peribahasa dan makna bagi simpulan bahasa itu.

Atas dasar perubahan sikap dan keupayaannya menyampaikan isi pelajaran kepada rakan-rakannya, aku telah memilih dia untuk dipuji.

2 biji coklat Ferrero Rocher telah dihadiahkan untuknya dengan harapan dia berminat dengan mata pelajaran Bahasa Melayu, lebih fokus dengan isi pelajaran dan berkelakuan atau bertutur dengan sopan.

Thursday, January 17, 2013

#Akumasihberadaditempattugaskupadawaktudanketikaini

Andai hari bertugas hanyalah pada hari Selasa, Rabu dan Khamis, itu bererti aku punyai empat hari untuk bercuti iaitu Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin.

Cuti empat hari sekaligus.

Ataupun andai hari bertugas hanyalah pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat, itu bererti aku punyai cuti di pertengahan iaitu pada hari Rabu diikuti dengan cuti hujung minggu seperti biasa.

Cuti tiga hari.

Mungkinkah berlaku?

Tidak mungkin berlaku tetapi tidak mustahil terjadi pada masa hadapan dengan syarat aku memilih untuk bekerja mengikut masaku sendiri.

Pada waktu ini, tentulah aku terikat dengan tanggungjawabku yang hanya memperuntukkan cuti pada Sabtu dan Ahad.

Dua hari sahaja.

#Akumasihberadaditempattugaskupadawaktudanketikaini

Monday, January 14, 2013

Kenangan yang tidak akan ada tukar gantinya: Melepaskan pergi C403

 

Melepaskan pergi C403.

C403 adalah kenangan yang tidak akan ada tukar gantinya sepanjang pengajian tiga tahun di Universiti Malaya.

Meninggalkan kamar C403 tidaklah mudah meskipun kamar kecil itu serba sederhana.

Memulangkan kunci C403 (pada 22 Julai 2012) tidaklah mudah kerana kamar kecil itu telah menumpangkan sebuah kehidupan dan menampung rahsia seorang insan.

Andai diturut kata hati dan C403 tidak berpenghuni, aku pasti akan melakukan sesuatu untuk masuk ke dalam kamar itu sewaktu aku berkunjung ke Kuala Lumpur pada 4 Disember hingga 18 Disember 2012.

Namun C403 sudah berpenghuni.

Lantas usahlah diturut kata hati.

Andai kuturut kata hati, C403 mampu membuat aku menitiskan air mata.

Ketika menaip pos ini pada ketika ini, air mata sedang bergenang.

Aku mudah kalah kepada kenangan yang mampu menyeru dendangan perasaan pilu.



Ikan Merah Masak Lemak Cili Padi

BAHAN (A): Digoreng separuh garing
Ikan merah 3 keping

BAHAN (B): Dikisar dengan sedikit air
10 biji cili padi
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 inci kunyit hidup

BAHAN (C): Dididih bersama bahan (B)
1 kotak kecil santan Kara dan sedikit air
2 batang serai dititik
1 helai daun kunyit dipotong
2 helai daun limau
1 keping asam gelugur

BAHAN (D): Dibubuh sebagai penambah rasa
Garam
Gula


CARA MEMASAK:
1. BAHAN (B) yang telah dikisar dimasukkan ke dalam periuk yang telah dipanaskan TANPA minyak kerana masakan ini menggunakan kaedah didih dan bukan kaedah tumis. Namun begitu, api hendaklah diperlahankan.
2. BAHAN (C) dimasukkan ke dalam periuk. Masakan hendaklah dikacau SENTIASA.
3. BAHAN (A) dimasukkan ke dalam periuk agar ikan yang digoreng separuh garing tadi dapat masak sepenuhnya.
4. BAHAN (D) dibubuh sebagai penambah rasa mengikut keperluan atau keinginan.


Bagi resipi petang senja ini, aku telah menggunakan cili padi merah (bukan cili padi hijau) dan aku telah mengabaikan bawang putih. Beberapa cebis daun kunyit (bukan sehelai) dan beberapa helai daun limau (bukan dua helai) telah dimasukkan ke dalam masakanku ini. Bahkan gula tidak dibubuh. Inilah yang dinamakan MODIFIKASI atau PENGUBAHSUAIAN.

Terkenang Lemak Cili Padi berserta ikan tilapia goreng hasil air tangan IBU Mohamad Shafiq Rohaizad yang membuat aku begitu berselera. Setelah kawan-kawan beranjak daripada tempat duduk kerana mereka telah selesai makan, aku seorang sahaja yang masih di situ menikmati ikan tilapia goreng yang lazat dan manis itu. Maklumlah, ikan segar daripada kolam itu telah didapatkan pada pagi itu juga demi meraikan kunjungan kami ke rumah Shafiq Rohaizad.

Semester 5 sewaktu zaman pengajian meninggalkan kenangan yang indah dek Lemak Cili Padi berserta ikan tilapia goreng yang SODAP!

Kenangan zaman pengajian: First Coach

Koc: First Coach
Lokasi: The Plaza, Beach Road (Singapura)
Tarikh: 7 April 2012
Hari: Ahad
Destinasi: Bangsar, Kuala Lumpur (Malaysia)
Tujuan: Pengajian semester akhir di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
 

Kenangan silam: Bahasa Melayu dan Matematik. PSLE. Aliran normal dan aliran ekspres.

Bahasa Melayu dan Matematik merupakan dua mata pelajaran yang paling kuminati sejak kecil jika dibandingkan dengan Bahasa Inggeris dan Sains.

Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Melayu merupakan empat mata pelajaran yang perlu diduduki dalam peperiksaan utama setelah enam tahun menjalani sistem pendidikan sekolah rendah.

Peperiksaan utama itu dikenali sebagai PSLE iaitu Primary School Leaving Examination.

Berdasarkan agregat yang diperolehi dalam peperiksaan utama itu, pelajar akan disalurkan ke sekolah menengah pilihan mereka asalkan agregat mereka itu menepati jangkaan yang telah ditentukan bagi setiap sekolah menengah.

Sewaktu aku berada di sekolah rendah, aku bukanlah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Namun begitu, kekuatanku adalah Bahasa Melayu dan Matematik.

Mungkinkah kerana aku minat dengan kedua-dua mata pelajaran tersebut, maka aku memperoleh markah yang baik untuk Bahasa Melayu dan Matematik?

Atau munginkah kerana aku memperoleh markah yang baik untuk Bahasa Melayu dan Matematik, maka aku minat dengan kedua-dua mata pelajaran tersebut?

Aku percaya minat mampu mencetus daya fokus yang tinggi.

Ketika guru menyampaikan ilmu dan aku sebagai pelajar menerima ilmu tersebut, aku memberikan daya fokus yang tinggi hinggakan kerja sekolah baik di dalam kelas mahupun di rumah aku laksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Aku percaya markah yang baik juga mampu mengekalkan keinginan yang kuat dalam diri untuk terus bersungguh-sungguh dalam melakukan yang terbaik.

Namun, dalam peperiksaan utama PSLE, markat bagi mata pelajaran Matematik menghampakanku.

Aku tidak memperoleh A untuk mata pelajaran Matematik sebagai bukti kesungguhanku sejak darjah empat hinggalah darjah enam (memandangkan kesungguhanku belum menyerlah sewaktu darjah satu hingga darjah 3).

B pun tidak.

Vitamin C untukku.

Jika aku merefleksi diriku pada ketika ini mengenai kegagalanku memperoleh A untuk Matematik, sejujurnya aku tidak mampu untuk kenal pasti sebab kegagalanku itu.

Aku hampa apabila kedua-dua orang kenalan rapatku memperoleh agregat yang jauh lebih baik hinggakan mereka berpeluang ke aliran ekspres sedangkan aku dengan agregat yang tidak begitu tinggi hanya mampu melayakkan diri ke aliran normal.

Aku tidak kecewa tetapi hampa.

Bukan sekadar hampa tetapi terasa betapa kecil diri ini kerana kedua-dua kenalan rapatku menempah kecemerlangan dengan kegembiraan sedangkan aku tidak begitu cemerlang.

Namun..... awan gelap yang mengendong hujan hilang daripada pandangan setelah membasahi bumi.

Mentari menyinarkan cahaya yang menerangi alam semesta.

Bahkan pelangi menghiasi indah akan suasana.

Setelah setahun berada di sekolah menengah, aku menerima berita yang paling membahagiakan.

Kecemerlangan untukku telah tertangguh dalam keputusan PSLE namun akhirnya menjadi kenyataan jua dalam keputusan keseluruhan menengah satu.

Aku ditakdirkan menjadi pelajar terbaik dalam kelasku dan diberi peluang keemasan berganjak ke aliran ekspres.

Tidak pernah aku impikan bahawa aku akan diberi peluang sebegitu rupa.

Ternyata, peluang itu terlalu tinggi nilainya untukku.

Kecemerlangan yang membahagiakan.

Hingga kini, Bahasa Melayu dan Matematik tetap merupakan dua mata pelajaran yang paling aku minati.

Namun, aku telah mendalami Bahasa Melayu hingga ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak pula Matematik.

Walaupun Bahasa Melayu dan Matematik merupakan dua mata pelajaran yang paling aku minati namun dengan kedewasaan ini, aku lebih terbuka untuk menerima ilmu lain seperti Bahasa Inggeris dan Sains meskipun kedua-dua mata pelajaran ini tidak aku minati ketika berada di sekolah rendah.

Sunday, January 13, 2013

Selagi Tidak Pernah



Tidak mungkin memahami selagi tidak pernah mengalami
Tidak mungkin mengerti selagi tidak pernah menghadapi
Tidak mungkin mendalami selagi tidak pernah menyelami
Tidak mungkin melepasi selagi tidak pernah melalui

Pengalaman pahit bukan dambaan
Pengalaman perit bukan impian
Pengalaman perih bukan permintaan
Pengalaman pedih bukan keinginan

Apabila berjaga dalam kelam
Apabila bermimpi dalam suram
Apabila menjerit dalam diam
Apabila merindu dalam dendam

Terlalu luas hilang arah tidak bernakhoda
Terlalu dalam lemas akhirnya hilang nyawa
Terlalu jauh redah habis tenaga hilang upaya
Terlalu lama tadah tangan berdoa kini hilang percaya

Selagi tidak pernah mengalami, tidak mungkin memahami
Selagi tidak pernah menghadapi, tidak mungkin mengerti
Selagi tidak pernah mendalami, tidak mungkin menyelami
Selagi tidak pernah melalui, tidak mungkin melepasi

Algebra. Al-Jabr. Al-Khawarizmi.

Algebra.

Istilah matematik yang berasal daripada bahasa Arab, al-jabr.

Istilah ini dipinjam oleh bahasa Inggeris sebagai algebra.

Pada kurun ke-9, al-Khawarizmi dari Arab telah menghasilkan sebuah buku matematik yang berjudul al-Jabr wa al-Muqabalah.

Perkataan al-jabr mula digunakan sejak 820 tahun Masihi.

Al-jabr bermaksud 'menukar tempat kuantiti suatu persamaan dari kiri ke kanan atau sebaliknya'.

Sumber: Chong Mun Wah. (1997). Kamus Etimologi Bahasa Melayu. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

Kenangan silam: Blok 501

Blok 501.

Tingkat 2.

Unit 6.

Di situlah rumah pertamaku sejak aku dilahirkan.

Seluruh zaman kanak-kanakku dihabiskan di sini.

Monday, January 7, 2013

Analisis pepatah Melayu: Tahu menimba ilmu orang, tahu menyauk petua orang

Semalam, analisis pertama iaitu analisis Kes 1 daripada tugasan yang telah terlaksana pada tahun 2010 telah dikongsi di blog ini. Pada hari ini pula, analisis kedua iaitu analisis Kes 11 menjadi pilihan untuk dikongsi.


Kes 11: ‘Tahu menimba ilmu orang

                          Tahu menyauk petua orang’            

 

Perkataan ‘menyauk’ dalam baris kedua diertikan sebagai mencedok dan menimba dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1398). Lantas, menyauk mempunyai sama makna dengan menimba seperti yang tersurat dalam baris pertama. Kedua-dua perkataan ini adalah kata kiasan yang bermaksud mengambil atau memperoleh pengetahuan atau maklumat daripada sesuatu sumber.

 

Dalam ungkapan ini, sumber ilmu atau petua yang dimaksudkan merujuk kepada orang. Itu bererti kita harus mempunyai sikap keterbukaan dan merendah hati untuk mempelajari sesuatu daripada orang lain yang berilmu, berpengetahuan atau arif.

 

            Abdul Samad Ahmad (1990: 126) dalam bukunya, ‘Kesenian Adat, Kepercayaan dan Petua Ilmu’ menyatakan bahawa petua adalah sebahagian daripada ilmu. Namun di antara kedua-duanya mempunyai ciri yang berlainan. Berikut merupakan kenyataan beliau dalam memperlihat perbezaan di antara ilmu dan petua

Ilmu pengetahuan dalam apa bentuk pun merupakan kepandaian yang dimiliki oleh seseorang, sementara petua adalah kebijaksanaan mengatur ilmu yang ada bagi melaksanakan sesuatu pekerjaan. Ilmu pengetahuan dipelajari, sedangkan petua didapati daripada hasil pengalaman yang dilalui. Maka itu boleh juga dikatakan bahawa petua adalah satu daripada ciri ilmu.’

Namun, ilmu dan petua dalam budaya Melayu saling menyokong seperti yang tersurat dalam ungkapan yang diperkatakan. Menurut Abdul Samad Ahmad lagi (1990: 126), orang tua-tua berpendapat bahawa petua mendahului ilmu. Manakala ilmu yang tidak disertai petua kurang meninggalkan kesan dalam sesuatu pekerjaan. Bahkan seseorang yang tidak mengikut petua yang betul akan menghadapi masalah atau kesulitan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Petua seolah-olah menjadi panduan agar sesuatu pekerjaan itu menjadi, teratur dan sempurna.

 

 Lantas, ungkapan ini mendidik pembaca atau pendengar agar bersikap terbuka untuk memperoleh ilmu dan petua daripada orang lain yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman.

Sunday, January 6, 2013

Analisis pepatah Melayu: Adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam

Dalam pos kali ini, aku ingin berkongsi analisis ringkas mengenai satu pepatah Melayu yang indah iaitu 'Adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam'. Analisis ini telah dilakukan ketika melaksanakan tugasan bagi modul Pengajian Melayu Bersumberkan Islam pada tahun kedua pengajian di Akademi Pengajian Melayu.


Kes 1: ‘Adat muda menanggung rindu

             Adat tua menahan ragam’

 

Pepatah yang ringkas ini mampu menyampaikan satu mesej utama atau satu nilai penting yang perlu dididik dalam jiwa orang Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah kesabaran meskipun perkataan ‘sabar’ itu tidak dinyatakan secara langsung.

 

Frasa ‘menanggung rindu’ mengajak orang muda kepada kesabaran. Maklumlah, lumrah orang muda memang mudah dibuai gejolak perasaan cinta, kasih dan rindu namun mereka perlu sabar menanggungnya. Begitu juga dengan frasa ‘menahan ragam’ yang menganjurkan orang tua agar bersabar. Maklumlah, orang tua perlu menghadapi pelbagai karenah anak muda yang masih mentah, pendek akal dan kurang faham tentang kehidupan dan cabaran hidup. Sudah menjadi tanggungjawab orang tua untuk memimpin orang muda ke jalan yang baik lagi benar dan ini tentunya memerlukan kesabaran seperti yang dijelaskan dalam Surah Al ‘Asr (103:2-3), yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

 

Budayawan tersohor di Singapura, Muhammad Ariff Ahmad (2007: 87) dalam buku beliau ‘Nilam’ mentakrif sabar sebagai tahan, iaitu dapat mengawal perasaan dan fikiran sehingga ketahanannya menghasilkan sesuatu yang membahagiakan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1361) pula mentakrif sabar sebagai betah menahan penderitaan (kesakitan, kesusahan, dll). Takrifan kedua bagi sabar adalah tidak terburu-buru, tenang.

 

Sabar adalah nilai hidup yang terlalu penting dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Nilai ini perlu ada dalam jiwa agar kita tidak mudah berperasaan melulu yang boleh menjurus kepada tindakan terburu-buru dan akhirnya mengakibatkan keburukan. Lantas, orang muda mahupun orang tua perlu sentiasa menghayati nilai sabar agar hidup tidak dipacu nafsu dan perasaan melulu seperti geram, marah, jemu, meluat, benci, dendam dan sifat-sifat mazmumah yang lain serta kemaksiatan yang dilarang Allah s.w.t.

 

Jika kesabaran dapat dipupuk sejak kecil, dilatih secara berterusan dan dihayati dengan sepenuh jiwa, nilai kesabaran itu akan dapat mensejahterakan kehidupan. Namun, perjalanan untuk menjadi insan yang sabar tidaklah mudah seperti yang tersurat dalam Surah Al Baqarah (2: 45-46), yang bermaksud:

 

“Jadikanlah sabar dan solat  sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

 

Lantas, pepatah ‘adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam’ menekankan peri pentingnya kesabaran dalam kehidupan.

Saturday, January 5, 2013

Lenovoku, HP dan Acerku

Ketika aku teruja untuk mencurahkan isi hati dan fikiran di blogku semalam, aku dikejutkan dengan situasi Lenovoku.

Lenovoku tidak dapat dihidupkan.

Hmmm... mengapakah begitu?

Namun aku masih tetap teruja untuk berkongsi di blogku ini tentang pengalaman tiga hari mengajar secara berpasangan dengan dua orang guru berpengalaman dalam jabatanku iaitu Cikgu Nor dan Cikgu Huda.

Kini, aku sedang berHP di tempat dudukku di bilik guru.

HP ini hak milik sekolah dan aku kurang seronok mencurahkan isi hati dan fikiran di blogku melalui HP apatah lagi di sekolah meskipun waktu mengajar sudah selesai.

Acerku pula bermasalah kerana pengecas Acerku itu tidak dapat berfungsi dengan stabil.

Adakala, Acerku dapat dihidupkan.

Adakala pula, Acerku tidak dapat dihidupkan.

Hmmm...