Cubit 'pipi' kanan, 'pipi' kiri terasa juga.
Dia begitu yakin mempertahankan bahawa bahagian tubuh yang dicubit ialah pipi dan bukan paha.
Begitulah respon yang aku terima daripadanya ketika memperkatakan tentang peribahasa 'cubit paha kanan, paha kiri terasa juga'.
Sebenarnya, respon yang ditunjukkan menghiburkan hatiku meskipun dia tetap bertegas untuk menegakkan benang yang basah.
Meskipun aku dan rakan-rakannya telah membetulkan peribahasa yang dia ujarkan, dia tetap berpegang teguh dengan peribahasa yang berkatanamakan 'pipi'nya itu.
Mata pelajaran tentang Kata Majmuk ini telah aku bahagikan kepada 3 aktiviti.
3 sampul berbeza telah diwujudkan dengan setiap sampul diisi dengan keperluan yang berbeza.
3 aktiviti berbeza dijalankan serentak pada setiap masa sebelum setiap kumpulan bertukar sampul.
3 aktiviti yang dimaksudkan adalah
(i) mencantumkan dua kata dasar untuk membentuk kata majmuk
(ii) memadankan simpulan bahasa dengan makna simpulan bahasa bagi kata majmuk (maksud kiasan) dan
(iii) melukiskan gambar berdasarkan kata majmuk.
Melalui aktiviti memadankan simpulan bahasa inilah, tercetus peribahasa 'cubit pipi kanan, pipi kiri terasa juga' daripadanya.
Comel sungguh dia apabila kata nama dalam peribahasa itu iaitu 'paha' digantikan dengan kata nama 'pipi' bahkan tetap mempertahankan keyakinannya meskipun kami telah menerangkan peribahasa yang sebenar.
Meskipun semalam dia tidak begitu berminat dan kurang fokus dengan aktiviti kumpulan asas, Alhamdulillah, apabila aktiviti berpasangan yang kunamai 'Guru & Pelajar' telah dijalankan pada hari ini, nampaknya dia berminat dan lebih fokus serta bertanggungjawab dalam memainkan peranannya sebagai guru yang perlu mengajar muridnya.
Setiap guru telah aku minta ajarkan 5 peribahasa dan makna bagi simpulan bahasa itu.
Atas dasar perubahan sikap dan keupayaannya menyampaikan isi pelajaran kepada rakan-rakannya, aku telah memilih dia untuk dipuji.
2 biji coklat Ferrero Rocher telah dihadiahkan untuknya dengan harapan dia berminat dengan mata pelajaran Bahasa Melayu, lebih fokus dengan isi pelajaran dan berkelakuan atau bertutur dengan sopan.
No comments:
Post a Comment