Sunday, January 6, 2013

Analisis pepatah Melayu: Adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam

Dalam pos kali ini, aku ingin berkongsi analisis ringkas mengenai satu pepatah Melayu yang indah iaitu 'Adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam'. Analisis ini telah dilakukan ketika melaksanakan tugasan bagi modul Pengajian Melayu Bersumberkan Islam pada tahun kedua pengajian di Akademi Pengajian Melayu.


Kes 1: ‘Adat muda menanggung rindu

             Adat tua menahan ragam’

 

Pepatah yang ringkas ini mampu menyampaikan satu mesej utama atau satu nilai penting yang perlu dididik dalam jiwa orang Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah kesabaran meskipun perkataan ‘sabar’ itu tidak dinyatakan secara langsung.

 

Frasa ‘menanggung rindu’ mengajak orang muda kepada kesabaran. Maklumlah, lumrah orang muda memang mudah dibuai gejolak perasaan cinta, kasih dan rindu namun mereka perlu sabar menanggungnya. Begitu juga dengan frasa ‘menahan ragam’ yang menganjurkan orang tua agar bersabar. Maklumlah, orang tua perlu menghadapi pelbagai karenah anak muda yang masih mentah, pendek akal dan kurang faham tentang kehidupan dan cabaran hidup. Sudah menjadi tanggungjawab orang tua untuk memimpin orang muda ke jalan yang baik lagi benar dan ini tentunya memerlukan kesabaran seperti yang dijelaskan dalam Surah Al ‘Asr (103:2-3), yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

 

Budayawan tersohor di Singapura, Muhammad Ariff Ahmad (2007: 87) dalam buku beliau ‘Nilam’ mentakrif sabar sebagai tahan, iaitu dapat mengawal perasaan dan fikiran sehingga ketahanannya menghasilkan sesuatu yang membahagiakan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1361) pula mentakrif sabar sebagai betah menahan penderitaan (kesakitan, kesusahan, dll). Takrifan kedua bagi sabar adalah tidak terburu-buru, tenang.

 

Sabar adalah nilai hidup yang terlalu penting dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Nilai ini perlu ada dalam jiwa agar kita tidak mudah berperasaan melulu yang boleh menjurus kepada tindakan terburu-buru dan akhirnya mengakibatkan keburukan. Lantas, orang muda mahupun orang tua perlu sentiasa menghayati nilai sabar agar hidup tidak dipacu nafsu dan perasaan melulu seperti geram, marah, jemu, meluat, benci, dendam dan sifat-sifat mazmumah yang lain serta kemaksiatan yang dilarang Allah s.w.t.

 

Jika kesabaran dapat dipupuk sejak kecil, dilatih secara berterusan dan dihayati dengan sepenuh jiwa, nilai kesabaran itu akan dapat mensejahterakan kehidupan. Namun, perjalanan untuk menjadi insan yang sabar tidaklah mudah seperti yang tersurat dalam Surah Al Baqarah (2: 45-46), yang bermaksud:

 

“Jadikanlah sabar dan solat  sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

 

Lantas, pepatah ‘adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam’ menekankan peri pentingnya kesabaran dalam kehidupan.

No comments:

Post a Comment