BAHAN (A): Digoreng separuh garing
Ikan merah 3 keping
BAHAN (B): Dikisar dengan sedikit air
10 biji cili padi
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 inci kunyit hidup
BAHAN (C): Dididih bersama bahan (B)
1 kotak kecil santan Kara dan sedikit air
2 batang serai dititik
1 helai daun kunyit dipotong
2 helai daun limau
1 keping asam gelugur
BAHAN (D): Dibubuh sebagai penambah rasa
Garam
Gula
CARA MEMASAK:
1. BAHAN (B) yang telah dikisar dimasukkan ke dalam periuk yang telah dipanaskan TANPA minyak kerana masakan ini menggunakan kaedah didih dan bukan kaedah tumis. Namun begitu, api hendaklah diperlahankan.
2. BAHAN (C) dimasukkan ke dalam periuk. Masakan hendaklah dikacau SENTIASA.
3. BAHAN (A) dimasukkan ke dalam periuk agar ikan yang digoreng separuh garing tadi dapat masak sepenuhnya.
4. BAHAN (D) dibubuh sebagai penambah rasa mengikut keperluan atau keinginan.
Bagi resipi petang senja ini, aku telah menggunakan cili padi merah (bukan cili padi hijau) dan aku telah mengabaikan bawang putih. Beberapa cebis daun kunyit (bukan sehelai) dan beberapa helai daun limau (bukan dua helai) telah dimasukkan ke dalam masakanku ini. Bahkan gula tidak dibubuh. Inilah yang dinamakan MODIFIKASI atau PENGUBAHSUAIAN.
Terkenang Lemak Cili Padi berserta ikan tilapia goreng hasil air tangan IBU Mohamad Shafiq Rohaizad yang membuat aku begitu berselera. Setelah kawan-kawan beranjak daripada tempat duduk kerana mereka telah selesai makan, aku seorang sahaja yang masih di situ menikmati ikan tilapia goreng yang lazat dan manis itu. Maklumlah, ikan segar daripada kolam itu telah didapatkan pada pagi itu juga demi meraikan kunjungan kami ke rumah Shafiq Rohaizad.
Semester 5 sewaktu zaman pengajian meninggalkan kenangan yang indah dek Lemak Cili Padi berserta ikan tilapia goreng yang SODAP!
No comments:
Post a Comment