Bahasa Melayu dan Matematik merupakan dua mata pelajaran yang paling kuminati sejak kecil jika dibandingkan dengan Bahasa Inggeris dan Sains.
Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Melayu merupakan empat mata pelajaran yang perlu diduduki dalam peperiksaan utama setelah enam tahun menjalani sistem pendidikan sekolah rendah.
Peperiksaan utama itu dikenali sebagai PSLE iaitu Primary School Leaving Examination.
Berdasarkan agregat yang diperolehi dalam peperiksaan utama itu, pelajar akan disalurkan ke sekolah menengah pilihan mereka asalkan agregat mereka itu menepati jangkaan yang telah ditentukan bagi setiap sekolah menengah.
Sewaktu aku berada di sekolah rendah, aku bukanlah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Namun begitu, kekuatanku adalah Bahasa Melayu dan Matematik.
Mungkinkah kerana aku minat dengan kedua-dua mata pelajaran tersebut, maka aku memperoleh markah yang baik untuk Bahasa Melayu dan Matematik?
Atau munginkah kerana aku memperoleh markah yang baik untuk Bahasa Melayu dan Matematik, maka aku minat dengan kedua-dua mata pelajaran tersebut?
Aku percaya minat mampu mencetus daya fokus yang tinggi.
Ketika guru menyampaikan ilmu dan aku sebagai pelajar menerima ilmu tersebut, aku memberikan daya fokus yang tinggi hinggakan kerja sekolah baik di dalam kelas mahupun di rumah aku laksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Aku percaya markah yang baik juga mampu mengekalkan keinginan yang kuat dalam diri untuk terus bersungguh-sungguh dalam melakukan yang terbaik.
Namun, dalam peperiksaan utama PSLE, markat bagi mata pelajaran Matematik menghampakanku.
Aku tidak memperoleh A untuk mata pelajaran Matematik sebagai bukti kesungguhanku sejak darjah empat hinggalah darjah enam (memandangkan kesungguhanku belum menyerlah sewaktu darjah satu hingga darjah 3).
B pun tidak.
Vitamin C untukku.
Jika aku merefleksi diriku pada ketika ini mengenai kegagalanku memperoleh A untuk Matematik, sejujurnya aku tidak mampu untuk kenal pasti sebab kegagalanku itu.
Aku hampa apabila kedua-dua orang kenalan rapatku memperoleh agregat yang jauh lebih baik hinggakan mereka berpeluang ke aliran ekspres sedangkan aku dengan agregat yang tidak begitu tinggi hanya mampu melayakkan diri ke aliran normal.
Aku tidak kecewa tetapi hampa.
Bukan sekadar hampa tetapi terasa betapa kecil diri ini kerana kedua-dua kenalan rapatku menempah kecemerlangan dengan kegembiraan sedangkan aku tidak begitu cemerlang.
Namun..... awan gelap yang mengendong hujan hilang daripada pandangan setelah membasahi bumi.
Mentari menyinarkan cahaya yang menerangi alam semesta.
Bahkan pelangi menghiasi indah akan suasana.
Setelah setahun berada di sekolah menengah, aku menerima berita yang paling membahagiakan.
Kecemerlangan untukku telah tertangguh dalam keputusan PSLE namun akhirnya menjadi kenyataan jua dalam keputusan keseluruhan menengah satu.
Aku ditakdirkan menjadi pelajar terbaik dalam kelasku dan diberi peluang keemasan berganjak ke aliran ekspres.
Tidak pernah aku impikan bahawa aku akan diberi peluang sebegitu rupa.
Ternyata, peluang itu terlalu tinggi nilainya untukku.
Kecemerlangan yang membahagiakan.
Hingga kini, Bahasa Melayu dan Matematik tetap merupakan dua mata pelajaran yang paling aku minati.
Namun, aku telah mendalami Bahasa Melayu hingga ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak pula Matematik.
Walaupun Bahasa Melayu dan Matematik merupakan dua mata pelajaran yang paling aku minati namun dengan kedewasaan ini, aku lebih terbuka untuk menerima ilmu lain seperti Bahasa Inggeris dan Sains meskipun kedua-dua mata pelajaran ini tidak aku minati ketika berada di sekolah rendah.
No comments:
Post a Comment