Pada 30 dan 31 Disember 2012 iaitu Ahad dan Isnin terakhir dalam tahun 2012, aku telah menonton sebuah filem Jepun yang berkisar tentang cinta dan persahabatan.
Ternyata filem ini mampu merobek dedaun perasaan.
Tajuk filem 'My Rainy Days' bukan sekadar tajuk tetapi jalan cerita dalam filem ini cukup menyayat perasaan.
Suasana di Singapura pula sedang dihujani air dari awan mendung.
Bahkan si penonton filem turut berhujan air mata.
Pertama kali mereka bertemu adalah dalam hujan.
Pertama kali mereka bertemu semula setelah si kekasih hilang ingatan adalah dalam hujan juga.
Hujan.
Bahkan, pelajaran menulis perenggan pendahuluan dalam kelas menengah 3 untuk Februari ini telah aku mulakan dengan fokus kepada suasana hujan.
Filem 'Kami' lakonan Allahyarham Sudirman telah kupilih untuk ditontoni kerana terdapat suasana hujan dalam bahagian awal cerita ini yang perlu diberi fokus.
Lagu 'Hujan' nyanyian Allahyarham Sudirman juga telah dipilih dengan harapan pelajar-pelajarku terdedah kepada lagu Melayu yang kian asing dalam hidup mereka, begitu juga dengan harapan agar pelajar-pelajarku dapat menghayati frasa-frasa yang berkaitan dengan suasana hujan.
7 Februari 2013 iaitu Khamis merupakan tarikh serta hari bersejarah dalam alam pekerjaanku sebagai seorang guru apabila ombak cabaran menghempasku ke pantai kehampaan.
Berhujan air mata.
Namun, berkat doa ibu bapa terutama sekali kata-kata pembakar semangat daripada ibu angkat, guru mentor dan kawan-kawan yang mengambil berat, isu ini sedikit sebanyak terhurai seminggu sesudah berlaku peristiwa yang cukup menampar keteguhan perasaan sebagai seorang guru.
14 Februari dan 15 Februari 2013 iaitu Khamis dan Jumaat.
Aku telah meluahkan perasaan marah, tidak puas hati dan kecewa kepada salah seorang daripada mereka.
Alhamdulillah, segala puji milik Allah.
Terselesai jua sedikit sebanyak.
'Hujan yang turun bagaikan mutiara....'
No comments:
Post a Comment