Monday, February 4, 2013

Penghormatan terakhir untuk Nigel



Pada hari Khamis yang lalu bersamaan dengan 31 Januari 2013, aku berada di kolong blok 463 Tampines Street 44 untuk memberi penghormatan terakhir kepada Nigel Yap sebelum beliau dijenazahkan.

(Air mata sedang bergenang lalu berhamburan pada ketika ini mengenangkan Nigel dan adiknya serta kemalangan yang mengakibatkan mereka menghembuskan nafas mereka yang terakhir.)

Pada ketika aku berada di situ dengan jenazah kedua-dua adik beradik iaitu Nigel dan Donovan berada di kiriku, tiga orang pelajar dari sekolah menengah (yang tidak sama dengan Nigel) berada di kananku pula.

Aku terdengar tangisan salah seorang daripada mereka yang dizahirkan secara perlahan namun tetap mengundang pilu di hatiku.

Aku yakin bahawa yang sedang menangis itu adalah rakan Nigel suatu masa dahulu dari sekolah rendah yang sama memandangkan Nigel kini berada di Sekolah Menengah Springfield.

Aku yakin pemberita yang turut hadir di situ turut menyaksikan tangisan pilu ketiga-tiga pelajar ini.

Gambar mereka telah dirakamkan oleh pemberita dan mereka bertiga telah ditemui pemberita untuk mendapatkan sedikit keterangan tentang hubungan mereka dengan Nigel.

Aku yakin rakan-rakan Nigel yang lain dari sekolah rendah yang sama turut hadir pada hari itu di kolong blok 463 tetapi kehadiran mereka tidak dapat dikenal pasti memandangkan mereka tidak berpakaian seragam sekolah.

Nigel ternyata seorang individu yang periang dan ceria.

Individu seperti itu tentu disenangi dan disayangi rakan-rakannya termasuk aku, gurunya meskipun aku tidak pernah mengajar Nigel.

Namun dia yang tampil ke hadapan untuk berkenalan denganku dan mengajakku bersembang di dalam kelas ketika aku menjadi guru pengganti dalam kelas 1D pada tahun lalu.

Kata-kata dan gurauannya menghiburkan hati.

Antara perkara yang tidak dapat aku lupakan adalah ketika dia mendapatkanku di pintu kelas 1D sewaktu aku menunggu untuk masuk ke dalam kelas itu.

Dia mendapatkanku lalu bersembang denganku.

Aku tidak dapat ingat tentang isi perbualan kami.

Namun apabila kami bersua, dia akan selalu memaklumkan kepadaku tentang kemampuannya bertutur dalam bahasa Melayu.

Seorang individu yang periang dan ceria serta menghiburkan hati.

Ungkapan "Hi!" yang diujarkan pada pagi Isnin lalu di dataran ternyata merupakan ucapan selamat tinggal daripadanya untukku.

Perkara inilah yang menyebakkan perasaanku sebagai seorang insan yang tidak pernah mengajar Nigel namun berpeluang mengenalinya kerana dia telah menampilkan dirinya untuk berkenalan.

Subhanallah.

Semenjak pemergianmu, gurumu ini mengenangkanmu setiap hari dengan iringan air mata.

Meskipun air mataku tidak mencurah-curah seperti ibumu atau guru-guru yang pernah mengajarmu.... engkau tetap seorang anak murid yang akan kukenang sentiasa.

Seluruh Singapura berdukacita dengan pemergianmu kerana ternyata engkau istimewa.

Begitu juga dengan adikmu.

Beruntunglah kedua-dua ibu bapamu yang mempunyai anak-anak yang akan menanti mereka di syurga, In shaa Allah.

No comments:

Post a Comment