Selesai menonton Cinta Dari Syurga.
Andai aku menaip pada waktu ini tentang pandanganku setelah selesai menonton cerekarama ini, pastinya aku akan memuntahkan kemarahanku terhadap watak Zarul Aiman yang membuat perasaanku meledak marah.
Ternyata, watak Zarul Aiman merupakan watak yang diciptakan oleh penulis skrip berdasarkan kisah benar yang berlaku dalam rumahtangga masyarakat kita.
Namun kisah benar yang berlaku dalam rumahtangga masyarakat kita tidak dapat dijadikan contoh tauladan kerana kebanyakannya negatif belaka.
Cinta Dari Syurga hendaklah dilihat sebagai kegagalan seorang suami menjalankan tanggungjawab semasa bermonogami lagi dengan Damia.
Kegagalan itu semakin ketara apabila berpoligami.
Setelah perceraian berlaku dengan isteri pertama iaitu Damia, aku percaya dan yakin bahawa perkahwinan monogami Zarul Aiman dengan Hannan akan goyah dan tidak mustahil gagal juga.
Puncanya ialah Zarul Aiman yang GILA BAYANG dengan Hannan sesudah bernikah dengan Damia kerana terburu-buru bernikah dengan Damia setelah terburu-buru berpisah dengan temanitanya, Hannan.
Kemudian setelah perceraian antara Zarul Aiman dengan Damia berlaku, Zarul Aiman GILA TALAK pula dengan Damia sesudah bercerai dengan Damia kerana memenuhi permintaan Damia untuk bercerai setelah memenuhi permintaan Damia untuk bernikah dengan bekas temanitanya, Hannan.
Ish ish ish.... Damia Damia.
Damia menganjurkan suaminya bernikah dengan Hannan yang digilabayangkan Zarul Aiman TANPA perancangan, kesediaan (walaupun Damia menyatakan Damia bersedia sedangkan kesediaan bukan sekadar untuk dituturkan tetapi kesediaan menghadapi realiti yang tidak terduga dan biasanya pahit untuk ditelan), perbincangan terbuka dan bersemuka antara tiga jiwa, ilmu dan pemahaman....
Sejak dari mula apabila Zarul Aiman bernikah seorang lagi, sudah dapat diramalkan bahawa poligami sebegini tidak akan membawa kebahagiaan terutama sekali bagi isteri pertama kerana pelaksanaannya ternyata sekadar memanfaatkan suami dan isteri kedua.
Tidak mungkin cemerlang sebuah rumahtangga poligami kalau sekadar untuk merawat penyakit gila bayang seorang suami terhadap bekas temanitanya.
Suatu permulaan yang terlalu tidak munasabah.
Membina rumah apa jua bentuk pun (kampung, pangsa, teres, banglo dsb) perlukan perancangan, kesediaan, perbincangan, ilmu dan pemahaman serta kemahiran....
Begitu juga dengan membina rumah tangga baik monogami apatah lagi poligami.
Usah sekadar melepaskan batok di tangga yang akhirnya berumah dengan sengsara.
Berlantaikan sengsara, berdindingkan sengsara dan beratapkan sengsara.
Jalan cerita dan watak ketua keluarga dalam Cinta Dari Syurga masih bersifat tipikal kerana memperlihatkan sisi NEGATIF sebuah rumahtangga poligami yang GAGAL dan berlaku dalam masyarakat sedangkan sisi POSITIF sebuah rumahtangga poligami yang CEMERLANG dan wujud dalam masyarakat masih disisihkan, masih dipinggirkan, masih diketepikan.... untuk dijadikan tatapan dan rujukan masyarakat.
Jalan cerita dan watak ketua keluarga yang mengecewakan.
No comments:
Post a Comment