Thursday, December 16, 2010

Nukilan Nurani 2: Kalau Kita Menjadi Kayu

Kalau kita menjadi kayu
biarlah jadi gaharu atau cendana
wangi dan bernilai tinggi
atau paling tidak
jika terpaksa, cukuplah jadi kayu api
asal punya harga diri.

Tetapi, jika mahu jadi kayu
majal, keras dan padu
seperti cengal, keruing atau meranti
itu juga pilihanmu
cuma, jangan pula nanti
sampai sanggup jadi hulu
yang rela diperkuda kapak
hingga tergamak menetak
kaum sendiri.

Abdul Rahim Idris
Jerantut, Pahang
Mingguan Malaysia
27 Februari 2005

Indah dihayati. Mudah difahami. Aku saaaaangat menyukai dan menghargai puisi yang dicipta ini. Syabas kepada penulis kerana berjaya menghasilkan sekuntum puisi yang amat ringkas tetapi cukup bernas ini.

Tajuk puisi yang dihasilkan iaitu 'Kalau Kita Menjadi Kayu' telah dijadikan tajuk sebuah bahan bacaan yang mengandungi himpunan cerpen, puisi, kajian dan rencana sastera serta laporan panel hakim Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005. Kulit buku bahan bacaan yang mengambil tajuk puisi Abdul Rahim Idris ini memaparkan gambar kayu. Bagiku, gambar ini cukup mempesonakan dan lain daripada yang lain. Kelihatan 'hidup' dan ternyata autentik. Lihatlah sendiri kulit buku antologi ini di bawah ini.

Mempesonakan, unik, 'hidup' dan autentik bukan? Sebab yang menciptanya adalah yang Maha Kreatif, Maha Bijaksana dan Maha Indah.


Gambar ini adalah koleksi Naza Hamed. Thumbs up to the photographer!

Berikut adalah laporan panel hakim mengenai sajak 'Kalau Kita Menjadi Puisi'. Aku nukil daripada halaman lvi.

'Dalam puisi "Kalau Kita Menjadi Kayu", jalan fikirannya menuju majaz kiasan. Melalui kiasan yang ditampilkan, falsafah "kayu" dikaitkan dengan sikap yang perlu dipilih oleh manusia supaya jangan pula nanti / sampai sanggup jadi hulu / yang rela diperkuda kapak / hingga tergamak menetak / kaum sendiri. Imejnya sejalan dengan dasar falsafahnya.

Penyusunan diksi yang berkait dengan unsur alam berupaya menimbulkan unsur hikmah yang wujud dalam tasawur Melayu. Unsur ironi yang sering hadir dalam peribahasa, dan dihidupkan semula dalam puisi ini telah membuka laluan yang mudah untuk menggambarkan maksudnya. Paduan antara falsafah hidup orang Melayu yang banyak bersandarkan alam dengan realiti kehidupan masa kini, terutama dalam hubungannya dengan dunia politik dan kepemimpinan dapat ditampilkan dengan baik.'

Semoga tetamu yang mengunjungi lelaman Nurani Nuraini beroleh manfaat dan nikmat membaca puisi 'Kalau Kita Menjadi Kayu' tulisan Abdul Rahim Idris ini. Komen kalian sangat dialu-alukan. :)

1 comment:

  1. assalamualaikum, semasa google terjumpa gambar kulit buku ini :) saya yang design dan saya juga yang empunya foto tersebut, puan nor azah abd aziz tu memang suka idea kulit buku yang punya makna metafora yang dalam :)

    ReplyDelete