Saturday, January 21, 2012

Yang tinggal kini hanya kenangan: Musim peperiksaan Semester 5 (I)

Bayangkan...

Betapa perkara yang 'akan' berlaku 'telah' pun berlaku.

Peperiksaan Semester 5 yang 'akan' berlaku sewaktu aku 'sedang' melalui minggu-minggu pengajian 'telah' pun berlaku.

Peperiksaan Semester 5 yang 'akan' berlaku sewaktu minggu ulangkaji 'sedang' berlangsung dan (pada minggu itu, aku terlalu asyik dengan segala rakaman video dan klip video) 'telah' pun berlaku.

Peperiksaan Semester 5 yang bermula dengan peperiksaan Asas Pembudayaan Keusahawanan pada 3 Januari 2012 ditempuh sudah dengan rasa gembira kerana kebanyakan soalan dapat dijawab dengan betul.

Meskipun ada jawapan yang salah.

Namun begitu tetap gembira.

Namun begitu tidak harus terlalu konfiden kerana penilaian bukan di tangan kita sebagai pelajar dan ketentuan bukan di tangan kita sebagai hamba Allah.

3 Januari 2012 sudah berlalu.

Di luar dewan peperiksaan yang baharu itu dan baru pertama kali kami memasukinya, pengarah dan timbalan pengarah syarikat SMB iaitu Syafix dan Nur Khairiyyah berserta diriku dan Nur Hakimah telah mempersembahkan cenderahati sebagai tanda terima kasih kepada Wan Nur Nadiah kerana ibu bapanya telah memberi sumbangan modal sebagai pemula perniagaan kami.


Alhamdulillah.

3 Januari 2012 telah berlalu.

Yang tinggal kini hanya kenangan.

Kemudian disusuli dengan peperiksaan kedua iaitu Bentuk Lakon Tradisi Melayu.


Hari Jumaat, jam 3 petang.


6 Januari 2012.

Bas yang aku naiki tidak berhenti di dalam terminal bas dan tidak juga berhenti di perhentian bas yang paling berhampiran dengan dewan peperiksaan.

Silap aku juga kerana tidak memaklumkan kepada pemandu bas itu.

Salah aku juga kerana tidak memberi tumpuan kepada perjalanan bas itu.

Maka bas itu pun terlajak agak jauh ke hadapan dan dari situ aku perlu bergegas ke dewan peperiksaan.

Meskipun tidaklah begitu lambat sampai kerana pelajar sedang menulis 'exam slip' dan arahan sedang dikumandangkan... Alhamdulillah.

Hafiz dan Nazif berada di tempat duduk paling belakang.

Hafiz di sebelah kanan dan Nazif di sebelah kiri.

Hanya dua tempat duduk di hadapan mereka yang kosong.

Aku duduk di hadapan Nazif manakala gadis India yang penyenyum itu duduk di hadapan Hafiz.


Bersyukur kerana soalan peperiksaan yang dikemukakan tidak seperti soalan semester lalu.

Namun sudah tentu aku memilih soalan yang aku lebih yakin untuk menjawabnya meskipun sebenarnya, jawapan yang telah kutulis banyak kekurangan.

Setelah selesai peperiksaan, aku berbincang jawapan dengan gadis India yang penyenyum itu meskipun namanya tidak aku ingati.

Berbincang jawapan dengan Hafiz juga.

Hafiz yang berbaju kurung cekak musang merah hatinya itu dengan kopiah seperti seorang pelajar madrasah.

Kemudian, kami berjalan hinggalah ke terminal bas dengan Nazif menjemput Hafiz kerana mereka akan ke APM.

Ada urusan penting yang perlu mereka hadiri berkaitan dengan jabatan Sosio Budaya dan jabatan Seni yang mengalami rombakan dan perubahan.

Aku tidak berhasrat ke sana tetapi oleh sebab aku perlukan nota Seni yang ada dalam tangan Ahmad Fouad sedangkan Ahmad Fouad pencetus urusan penting yang akan berlangsung di APM, maka aku perlu ke APM.

Agak lama aku menunggu di APM.


Akhirnya, aku dan Ahmad Fouad akan belajar bersama-sama di Kolej 10 memandangkan Ahmad Fouad pun terbawa nota Seni Ukiran dan bukan nota Seni Sabah Sarawak.

Kebetulan apabila sampai di Kolej 10, Hidayatul Hajar ada di situ dan aku ajak dia belajar bersama kami.

Sesudah solat Maghrib, kami bertiga pun mula belajar.

Tidak lama kemudian, aku minta Ahmad Fouad menghantarku ke kolej memandangkan aku pun telah tersalah bawa nota, sedangkan nota yang sepatutnya dibawa telah tertinggal di kolej.

Rupa-rupanya, Ahmad Fouad tidak mempunyai Nota Seni Sabah Sarawak yang aku perlukan kerana yang ada dalam tangannya ialah nota Seni Ukiran.

Sebenarnya, bukan sahaja aku yang perlukan nota itu.... kami bertiga perlukan nota itu.

Hidayatul Hajar juga tidak mempunyai nota itu.

Lantas, kami rempuh dan kami tempuh pembelajaran berkumpulan itu dengan memberi perhatian kepada tembikar, buluh, tarian manakala corak dan motif tidak disentuh memandangkan nota yang dibekalkan oleh Encik Nazzri tidak kami perolehi.

Pada malam itu, kami hanya bergantung kepada nota pembentangan rakan-rakan sekuliah, nota catatan dalam kuliah dan nota peribadi Ahmad Fouad yang dirakam daripada tesis yang Ahmad Fouad perolehi dari Perpustakaan APM.

Pembejalaran bersama itu ternyata membantu aku yang kekaburan.

Perkara yang mencuit hati adalah ketika Ahmad Fouad menghantar aku pulang ke kolej.

Apabila hampir sampai dengan kolej, aku meminta Ahmad Fouad membuat satu lagi pusingan kerana belum ada hati untuk pulang.

Ahamd Fouad turuti permintaanku.

Tanpa kami jangka dan tanpa kami sangka, Ahamd Fouad membawa aku dan Hidayatul Hajar keluar dari UM.

Akhirnya, kami 'jalan-jalan' keluar UM pada pagi itu.

Pagi sudah kerana seingatku, kami meninggalkan Kolej 10 pada 12 tengah malam.

Ahmad Fouad, Hidayatul Hajar dan aku ke kedai makan terlebih dahulu.

Maggi Goreng, Murtabak dan Rojak India kami bawa ke 'Bukit Tinjau' atau lebih dikenali ramai dengan gelaran 'The Look Out Point'.

Suatu perjalanan yang tidak pernah dirancang tetapi berlaku secara spontan.

Terima kasih Ahmad Fouad kerana bawa kami jalan-jalan keluar UM pagi-pagi begitu.

Maklum sahajalah, aku bukanlah seseorang yang keluar pada waktu jauh malam apatah lagi keluar pada waktu pagi sebegitu tetapi nampaknya, aku telah melakukan sesuatu yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini sepanjang aku berada di UM.


Kenangan indah sebelum aku meninggalkan UM.


'Simple' dan cukup 'simple' tetapi unik.


Yang tinggal kini hanya kenangan.



Gambar dewan peperiksaan yang baharu ini telah diperolehi daripada blog seorang pelajar UM yang tidak dikenali.

No comments:

Post a Comment