Thursday, January 19, 2012

Hilang

Esok merupakan hari peperiksaan yang terakhir sedangkan semalam merupakan peperiksaan yang kelima.

Esok merupakan hari peperiksaan bagi modul Wacana Bahasa Melayu manakala semalam merupakan peperiksaan bagi modul Semantik Bahasa Melayu.

Meskipun kedua-dua modul ini aku minati dan kedua-dua modul bukanlah 'killer paper' bagiku, aku hilang fokus untuk menghadapi hari esok dan aku hilang harapan untuk mendapatkan sekurang-kurang B+ untuk kertas peperiksaan yang telah aku jawab semalam.

Hilang fokus.

Hilang semangat.

Hilang harapan.

Petang tadi pada jam 6.48 petang, Khaidir mengirimkan pesanan ringkas (sms).

Pesanan ringkas itu adalah berita gembira yang wajib aku syukuri dengan sepenuh hati.

'Tahniah..akak dpt A-.'

Begitulah pesanan ringkas bagi memaklumkanku sekaligus mengucapkan tahniah kepadaku tentang keputusan 'killer paper'ku iaitu Kesenian Suku Kaum di Sabah dan Sarawak.

Keputusan ini di luar jangkaan.

Keputusan ini menggembirakan.

Keputusan ini aku syukuri.

Terima kasih Tuhan.


Sedangkan aku mengalami ketidakstabilan emosi sebelum dan sesudah menduduki peperiksaan bagi modul yang aku pilih dengan tidak seikhlas hati ini.

Modul yang aku sedar aku tidak beri sepenuh perhatian, tidak sepenuh komitmen, tidak sepenuh kesungguhan.

14 minggu berlalu begitu sahaja tanpa sepenuh perhatian, tanpa sepenuh komitmen, tanpa sepenuh kesungguhan.

Alhamdulillah, dengan berkat bantuan dan perkongsian Ahmad Fouad dan Hidayatul Hajar semasa kami belajar bersama di Kolej 10, aku lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan.

Mereka berdua banyak membantu.

Mereka berdua banyak berkongsi.

Aku mengalami kestabilan emosi apabila belajar bersama mereka.

Ketidakstabilan emosi berlaku lagi apabila soalan wajib yang dikemukakan dalam kertas peperiksaan memintaku menjawab soalan tentang corak dan motif.

Astaghfirullah.

Aku lebih banyak membaca dan menghafal tentang tembikar dan buluh.

Bukan aku tidak baca dan tidak hafal tentang corak dan motif tetapi aku tidak mempunyai salinan nota yang dibekalkan oleh Encik Nazzri.

Lantas, nota-nota kumpulan lain dalam kelas kami dan sebuah buku yang kupinjam dari Perpustakaan Utama itu sahajalah yang menjadi sandaranku untuk menjawab soalan wajib yang sukar itu.

Ketidakstabilan emosi itu menjejas diriku sehingga aku tidur sepanjang hari untuk merawati emosi yang bimbang, cemas, resah dan tertekan.

Begitulah aku apabila berhadapan dengan kehampaan atau kekecewaan.

Tidur sepanjang hari.

Alhamdulillah, Tuhan izinkan aku memperolehi A- sedangkan usahaku tidak seperti itu.

Sejujurnya, aku bimbang dan resah andai Tuhan menterbalikkan kegembiraan yang bersifat sementara ini dengan berita yang menyedihkan pula bagi modul lain kerana aku tidak layak untuk mendapat A- untuk modul Kesenian Suku Kaum di Sabah dan Sarawak.

Hanya Tuhan yang tahu.

Pada waktu ini, aku hilang fokus untuk menghadapi peperiksaan bagi modul Wacana dan hilang harapan untuk memperolehi B+ dalam peperiksaan bagi modul Semantik.

Ya Allah.

Kertas peperiksaan Semantik terbahagi kepada soalan wajib dan soalan pilihan.

Soalan wajib yang dikemukakan langsung tidak aku jangka, dan tentunya aku tidak membaca atau menghafal tentang perkara itu semasa ulangkaji.

Lantas jawapanku adalah berdasarkan pengetahuan sedia ada.

Sebenarnya, soalan wajib itu tidak sesukar mana pun namun aku tidak menyangka dan menjangka soalan seperti itu yang akan dikemukakan.

Aku menjangkakan soalan 'Mengapa belajar Semantik?' atau barangkali soalan tentang Semantik Leksikal iaitu Semantik pada aras kata.

Realitinya, soalan wajib meminta huraian ringkas tentang keempat-empat komponen bahasa dan penerangan tentang ayat Chomsky (1957).

Pasrah.

Alhamdulillah, soalan pilihan tentang ciri Sinonim pada pandangan F.R. Palmer dan Semantik Behaviorisme dapat aku jawab.


Namun jawapan yang aku kemukakan bukanlah yang terbaik atau cemerlang.

Sekadarnya sahaja.

Semoga aku dihindarkan daripada B, B- dan yang kurang daripada itu.

Kasihanilah aku ya Allah.

Modul Semantik aku pilih atas dasar kehendak dan keperluan.

Sedangkan modul Kesenian Suku Kaum di Sabah dan Sarawak pula aku pilih tanpa niat dan minat.

Aku bimbang dan resah andai Tuhan mentakdirkan keputusan yang menghampakan dan mengecewakan untuk modul Semantik Bahasa Melayu.

Ya Allah.

Betapa usaha kami hanyalah untuk mendatangkan sebab.

Kami hanya berusaha untuk menepati hukum alam.

Sedangkan Kau berkuasa menggagalkan usaha apa pun.

Sesungguhnya Kau berkuasa mengatasi segala-galanya.

Ya Allah.

Cemas, bimbang, resah.

Kasihanilah aku.

No comments:

Post a Comment