Tuesday, January 17, 2012

Bidadari dari syurga

Bidadari dari syurga yang kukagumi tetapi tidak pernah bersua muka dengan mereka ialah Siti Hajar, ibu Nabi Ismail dan Siti Maryam, ibu Nabi Isa.

Mereka berdua telah melalui perjalanan hidup yang penuh dengan ujian dan cabaran yang menduga kesabaran dan ketahanan jiwa mereka.

Betapa aku mengkagumi Siti Hajar dan Siti Maryam yang kupasti melinangkan air mata kepiluan kerana sudah tentunya nurani kewanitaan mereka cukup teruji dan tercabar dengan ketentuan Ilahi.

Bayangkan ditinggalkan suami di tanah gersang bersama seorang anak yang masih kecil.

Hatinya tetap tabah dan yakin.

Itulah wanita Siti Hajar.

(Air mata sedang bergenang pada waktu aku menaip pos ini.)

Bayangkan dirinya hamil sedangkan dia tidak pernah disentuh sesiapa pun.

Hatinya tetap tabah dan berserah.

Itulah wanita Siti Maryam.




Bidadari dari syurga yang kukagumi kerana kecantikannya yang terserlah dan kebaikannya yang indah ialah seseorang yang seakademi denganku.

Gadis ini kukenali sejak aku terpandang dan melihat dia pada Semester 1.

Paras rupa dan penampilannya menarik perhatianku dan menawan hatiku meskipun kami tidak pernah berbicara.

Pernah aku ukirkan senyuman kepadanya beberapa kali tetapi senyumanku itu tidak berbalas maka harapanku hambar.

Kami hanya mula berbicara pada Semester 4 apabila beliau memesan beberapa siri majalah Solusi daripada syarikatku iaitu Cenderawasih.

Pernah aku mulakan bicara dengannya di Dewan Semarak tetapi nampaknya, interaksi itu tidak semarak.

Hanyalah pada semester ini iaitu Semester 5, komunikasi antara kami lebih kerap kerana kami sekolej.

Kekerapan bertukar menjadi keakraban bersebabkan pertemuan demi pertemuan di Aras 2.

Melalui perbincangan dan perkongsian kami, kusedar dan kuterasa betapa rupa-rupanya, hati budinya seindah paras rupa dan penampilannya meskipun sebelum ini aku bertanggapan bahawa dirinya sukar didekati.

Gadis ini seorang wanita seanggun bidadari kerana dia tidak riak dan tidak sombong dengan kejelitaannya.

Gadis ini tetap merendah hati apabila dipuji.

Gadis ini tetap berikhlas hati apabila diuji.

Mahmudah dirinya menyedarkanku tentang mazmumah diriku.


Penyejuk mata, penawar hati dan pendamai jiwa.

Betapa aku mengaguminya.

Betapa aku menyayanginya.

Aku berharap kasih sayang kami dinaungiNya sampai bila-bila.

Gadis itu tidak lain dan tidak bukan... Siti Munirah Bte Hasshim.

2 comments:

  1. terharu.. tidak perna menyangka nama hamba yg hina ini diabadikan dalam tulisan ini...

    ReplyDelete
  2. Wahai Sang Bidadari, izinkan daku mengkagumi dirimu. Semoga kasih sayang ini dalam rahmat dan perlindunganNya.

    ReplyDelete