Watak utama sekaligus pencerita dalam drama Diary of A Prosecutor menyenangkan!
Aku menjangkakan cerita ini berfokuskan dua watak utama iaitu watak lelaki dan watak perempuan.
Bahkan, aku menjangkakan bahawa ada jalan cerita cinta antara kedua-dua watak utama.
Hakikatnya, cerita ini bertumpukan seorang watak utama iaitu Lee Sun Woong yang dikelilingi rakan sekerjanya.
Seorang watak utama dan ramai watak sampingan.
Bahkan, Lee Sun Woong sudah pun berumahtangga dan mempunyai seorang anak lelaki.
Tidak ada jalan cerita cinta antara Cha Myung Joo dan Lee Sun Woong.
Sekadar sebagai rakan sekerja yang tidak sehaluan sejak dari mula.
Namun, pergeseran atau konflik antara mereka tidak begitu agresif.
Lantas, drama ini mengetengahkan tema mengenai pekerjaan seorang pendakwaraya atau sekumpulan pendakwaraya.
Bukan sekadar cerita Lee Sun Woong tetapi rakan-rakan sekerja atau sedivisyen dengannya.
Antara yang menarik dalam drama yang mengupas mengenai kehidupan sehari-harian sekumpulan pendakwaraya ini, terzahir perbezaan antara majoriti dan minoriti.
Majoriti adalah dari Jinyeong yang mempunyai cara kerja atau budaya kerja yang 'chillax'.
Manakala, minoriti ialah pendatang baharu dari Seoul yang telah dihantar ke divisyen mereka iaitu Cha Myung Joo yang ternyata sungguh proaktif dan produktif.
Sebenarnya, aku menjangkakan watak Cha Myung Joo adalah sama atau lebih kurang sama dengan watak lakonannya dalam Witch At Court.
Namun, jangkaanku meleset.
Wataknya berbeza.
Dalam Witch At Court, Jung melakonkan watak pendakwaraya yang ceria, lucu, suka mengambil kesempatan atau sanggup menipu daya agar menang kes dan banyak mulut.
Dalam Diary of A Prosecutor, Jung melakonkan pendakwaraya yang serius, 'rigid', tidak empati terhadap sesiapa pun dan berbicara jika perlu sahaja.
Adakala kata-katanya tajam menikam walaupun ringkas atau sekali-sekala sahaja.
Aku tidak selesa dengan watak Jung dalam Diary of A Prosecutor yang terlalu serius dan tidak sensitif terhadap perasaan orang lain.
Atas dasar itu, aku menyenangi watak utama yang 'warm hearted' tetapi 'cool' iaitu Lee Sun Woong.
Dalam ketegasannya mempertahankan hujahnya, dia tidaklah agresif sehingga hilang pertimbangan.
Dalam keteguhannya mempertahankan prinsipnya, dia tetap tenang dan prihatin.
Lee Sun Woong mengambil berat akan mereka yang ditindas apatah lagi golongan rakyat biasa.
Namun, dia sama sekali tidak akan bertolak ansur terhadap golongan berpengaruh yang telah menyalahgunakan kuasa.
Itulah salah satu perwatakannya yang paling aku kagumi!
Upright yet reasonable.
Ruang kerja mereka - bangunan dan pejabat tidak begitu memberangsangkan.
Shabby and depressing?
Namun, aku paling suka dengan dinamika dan sinergi divisyen mereka.
Mereka bekerja seperti sebuah keluarga yang saling mengambil berat.
Saling menyokong dan saling mendokong.
Saling meluahkan dan saling mendengarkan.
Tidak ada perasaan hasad dengki atau keinginan untuk menjatuhkan atau menikam antara satu sama lain.
Maklumlah, bukankah budaya kerja mereka 'chillax'?
Sekaligus, tidak kompetitif.
Menarik bukan?
Di situ, tersirat dan tersurat kebijaksanaan penulis skrip yang perlu kita renungkan bersama.
Bukankah persaingan atau suasana berdaya saing mewujudkan bibit-bibit hasad dengki dan tidak puas hati yang kemudian bertunas menjadi saling membenci.
Akhirnya ....?
Kesudahannya.... telah kita rasakan sendiri di tempat kerja dewasa ini.
Namun, divisyen mereka yang bernada dan bernadi kekeluargaan ini pastinya diuji dengan kegetiran daripada watak-watak di luar divisyen mereka.
Kejahatan dan kezaliman dari pihak atasan yang berkuasa dan berpengaruh sebagai contoh.
Work politics!
What is work without politics, right?
Lantas, drama ini adalah menyenangkan untuk ditonton sebagai hiburan dan pengajaran.