Aku baru sahaja selesai 'mengemop' lantai dek tetamu petang yang tidak diundang.
Tetamu petang itu datang daripada lubang empat persegi di lantai dapur di mana terletaknya mesin pembasuh pakaian.
Pada mulanya aku terdengar bunyi kelantang-kelentung seolah-olah mesin pembasuh pakaian sedang 'menjalankan tugasnya'.
Apabila aku periksa, mesin pembasuh pakaian itu kosong dan ternyata tidak berada dalam keadaan 'hidup'.
Aku dalam kemusykilan.
Alangkah terkejutnya aku apabila buih sabun yang entah dari mana puncanya terpancut keluar daripada lubang empat persegi di lantai dapur di mana letaknya mesin pembasuh pakaian.
Terkedu seketika.
Sudah tentu aku cemas meskipun tampak tenang.
Aku bimbang seandainya perkara ini boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini.
Pada hakikatnya, aku tidak menggunakan mesin pembasuh pakaian dan tidak ada sesiapa pun kecuali aku di sini yang menyaksikan kejadian sebenar.
Mesin pembasuh pakaian tidak dipenuhi pakaian bahkan berada dalam keadaan 'mati'.
???
Dari manakah datangnya buih sabun yang membuak-buak ini?
Aku masih dalam kemusykilan.
Perkara paling logik yang dapat aku fikirkan ialah buih sabun daripada mesin pembasuh pakaian milik jiran yang tinggal di tingkat atas.
Maka pada petang ini, aku perlu 'mengemop' lantai tanpa niat untuk menghilangkan buih sabun yang telah membanjiri lantai dapur.
Namun begitu, harus aku akui bahawa pengalaman didatangi tetamu petang yang tidak diundang ini lucu dan menyeronokkan kerana aku dapat bermain dengan buih sabun meskipun perlu 'bersingsing lengan'.
No comments:
Post a Comment