Wednesday, March 20, 2013

Penggal pertama dalam 2013

Penggal pertama dalam 2013 telah berakhir dengan janji temu bersama ibu salah seorang pelajarku pada jam 2.30 petang.

Guru utama kelasku yang bertemu lebih dahulu dengan ibu tunggal itu sebelum aku sampai.

Kami duduk berbicara tentang anak beliau yang aku yakini kerap tidak hadir ke sekolah kerana belum matang dalam melihat peri pentingnya menuntut ilmu.

Aku yakin dia akan berubah suatu hari nanti meskipun nasihat demi nasihat yang diberikan belum memperlihatkan perubahan yang positif daripadanya.

Aku bimbang dia tidak akan berubah bahkan menjadi semakin culas dan lebih tidak diingini lagi menjadi tidak bertanggungjawab seandainya perkara ini tidak dibawa ke tengah.

Penggal pertama telah berakhir dengan cuti seminggu yang bermula pada Sabtu, 16 Mac 2013 sebetulnya tetapi oleh sebab aku menemani rakan sekerjaku bermalam di sekolah pada Isnin, 18 Mac hingga pagi Selasa, 19 Mac atas urusan aktiviti kokurikulum maka cutiku bermula pada esok hari iaitu Rabu, 20 Mac 2013.

Penggal pertama dalam 2013 bermula dengan Minggu 0 yang Alhamdulillah berjalan dengan baik meskipun aku berprasangka negatif pada awalnya.

Minggu 1 hingga Minggu 10 dilalui bak menunggang 'roller coaster'.

Pemergian Nigel yang terlibat dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawanya dan nyawa adiknya menyayat hati.

Apatah lagi dia menyapaku pada pagi itu iaitu hari terakhir dia hidup di muka bumi.

Subahanallah.

Amukan 'Hang Jebat' di dalam kelas dan peristiwa yang menyusul hingga menimbulkan tekanan perasaan bagi diri ini cukup menduga.

Astaghfirullah.

Inisiatifku mendekati pelajar menerusi 'Pastoral Care Eat Together' yang aku jalankan pada Minggu 10 ternyata membuka mataku tentang masalah-masalah yang dihadapi pelajar-pelajarku.

Sejauh ini, 11 orang pelajar dapat aku temui dalam sesi ini meskipun sesi ini berlangsung kurang daripada 50 minit memandangkan aku sesi ini dijalankan pada waktu rehat.

Keterbukaan mereka dalam berkongsi masalah yang ternyata sebahagian BESAR adalah masalah keluarga semata-mata menginsafkan bahawa mereka perlu didekati dan difahami sebelum dibentuk dan dididik.

Allahuakbar.

Aktiviti membersihkan Taman Bedok Reservoir pada hari terakhir dalam penggal pertama bagiku menyeronokkan tetapi bagi para pelajar, mereka tidak seronok.

Lagipun Taman Bedok Reservoir terlalu bersih untuk dibersihkan oleh para pelajar dan tidak begitu memanfaatkan untuk dibersihkan.

Alhamdulillah.

MENCABAR adalah satu perkataan yang aku pilih untuk memerikan penggal pertama hingga terbit rasa patah hati dalam diri ini untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang guru.

Aku berharap aku dapat bertahan paling kurang 2 tahun sebagai guru di sekolah ini, sebagai guru di sekolah menengah dan sebagai guru tetap.

Andai aku mampu bertahan hingga ke penghujung Jun 2013, Alhamdulillah.

Maka genaplah setahun aku kembali bertugas sebagai guru meskipun bukan guru sekolah rendah.

Aku harus terima 'penghijrahan' yang Tuhan sudah tentukan untuk diri ini kerana meskipun perasaanku berkecamuk, aku sedar bahawa ada baiknya 'berhijrah'.

Penggal pertama dalam 2013 yang MENCABAR!

No comments:

Post a Comment