Selesai penontonanku hingga ke episod 21 daripada drama berepisod Sehangat Asmara yang aku akui bagus!
Lebih bagus daripada Adam Dan Hawa meskipun kedua-dua drama episod adalah adaptasi daripada novel yang dihasilkan oleh penulis yang sama.
Aku lebih menyukai Sehangat Asmara daripada Adam Dan Hawa kerana persoalan yang ditimbulkan oleh watak Kamilia lebih mencengkam perasaan daripada persoalan yang diutarakan oleh watak Ain Hawani.
Watak Kamilia mempersoalkan sebab dia ditinggalkan suami tanpa khabar berita selama 8 tahun sedangkan suaminya berjanji akan kembali setelah 14 hari pulang ke Perak atas urusan kecemasan.
Manakala watak Ain Hawani mempersoalkan sebab lelaki yang ditangkap basah dengannya berdiam diri dan tidak menegakkan kebenaran sedangkan mereka tidak melakukan perkara yang terkutuk iaitu berkhalwat hingga terpaksa dinikahkan.
Bagi aku, wajar bagi watak Kamilia dirundung kedukaan kerana nasibnya bagai gantung tidak bertali setelah membuat keputusan yang betul tetapi tidak tepat namun akhirnya ditinggalkan suami.
Betul keputusannya bernikah dengan lelaki yang dicintai ketika berada jauh di rantauan demi mengelakkan diri daripada gejolak nafsu tetapi tidak tepat melaksanakan pernikahan itu tanpa restu seorang lelaki yang berstatus wali iaitu bapa kandungnya.
Bagiku, seorang lelaki yang budiman ('gentleman') perlu bersua muka dengan bapa kandung kepada wanita yang dicintai dengan tujuan memperkenalkan diri, memaklumkan isi hati, meminta izin, meminta restu dan melamar.
Bukan sama sekali dengan menikahi seorang wanita tanpa berbicara langsung terlebih dahulu dengan si bapa kandung kepada calon isteri.
Apabila jarak menjadi pemisah, sekurang-kurangnya hubungilah bapa kandung kepada calon isteri itu demi menghormati bapa yang berstatus wali kepada wanita itu.
Kamilia bagai menerima hukuman yang terlalu berat apabila ditinggalkan suami bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang khabar berita dan penjelasan.
Atas dasar itu, Kamilia wajar berasa marah, dendam dan geram.
Namun, kesilapannya adalah daripada permulaan lagi iaitu bernikah tanpa si lelaki bersemuka dengan si bapa terlebih dahulu.
Kalau pun tidak bersua muka, sekurang-kurangnya berhubunglah dengan apa jua cara sekalipun.
Bagiku, restu ibu bapa BUKAN JAMINAN KEBAHAGIAAN kerana pernikahan yang direstui ibu bapa pun terlalu selalu gagal di tengah jalan.
Namun, restu ibu bapa TERLALU PERLU kerana mereka wajar menerima penghormatan daripada kita memandangkan mereka telah menjalankan tugas dan tanggungjawab membesarkan kita meskipun tidak dapat dinafikan bahawa adakala tugas dan tanggungjawab itu dijalankan dalam kekurangan dan kesilapan.
Lantas, tindakan Kamilia bernikah dengan lelaki pilihannya di rantauan tidak dinafikan betul kerana mereka telah saling jatuh cinta dan mempunyai keinginan yang kuat untuk saling memiliki pada waktu itu namun keputusan itu tidak tepat kerana ibu bapa Kamilia telah diketepikan atau dibelakangkan apabila si lelaki tidak berhubung dengan si bapa kandung Kamilia.
Seandainya si lelaki telah berusaha untuk bersemuka dengan ibu bapa tetapi hajatnya dihalang atas sebab yang tidak syarie maka wali hakim hendaklah dirujuk.
Wali hakim berkuasa membuat keputusan dan biasanya keputusan itu berpihak kepada si gadis dan si lelaki.
Namun jika sebab si bapa menghalang itu berlandaskan syariat, maka pernikahan itu tidak akan dianjurkan oleh wali hakim.
Pernikahan tanpa restu menimbulkan banyak angkara yang negatif pada kemudian hari.
Namun, hendaklah diingatkan bahawa pernikahan berserta restu ibu bapa juga tidak menjaminkan kebahagiaan.
Kebahagiaan bukan manusia yang menentukan.
Kita hanya manusia yang perlu berusaha ke arah itu.
Apa pun, drama berepisod Sehangat Asmara ini amat aku sukai berbanding dengan drama berepisod Adam Dan Hawa yang tidak begitu aku sukai.
No comments:
Post a Comment