Thursday, October 2, 2014

Hidup bertemankan seorang isteri (monogami) & Hidup bersahabatkan dua orang isteri (poligami)

 
 
Poligami apabila dilaksanakan dengan si suami MENGETENGAHKAN wanita lain sebagai calon isteri dan si suami MENGETEPIKAN isteri sendiri seolah-olah wanita bergelar isteri itu perlu menerima takdirnya dipoligamikan dengan hati yang redha dan bersedia sepenuh rela tanpa perkara poligami ini dibincangkan terlebih dahulu secara telus dan difahami dengan tulus sebelum bernikah memperlihatkan kebodohan si suami yang ternyata telah melakukan kezaliman.
 
Tentu si suami akan menyatakan bahawa si isteri pasti akan mengamuk, memberontak dan segala me... yang sewajarnya terhadap si suami apabila dimaklumkan bahawa si suami akan beristeri seorang lagi.
 
Madu bagimu wahai suami tetapi hempedu bagiku selaku isteri.
 
Setulusnya, hatiku yang rapuh ini pasti pecah berderai andai suamiku berbuat demikian.
 
Memilih wanita lain sebagai calon isteri atau lebih teruk dan dahsyat serta zalim adalah apabila si suami sudah pun mengahwini wanita tersebut secara senyap-senyap atau tetap berkeputusan sebegitu sedangkan si isteri belum mampu menerimanya.
 
 Melaksanakan poligami ini dengan tidak semena-mena bahkan kadang kala dengan sembunyi-sembunyi memperlihatkan sikap suami yang tidak bertanggungjawab dan tidak jujur sedangkan dua sikap ini iaitu bertanggungjawab dan jujur terlalu penting dan bernilai dalam mana-mana perhubungan pun.
 
Permulaan dalam pelaksanan poligami sudah terlihat kelemahannya dengan jelas sekali.
 
Seorang suami yang punyai rasa cinta dan takut kepada Pencipta yang memilikinya tidak akan menodai sikap bertanggungjawab dan jujur dengan melaksanakan poligami yang teruk dan dahsyat serta zalim itu.
 
Atas sebab itu, aku terlalu berhati-hati dalam memilih calon suami kerana aku berpendapat bahwa seorang lelaki yang tidak punyai sikap bertanggungjawab bertunjangkan takut kepada Penciptanya ialah lelaki yang berpotensi untuk mencederakan setiap anggota keluarga dalam seluruh kehidupan berumah tangga.
 
Poligami apabila dilaksanakan dengan si calon suami mengetengahkan ilmu dan kefahaman tentang memperjuangkan hak wanita bahkan menjaga kebajikan wanita SEBELUM mendirikan rumah tangga dengan mana-mana calon isteri agar dia dan calon isteri mengerti dan menghayati bahawa memperjuangkan hak wanita dan menjaga kebajikan wanita adalah tanggungjawab bersama.
 
Lelaki yang mampu berfikiran jauh dan berfikiran mendalam tentang kemaslahatan ummat (dan salah satu golongan ialah wanita) seperti ini ialah lelaki yang mempunyai ciri kepimpinan yang didambakan.
 
Dia mampu memimpin dirinya terlebih dahulu bahkan mampu memimpin lelaki lain agar menjadi pemimpin yang tidak tewas.
 

No comments:

Post a Comment