Wednesday, January 26, 2011

Legasi 2: Muzik Malaysia

Pengenalan


Jenis Muzik dalam Konteks Budaya dan Masyarakat

Muzik di dunia ini digambarkan dengan berbagai-bagai istilah termasuk kata sifat seperti moden, kontemporari, rakyat, kesenian, klasik, pop atau popular, sinkretik, transnasional, accultured, bandaran dan lain-lain. Istilah tertentu yang digunakan untuk menerangkan muzik dalam satu-satu kebudayaan bergantung kepada sifat dan struktur kebudayaan itu dan juga faktor-faktor ekonomi dan politik. Jika diterima bahawa muzik merupakan sebahagian yang mustahak bagi kesempurnaan budaya, maka pertimbangan sifat kebudayaan itu sendiri adalah penting untuk memahami jenis-jenis dan bentuk muzik yang dicipta di dalamnya.

Di negeri-negeri di Malaysia terdapat banyak bentuk muzik yang mencerminkan ciri-ciri asli dan juga pengaruh luar yang telah diserap ke dalam masyarakat. Pada umumnya kita boleh menentukan muzik sebagai muzik klasik (biasanya di Asia Tenggara muzik ini dihubungkaitkan dengan budaya di istana), muzik rakyat, muzik seni dan muzik popular. Tetapi, kegunaan istilah-istilah ini (serta kategori lain) sebenarnya bergantung kepada keadaan sosial, ekonomi, politik dan jenis budaya di mana seni muzik diperkembangkan.


Teori Budaya

Istilah 'budaya rakyat' dan 'budaya istana' sebagai dua jenis budaya tertentu telah digunakan oleh ahli antropologis dengan menonjolkan ciri-ciri tertentu. Budaya rakyat biasanya dibezakan daripada budaya istana (atau budaya klasik). Istilah lain juga memperbezakan kedua-dua jenis budaya ini dalam peradaban, misalnya, istilah 'tradisi kecil' (budaya rakyat) dan 'tradisi besar' (budaya istana). Dalam hampir sema tamadun di dunia ini kedua-dua tradisi ini wujud serentak.

Mengikut ahli antropologis Redfield, tradisi besar berkembang melalui penulisan yang diajar secara sedar dan sistematis di sekolah-sekolah, masjid atau rumah berhala, dan istana. Tradisi besar biasanya terdapat di kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan bandar. Komunikasi secara bertulis dan juga kegunaan teknologi semasa di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan. Oleh sebab itu kesedaran teori dan sejarah diketahui dengan jelas. Tradisi ini menonjolkan ciri-ciri kehalusan dan profesional dalam masyarakat bandar atau istana yang mengutamakan kepentingan institusi sosial dan kerajaan. Masyarakat bandar ini boleh mengalami perubahan secara pantas yang mementingkan daya cipta individu.

Berlainan dengan tradisi besar, tradisi kecil diperturunkan secara lisan di kampung-kampung dan kawasan desa secara bersahaja. Tradisi kecil yang dihubungkaitkan dengan budaya rakyat didokong oleh masyarakat yang biasanya tinggal di kawasan desa. Komunikasi secara lisan di antara anggota-anggota dalam masyarakat lebih diutamakan walaupun sistem bertulis boleh wujud. Oleh sebab itu, kesedaran sejarah kurang jelas kerana tradisinya diperturunkan secara lisan sahaja. Perhubungan dan perlakuan anggota-anggota budaya rakyat dikawal oleh undang-undang yang dipersetujui bersama oleh mereka. Tambahan pula, masyarakat dalam tradisi kecil mengalami perubahan secara perlahan-lahan sahaja dalam masa yang panjang . Bekerjasama, berusaha dan bertindak secara komunal merupakan satu lagi ciri yang khas dalam tradisi kecil dan budaya rakyat.

Kedua-dua tradisi ini saling bergantung dan sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain. Dengan cara itu, sistem penulisan yang biasanya terdapat dalam tradisi besar boleh wujud dalam satu-satu kebudayaan yang tertentu yang mengekalkan banyak ciri budaya rakyat. Justeru itu, dijeniskan sebagai budaya rakyat. Para antropologis berpendapat bahawa budaya rakyat juga telah lama berhubung dengan budaya istana yang menjadi pusat-pusat pemikiran dan perkembangan institusi sosial, ekonomi dan politik sejak beratus-ratus tahun.


Dinukil daripada buku 'Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat Dan Sinkretik' oleh tulisan Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng yang diterbitkan The Asian Centre.

No comments:

Post a Comment